Thursday, February 26, 2009

Mari bersama-sama ke Istana Negara

Hari Keluarga PKPIM UIAM

Anda semua dijemput ke:

Hari Keluarga PKPIM UIAM

Tarikh: 1 Mac 2009 ( Ahad )

Tempat: Female Sports Complex

Masa: 2.0o petang

Aktiviti: Explorace, BBQ

Bayaran: RM 3

Jika berminat, sila hubungi 013-2026151 (bro) dan 013-2508346 (sis). Sila bagi nama secepat yang mungkin untuk tempahan makanan. Ajak kawan ramai2. Kehadiran anda memeriahakn Hari Keluarga PKPIM UIAM.

Terima Kasih

Wednesday, February 18, 2009

PPSMI: Satu lagi laporan polis terhadap kementerian




Satu lagi laporan polis dibuat terhadap Kementerian Pelajaran hari ini berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kali ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula tampil membuat aduan tersebut di Balai Polis Gombak, Selangor kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Ahad lalu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membuat aduan polis berhubung pelaksanaan PPSMI yang "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan".

Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, naib presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut.

Tambahnya, mereka juga mendakwa menggunakan hujah yang sama dengan badan penaung 24 badan penulis di seluruh Malaysia itu, dalam laporan berkenaan.

Menurut Muhammad Faisal, laporan polis itu dibuat bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Gapena Ahad lalu.

"Kita juga mahu 'momentum 7 Mac' berterusan, terutamanya dilaporkan di media-media," katanya.

Pada tarikh berkenaan, Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) - PKPIM turut bergabung di bawahnya - merancang perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI dan memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu itu.

Muhammad Faisal berkata diiringi kira-kira 20 ahli dan pemimpin PKPIM hadir ketika membuat aduan tersebut..

Selain PKPIM, 24 persatuan penulis di seluruh negara yang bernaung di bawah Gapena dijadualkan membuat laporan yang sama dalam masa terdekat.

Laporan dari Malaysiakini.com

Saturday, February 14, 2009

PKPIM Kesal Laporan Kemerosotan Matematik & Sains Tidak Didedahkan

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal dengan tindakan Kementerian Pelajaran tidak mendedahkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) yang menunjukkan kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains.

Setiausaha Agung PKPIM Khairul Anwar Shazali mendakwa hasil kajian anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) itu juga mendapati majoriti negara yang menduduki tangga teratas dalam kajian itu menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.

"Laporan TIMSS 2007 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu seharusnya menjadi kayu ukur letak duduk pelajar Malaysia di arena antarabangsa. Ia turut menggambarkan betapa program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah merudumkan prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains," katanya dalam satu kenyataan di sini.

TIMSS 2007 adalah kajian perbandingan antarabangsa yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik dan Malaysia telah terlibat di dalam kajian ini sebanyak tiga kitaran iaitu pada 1998 hingga 2000, 2001 hingga 2004 dan 2005 hingga 2008.

Seramai 4,466 pelajar Tingkatan Dua, 150 guru Matematik dan 150 guru Sains yang mengajar pelajar Tingkatan Dua daripada 150 sekolah seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kajian itu.

"Perlu diberi perhatian bahawa murid Tingkatan Dua yang menjadi responden kajian ini adalah generasi pelajar Malaysia yang melalui program PPSMI, jadi dapatan TIMSS 2007 ini turut memberi gambaran akan keberkesanan PPSMI," kata Khairul Anwar.

Beliau berkata kedudukan Malaysia daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007 bagi mata pelajaran Matematik berbanding 46 buah negara dalam TIMSS 2003, telah merosot daripada kedudukan tempat ke-10 kepada tempat yang ke-20.

"Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik ialah 474 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500. Skor ini juga telah merosot sebanyak 34 mata pada 2007 berbanding 508 pada TIMSS 2003.

"Negara-negara yang mempunyai skor purata yang lebih tinggi dan perbezaanya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah China Taipei (598), Korea (597), Singapura (593), Hong Kong (572), Jepun (570), Hungary (517) dan Rusia (512)," katanya.

Katanya kedudukan Malaysia bagi mata pelajaran Sains juga telah merosot daripada kedudukan tempat ke-20 (TIMSS 2003) kepada tempat ke-21 pada TIMSS 2007.

