Thursday, December 12, 2013

Diari Tamrin Nisa’ Kebangsaan 2013

“ TNK adalah satu momentum yang memainkan peranan dalam meningkatkan jati diri dan perjuangan wanita,” ucap Abang Aliemran, ditemani ‘Abe’. Inilah pesanan yang masih utuh dalam ingatanku sebelum kami berangkat ke Sungai Lepoh Chalet, Hulu Langat Selangor.Bicaranya yang ringkas dan padat itu mampu menggetarkan jiwa-jiwa wanita yang khusuk mendengar.Aku memandang tepat ke arah mata wanita-wanita yang duduk di sekelilingku.Benarlah, cahaya yang terpancar dari mata mereka seolah sedang merakam satu pesanan dari seorang pemimpin yang bersifat berwibawa dan tegas.Lantas satu azam yang besar ditanam di dalam jiwa-jiwa mereka, begitu juga aku.

Tamrin Nisa’ Kebangsaan 2013 yang diadakan pada 29 November hingga 1 Disember 2013, menghidangkan juadah ilmu yang begitu lazat kepada jiwa kami yang bernama wanita beragama Islam. Sebelum kami melelapkan mata tetapi tidak mendiamkan akal, taklimat program diterangkan terlebih dahulu oleh Kak Sakinah.Seterusnya, bacaan al-Mulk langsung meniti dibibir kami.

Setelah mengembara mimpi, aku dikejutkan oleh suara gemersik Kak Hawa Sakinah.Aku memandang jam di tangan. Jarum jam menunjukkan tepat di angka empat dua puluhpagi. Meski tidak kedengaran ayam jantan berkokok pada subuh yang dingin ini.Namun, para peserta tidak terlewat untuk menyiapkan diri serta bersemangat menyarungkan niat untuk beribadah kepada Allah. LaluQiamulail, zikrullah dan tilawah al-Quran menjadi penghias dewan. Setelah menunaikan solat subuh berjemaah, Kak Hafizah dari UKM menghidupkan jiwa kami dengan berkata “ Bersyukurlah dengan ketentuan-Nya kerana kita mejadi golongan yang terpilih untuk datang ke sini ” Bicaranya itu membuatkan mataku yang kuyu tiba-tiba segar dan bertenaga. Jari-jemariku memicit-micit bahu kananku sambil merenung bicara yang dilontarkan oleh Kak hafizah. Ya! Benarlah, golongan yang bersyukur amat sedikit di bumi ini, semoga aku dan semua peserta Tamrin tergolong dalam golongan yang bersyukur.Pada 6.50 pagi, kami bermandi peluh dengan pelbagai aktiviti menarik yang berjaya mengasah minda kami. Antaranya, permainan ‘Gerabak Kutip Sampah’.Namanya pelik.Geli hatiku mendengarnya sehingga membuatkan aku tersengih menampakkan gigi yang tersusun.Kami diminta oleh Kak Fatimah untuk mengutip sampah yang sengaja ditaburkan di tepi dewan. Sampah berupa surat khabar. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua.Meskipun permainan ini kelihatanpelik, namun masing-masing telah mencedok pengajaran di sebalik permainan ini.

Antaranya, dalam pelantikan jawatan dalam sesebuah Jemaah atau organisasi.Seeloknya jalankan Syura, agar dapat memilihdan melantik seseorang yang layak menjadi ketua.Malah dalam mesyuarat, setiap ahli jemaah berhak memberikan pendapat.Sungguh, berbagai pendapat serta buah fikiran dari ahli jemaahlah yang kita inginkan.Namun, semua ahli wajib menghormati keputusan ketua.Peranan ketua adalah memilih dan menentukan keputusan daripada perbincangan yang diadakan. Justeru, seseorang yang bergelar ketua wajib membuat keputusan yang bijaksana serta memberi kebaikan kepada orang lain dan bukanlah mementingkan diri sendiri.