"Skor purata Malaysia (Sains) juga telah merosot sebanyak 29 kepada 471 (TIMSS 2007) berbanding Singapura (567), China Taipei (561), Jepun (554), Korea (553), England (542), Hungary (539), Australia (515) dan Sweden (511)," katanya.

Khairul Anwar juga mengulangi pendirian PKPIM yang menolak dan membantah pelaksanaan PPSMI.

-- BERNAMA

Wednesday, February 11, 2009

PKPIM DEDAHKAN DAPATAN KAJIAN TRENDS IN INTERNATIONAL MATHEMATICS AND SCIENCE STUDY (TIMSS 2007) ANJURAN INTERNATIONAL ASSOCIATION FOR THE EVALUATION



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melalui sumber yang boleh dipercayai telah menerima dokumen kertas kerja makluman dapatan kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Kertas kerja tersebut telah dibentangkan sebagai makluman dapatan kajian TIMSS 2007 kepada Ahli Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia.



TIMSS 2007 adalah kajian perbandingan antarabangsa yang mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan kurikulum Sains dan Matematik. Penyertaan Malaysia di dalam kajian ini telah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Ogos 2000 selepas dibentangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Malaysia telah terlibat di dalam kajian ini sebanyak tiga kitaran iaitu kitaran pertama, 1998 hingga 2000, kitaran kedua, 2001 hingga 2004 dan kitaran ketiga, 2005 hingga 2008. TIMSS 2007 telah disertai oleh 59 buah negara daripada seluruh dunia.



Penglibatan Malaysia dalam kajian ini melibatkan murid Tingkatan 2. Seramai 4,466 orang murid Tingkatan 2, 150 orang guru Matematik dan 150 guru Sains yang mengajar Tingkatan 2 daripada 150 buah sekolah menengah di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Murid Tingkatan 2 dalam kelas yang terpilih menduduki ujian pencapaian dan menjawab soal selidik murid. Guru yang mengajar Matematik dan Sains di kelas tersebut menjawab soal selidik guru, manakala Pengetua atau Penolong Kanan menjawab soal selidik sekolah.



Soalan-soalan telah disediakan oleh panel pakar dari seluruh dunia menggunakan format soalan aneka pilihan dan soalan terbuka. Mengikut trend, separuh dari soalan TIMSS 2003 telah digunakan semula dalam soalan TIMSS 2007. Soalan trend (soalan TIMSS 2003) tersebut masih ditulis dalam Bahasa Malaysia, manakala soalan baru (soalan TIMSS 2007) telah ditulis dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.



Perlu diberi perhatian bahawa murid Tingkatan 2 yang menjadi responden kajian TIMSS 2007 adalah generasi pelajar Malaysia yang melalui program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Justeru itu, dapatan TIMSS 2007 ini turut memberi gambaran akan keberkesanan PPSMI terhadap para pelajar Malayisa sekalipun tidak dikaitkan secara langsung di dalam kertas kerja yang dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia.



Dengan ini, PKPIM mendedahkan dapatan kajian tersebut adalah seperti berikut;

Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Matematik

1. Kedudukan Malaysia di dalam TIMSS bagi mata pelajaran Matematik telah merosot daripada kedudukan tempat ke-10 daripada 46 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2003 kepada kedudukan tempat ke-20 daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007.



Negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan perbezaannya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah China Taipei (598), Korea (597), Singapura (593), Hong Kong (572), Jepun (570), Hungary (517), England (513), Rusia (512), Amerika Syarikat (508), Lithuana (506), Republik Czech (504), Slovenia (501), Armenia (499), Australia (496), Sweden (491), Malta (488), Scotland (487) dan Serbia (486).



Enam daripada sembilan buah negara yang mendahului Malaysia dalam TIMSS 2003, masih mengatasi Malaysia dalam TIMSS 2007. Manakala 11 buah negara yang ketinggalan di belakang Malaysia dalam TIMSS 2003, telah melonjak dan mendahului Malaysia dalam TIMSS 2007 iaitu England, Rusia, Amerika Syarikat, Lithuana, Slovenia, Armenia, Australia, Sweden, Scotland, Serbia dan Itali. Dua peserta baru dalam TIMSS 2007 turut mendahului Malaysia iaitu Republik Czech dan Malta.



1. Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik ialah 474 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500, dan perbezaan ini adalah signifikan dari segi statistik. Skor purata Malaysia telah merosot sebanyak 34 daripada 508 (TIMSS 2003) kepada 474 (TIMSS 2007).



Peningkatan prestasi sebelas buah negara yang mendahului Malayisa dan enam negara lagi yang yang hampir sama dengan Malaysia dalam TIMSS 2007 berbanding dengan kedudukan mereka yang lebih rendah dari Malaysia dalam TIMSS 2003 mungkin menyumbang kepada peningkatan skor purata antarabangsa dalam TIMSS 2007. Ini memberi gambaran bahawa ketika prestasi Matematik murid antarabangsa meningkat, prestasi Matematik murid Malaysia menghadapi kemerosotan.



Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Sains

1. Kedudukan Malaysia di dalam TIMSS bagi mata pelajaran Sains juga telah merosot daripada kedudukan tempat ke-20 daripada 46 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2003 kepada kedudukan tempat ke-21 daripada 49 buah negara yang mengambil bahagian di dalam TIMSS 2007.



Negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan perbezaannya adalah signifikan berbanding Malaysia ialah Singapura (567), China Taipei (561), Jepun (554), Korea (553), England (542), Hungary (539), Republik Czech (539), Slovenia (538), Hong Kong (530), Rusia (530), Amerika Syarikat (520), Lithuana (519), Australia (515), Sweden (511), Scotland (496), Itali (495), Armenia (488), Norway (487) dan Ukraine (485).



1. Skor purata murid Malaysia bagi mata pelajaran Sains ialah 471 berbanding skor purata antarabangsa iaitu 500, dan perbezaan ini adalah signifikan dari segi statistik. Skor purata Malaysia telah merosot sebanyak 29 daripada 510 (TIMSS 2003) kepada 471 (TIMSS 2007).



PKPIM mendapati hasil daripada pengamatan daripada dapatan kajian di atas, majoriti negara-negara yang memperolehi skor purata yang lebih tinggi dan mendahului kedudukan di tangga teratas di dalam TIMSS 2007, menggunakan Bahasa Kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik. Nasib buruk pula yang menimpa Malaysia di dalam TIMS 2007 kerana padah menggunakan Bahasa Inggeris yan bukan Bahasa Kebangsaan Malaysia sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran dan pengajaran subjek Sains dan Matematik.



Laporan penuh TIMSS 2007 boleh dimuat turun daripada laman sawang rasminya di alamat, www.timss.bc.edu/TIMSS2007/intl_reports.html yang memecahkan kepada dua iaitu laporan TIMSS 2007 untuk Matematik dan Laporan TIMSS 2007 untuk Sains.



PKPIM berasa kesal terhadap KPM kerana tidak mendedahkan laporan TIMSS 2007 kepada umum. KPM seolah-olah cuba menyembunyikan fakta laporan ini yang jelas tidak berpihak kepada KPM. PKPIM kesal kerana KPM tidak bersikap objektif di dalam menilai keberkesanan PPSMI demi menjaga air muka dan kepentingan KPM setelah melakukan kesilapan dengan melaksanakan PPSMI sejak tahun 2003 dahulu. KPM secara jelas mengenepikan kepentingan dan untung nasib para pelajar dan guru yang terbeban dengan PPSMI.



PKPIM turut kecewa dengan KPM yang seolah-olah tidak ambil peduli akan laporan TIMSS 2007. Laporan TIMSS 2007 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu seharusnya menjadi kayu ukur letak duduk para pelajar Malaysia di arena antarabangsa. Ia turut menggambarkan betapa program PPSMI yang dilaksanakan telah merudumkan prestasi para pelajar Malaysia di dalam Matematik dan Sains.



Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI. Sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia. PKPIM komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan. PKPIM memberi mesej yang jelas bahawa PPSMI harus ditamatkan.



PKPIM sedar bahawa penamatan PPSMI secara mendadak ketika sesi persekolahan tahun ini yang sudah pun bermula akan membawa kesan buruk kepada para pelajar. Justeru, PKPIM mendesak KPM untuk segera memutuskan penamatan PPSMI menjelang tahun hadapan. PKPIM menawarkan diri untuk terlibat di dalam menyumbangkan pendapat dan cadangan di dalam merangka pelan peralihan PPSMI untuk kembali menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan dalam pada masa yang sama mencari jalan ke arah memperkasakan kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar.





KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI

Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Thursday, February 5, 2009

MOMENTUM GMP MAKIN HEBAT

Kuala Lumpur, 31 Januari- Perhimpunan pelancaran Gerakan Mansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (GMPPSMI) menghangatkan suasana di kala hujan turun renyai-renyai di hadapan pusat beli belah SOGO seawal jam 3 petang menjadi petanda momentumnya kian hebat.

Perhimpunan yang dihadiri oleh pemimpin dan pengikut beberapa NGO dan Pakatan rakyat serta orang awam itu melancarkan gerakan mansuh PPSMI bagi membela dan mempertahankan Bahasa Melayu yang kini kian rapuh penggunaannya sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi terutamanya apabila polisi PPSMI dijalankan secara rasmi pada 1 Januari 2003.

Idea PPSMI diperkenalkan oleh YAB Tun.Dr.Mahathir Mohamad seawal tahun 1993. Namun pada tahun 2003, polisi itu di jalankan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan para professional dan penyelidik serta rakyat jelata.

PPSMI dikatakan dapat membantu pelajar menguasai bidang sains dan matematik. Pada masa yang sama juga dapat menambah konteks masa bagi pembelajaran bahasa Inggeris untuk memantapkan penguasaan bahasa itu dalam menghadapi cabaran di era gobalisasi.

Namun begitu, ramai tokoh ilmuan menyatakan itu adalah pemikiran orang yang cetek ilmu dan tidak berpandangan jauh. Ubat yang paling mujarab dalam menghadapi cabaran globalisasi adalah berpegang teguh pada identiti diri sendiri bukannya mengorbankan bahasa yang menjadi tunjang jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.
Dato' Hassan Ahmad. Pemain Utama dalam GMP

Dengan kata lain, untuk menghadapi tuntutan globalisasi dan industrialisasi, kita harus berfikiran global tetapi bertindak secara lokal ataupun menepati waqi’iyah semasa. Penukaran pengajaran dan pembelajaran subjek sains dan matematik bukan jawapan yang tepat untuk menjadi rakyat Malaysia glokal.

Semasa pelancaran GMPPSMI diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo, pejuang bahasa juga merangkap ketua GMP, Dato’ Hassan Ahmad berkata mereka akan menjalankan beberapa siri ‘road show’ di negeri-negeri untuk menarik perhatian rakyat Malaysia tentang bahaya PPSMI ini terhadap generasi pelajar dan masa depan Negara Malaysia keseluruhannya.

Beliau juga menyatakan bahwasanya polisi yang dijalankan oleh Kerajaan ini sebagai tidak patut kerana mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa yang hampir 90% mereka tidak kuasai. Kenyataan ini adalah benar berdasarkan kajian yang telah di buat oleh beberapa kumpulan ahli ilmuan dan professional.

Kajian-kajian professional yang telah dijalankan seperti oleh ahli akademik UPSI dan UKM menyatakan polisi itu telah gagal. Walaupun begitu pihak Kementerian Pelajaran cuba menafikan dengan mengumumkan bahawa keputusan UPSR dan PMR baru-baru ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Selain itu, pelancaran GMPPSMI telah dihadiri oleh beberapa tokoh dan pejuang bahasa yang banyak menyumbang kepada pembangunan Negara seperti Dato’ A. Samad Said, Prof. Awang Sariyan, Prof. Abdullah dan beberapa ahli politik dari Pakatan Rakyat. Ini mengundang perhatian orang awam dan pihak media sendiri.

Perhimpunan itu walaubagaimanapun berjalan secara aman bukannya hambar sepertimana sebuah media arus perdana gembar-gemburkan. Sekumpulan pihak polis juga bertanggungjawab dalam memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar. Perhimpunan itu bersurai setelah sesi pelancaran dan interviu yang mengambil masa hampir setengah jam tamat.

Sebagai maklumat terbaru, GMPPSMI akan menyerahkan memorandum untuk semua ahli parlimen di hadapan banggunan Parlimen pada 17 Februari ini. Pada 7 Mac pula, GMPPSMI akan mengadakan Perhimpunan Raksasa 100 Ribu- Hapuskan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran Sains dan Matematik pada jam 2 petang di depan Istana Negara, Kuala Lumpur. Semua rakyat Malaysia yang sayangkan Negara dijemput hadir. Selamatkan bahasa kebangasaan kita! Bahasa Jiwa Bangsa! Bahasa Melayu untuk semua! Bahasa Melayu bahasa ilmu, sains dan teknologi! Bahasa Melayu antara bahasa terbesar di dunia!