Pagi itu, mentari memancarkan sinarnya yang membahang.Jari-jemariku meraba saku seluar untuk mengambil sapu tangan.Lalu, aku mengelap peluh yang memercik di dahi.Kelihatannya, panas terik tidak menghalang para peserta dan para urusetia dari meneruskan aktiviti seterusnya.Aku kagum melihat wajah-wajah itu yang tidak terpancar sedikit pun perasaan penat mahupun lelah.Para urusetia seolah-olah sentiasa berlari di jalan Allah.Mereka berusaha menyediakan aktiviti yang mampu mendidik dan membentuk jiwa Nisa’ agar bersedia berjuang di jalan-Nya.Pengorbanan mereka secara tidak langsung mendidik hati-hati yang sedang memerhati gerak kerja mereka.

Bermula jam sepuluh sehingga dua belas empat puluh lima pagi, Puan Nordiran bt Idris lantang bersuara “Kita berjuang! Berdakwah untuk Allah, Rasul dan Ummah serta diri sendiri” Pesanan dari seorang wanita berjiwa kental serta terlibat dengan penubuhan Baitul Rahmah telah menyuburkan benih perjuangan dalam sanubari kami.Benarlah, bukan mudah untuk menjadi askar-askar Allah. Namun, segalanya pasti berjalan lancar apabila niat berjuang adalah untuk Allah serta bersedia dengan kelengkapan sebagai askar pejuang Islam. Benak fikiranku tiba-tiba menerbitkan satu soalan ‘ Mampukah kami menjadi khalifah Allah yang baik di muka bumi ini?’ Jawapannya ada di dalam setiap hati-hati pada waktu itu.Kerana bagiku, tiada perkataan tidak mampu dalam hidup ini.Yang ada adalah mahu atau tidak mahu. Apabila perasaan mahu itu berkobar-kobar dalam jiwa seseorang, sudah tentu dia akan berusaha untuk mencapai impiannya untuk menjadi Khalifah Allah yang terbaik. Semoga kami yang berjiwa wanita di alam remaja ini berusaha menjadi menjadi Khalifah-Nya yang terbaik.Sesungguhnya, sekiranya mahu hasil lebih, usaha juga kena lebih seta menggunakan langkah yang betul.Sebagaimana tidak mungkin kita mampu memancing ikan siakap berumpankan selipar besi berkarat.Sudah tentu kita perlu berusaha membeli umpan yang sesuai meskipun harganya mahal melambung.Maka, belajarlah berusaha dan berkorbanlah.Bicara hatiku kepada sanubariku.

Usai solat berjemaah serta menguruskan diri.Sekali lagi kami dijuadahkan dengan ilmu bermanfaat yang bertajuk Tarvokasi oleh Naib Presiden ABIM.Aku membetulkan tudung yang tidak senget sambil mengetuk-ngetuk simen di hadapanku.Bukanlah kerana simen itu tidak cukup pasir, tetapi kerana terlalu hairan dengan tajuk yang tidak pernah menjadi santapan telingaku.Ternyata, tarvokasi adalah gabungan perkataan antara Tarbiyah dan Advokasi.Pelbagai kaedah advokasi yang dijelaskan oleh beliau, antaranya ucapan awam, menyanyi serta ‘funeral mood’.Namun, kaedah tersebut haruslah tidak berbentuk jenayah atau mengundang bahaya.Advokasi adalah salah satu cara untuk mengetengahkan sesuatu isu agar diselesaikan dengan betul. Sesungguhnya, perkara inilah yang mampu dilakukan oleh seseorang yang berjiwa kental dan berani.Beranikah aku?Soal jiwaku, sengaja memerli hatiku yang lemah.