Non Partisan: Satu Penjelasan



Dalam mencari jawapan kepada krisis umat yang berlaku, Prof Syed Naquib Al-Attas menjadikan krisis kekeliruan Ilmu sebagai faktor terbesar kepada permasalahan pokok ini. Maka, menurut beliau, penyelesaian menerusi pendekatan pendidikan dan bukan politik merupakan wadah terbaik untuk menyelamatkan umat dari terus dirundung kehinaan. 

Lantaran, ia harus dimulai dengan pembentukan idealisme dan perubahan cara berfikir masyarakat Islam secara menyeluruh tanpa dibatasi fahaman politik. Dalam pada itu, ia juga memerlukan kredibiliti ilmu, sikap agresif dan iltizam penggerak risalah nubuwwah yang sentiasa dekat dengan denyut nadi umat sepertimana yang dirumuskan oleh Malik Bennabi sebagai quwwatu ruh wa ‘aql. 

Atas dasar ketidakterikatan dengan sesebuah fahaman yang tertutup, revolusi Islam yang dibawa Dr Ali Syariati menerusi gagasan “Rausyan Fikr” berjaya menarik sokongan bukan sahaja mereka yang berfahaman Islamis, tetapi juga sekularis, liberalis, dan sosialis. Berbeza dengan senario kita hari ini, atas dasar kemujudan partisan yang dibawa oleh sebahagian gerakan Islam dalam kampus menjadi faktor utama kelembapan gelombang ledakan ‘ubudiah pada era kini di kalangan generasi muda. Kesannya, generasi muda hari ini hanya didoktrin dengan idea-idea partisan politik yang terkongkong sehingga tidak lagi mampu berfikir merentasi sempadan politik. Akhirnya, golongan ini melihat aktivis Islam sebagai golongan pendokong kepada kepentingan sesebuah fahaman politik semata-mata. 

Maka, bagi PKPIM, sudah tiba masanya untuk kita melihat masyarakat menerusi kaca mata dakwah dan bukan politik. Apabila kaca mata dakwah digunakan, kita akan menganggap seluruh pihak sebagai rakan dan mad’u. Tetapi, jika kita menggunakan kaca mata politik, kita akan menganggap golongan yang tidak bersama kita sebagai musuh yang wajib diperangi. 

Pengelasan individu menerusi ideologi politik seperti yang dinyatakan telah membina tembok penghalang kita untuk sampai ke mad’u. Maka, jambatan hubungan dengan umat tanpa dibatasi dengan diskriminasi politik atau partisan kepada sesebuah parti politik harus dibina. Sementara itu, budaya “menghukum” seperti melabelkan mereka yang tidak sehaluan dengan kita sebagai tidak Islamis seharusnya diganti dengan budaya “mendidik”. 

Dalam konteks Pilihan raya kampus sendiri, PKPIM mengambil pendirian wasatiah dan berlapang dada dengan seluruh pihak tanpa dikongkong oleh doktrin mana-mana parti politik. Begitu juga dalam setiap tindakan yang diambil, PKPIM sentiasa berpegang kepada paksi kebenaran dan keadilan tanpa keterikatan dengan mana-mana ideologi politik. 

Atas dasar “non partisan” yang diambil, PKPIM tidak pernah mewajibkan penggeraknya untuk berpegang kepada mana-mana wadah politik sebagai manhaj pembawakan Islam. Apa yang penting matlamat Islah wa Tajdid itu sentiasa menjadi prinsip yang tegar dalam perjuangan. Lantaran dari sikap tasamuh yang diambil, PKPIM punyai ramai tokoh yang dicorak melalui kerangka PKPIM dan Abim sendiri sama ada di dalam UMNO, PKR, mahupun Pas. Sebagai contoh, di dalam PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub sendiri merupakan bekas Presiden PKPIM ketika di kampus selain Shamsul Iskandar Mat Akin. Begitu juga di dalam Pas yang terdiri dari Almarhum Ustaz Fadzil Nor, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato Kamarudin Jaffar dan ramai lagi. Dalam pada itu, tokoh PKPIM yang cenderung kepada UMNO juga tidak kurang ramainya seperti Dato Saifuddin Abdullah, Dato Ahmad Shabery Cheek, Dato Kamarudin Mohd Nor dan sebagainya.

Faisal Abdul Aziz
Naib Presiden Antarabangsa 
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...