 Pada malamnya, aku cuba menguatkan mata yang kuyu agar fokus serta menadah telinga supaya mampu menangkap setiap pesanan yang berharga oleh Ustazah Adila dan Ustazah Akmariah Abdullah. Forum bertajuk Menjiwai Ibrah Perjuangan Mujahidah Islam ini diserikan oleh Kak Wan Noor Fadhilah sebagai pengacara.Antara tokoh mujahidah yang diketengahkan adalah Saidatina Asma’ Ibn Abu Bakr serta Saidatina Khadijah yang begitu tersohor akanpengorbanan mereka dalam membantu perjuangan Nabi Muhammad (S.A.W) menyebarkan Islam. Benarlah bahawasanya akhlak ialah cerminan peribadi serta ikutan kepada kepada orang lain.Selain itu, orang yang hebat mempunyai akhlak yang tinggi serta mampu mengawal emosinya.Forum ini juga menjelaskan konsep da’ie yang merujuk kepada pendakwah yang bukan sahaja menyampai tetapi juga melaksanakan serta berakhlak.Malah, forum ini juga menjelaskan bahawa PKPIM adalah satu sebuah organisasi Harakiy iaitu organisasi gerakan dan menggerakkan.PKPIM juga besifat menyeluruh yang tidak bergerak pada sesuatu masa sahaja seperti sesebuah program yang hanya bergerak pada bulan Ramadhan sahaja.Banyak ilmu yang mampu kami tadah di dalam majlis ilmu ini. Aku begitu bersyukur Allah telah memilih aku serta sahabat-sahabat yang lain untuk hadir ke program seperti ini. Namun, hatiku juga menadah setangkai doa kepada Allah Azza Wa Jalla agar memberi peluang serta memilih sahahat-sahabat yang lain juga.

Tanggal 1 November 2013, program Tamrin Nisa’ Kebangsaan melabuhkan tirai untuk tahun ini.‘Usahlah bersedih, tahun hadapan pasti program ini akan kembali lagi’, pujuk hati kepada sepasang mata yang ingin mengalirkan mutiara.Setelah mendirikan solat subuh dan membaca ma’thurat di dalam perut dewan, Kultim iaitu kuliah tiga minit diimarahkan oleh para peserta yang berkongsi pesanan berkaitan wanita.Masihku ingat pesanan ringkas yang berisi oleh Kak Atika yang berbunyi “Lupakan kesalahan orang kepada kita tetapi ingatlah kesalahan kita kepada orang, Lupakanlah kebaikan kita kepada orang tetapi ingatlah kebaikan orang kepada kita”.Kak Hawa Sakinah juga turut berkongsi tentang Fiqh wanita kepada kami.Setelah Kultim, Kak Akmariah Abdullah yang sentiasa terukir senyuman manis di bibirnya berpesan kepada kami agar mencontohi sifat Salman Al-Farisi yang begitu bersemangat berhijrah ke serata dunia untuk mendapatkan ilmu sejak umur sembilan tahun. Bicara beliau teramatlah memanah hatiku serta membuatkan wajahku tunduk malu dek sifatku yang tidak acuh soal perkara ini.Beliau juga berpesan agar kita seharusnya berfikiran jauh serta mencipta jadual jangka masa panjang. Usai slot terakhir, kami bergambar di pentas dewan yang meyingkap kenangan bersama. Penutupan majlis ini dirasmikan oleh Prof. Rahmah daripada WADAH.Kami tidak lupa untuk melakukan perkara mustahak sebelum berpisah, iaitu bertukar nombor telefon serta muka buku.Alhamdulillah, kami membawa pulang gelas yang penuh dengan ilmu yang semoga mampu mendidik dan membentuk akhlak tinggi serta menjadi pejuang-pejuang Islam.Semoga program ini mampu menghidupkan hati-hati yang mudah tergelincir sepertiku agar sentiasa kuat dan utuh di jalan-Nya.MasyaAllah, Pepohon yang tumbuh hijau bagaikan melambai kepada kami yang melangkah pergi diiringi pawana yang bertiup lembut.Semoga sebuah program seperti Tamrin Nisa’ Kebangsaan mampu mendidik sejuta hati menjadi pejuang-pejuang Islam.


 Nukilan : Ku Siti Aminah Ku Mat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...