Monday, April 14, 2014

Pengalaman untuk memBANTU






 Pengamal undang-undang seringkali dikategorikan sebagai golongan yang ekslusif. Mungkin ada benarnya, kerana golongan ini dilatih untuk ‘membaca’ undang-undang  disamping memerlukan terjemahan dan tafsiran yang baik. Walau bagaimanapun, rasa hormat yang diberikan masyarakat kepada pengamal undang-undang khususnya di Malaysia, tidak boleh dijadikan ‘lesen’ bagi mereka mengaut keuntungan berganda dan menipu masyarakat. Penerapan etika dan professionalisme amat penting dalam personaliti seorang peguam. Oleh sebab itu, nilai ini tidak sepatutnya dijadikan jurang antara pengamal undang-undang dan masyarakat. Ini kerana profession kepeguaman adalah satu profession yang memberi khidmat kepada masyarakat bukan melebarkan lagi jurang antara golongan professional dan warga marhaen.

 Oleh sebab itu, ABIM, dibawah produk KAMAR, telah berjaya menganjurkan sebuah bengkel aktivis undang-undang dan masyarakat (BANTU) buat julung-julung kalinya pada 12 April 2014 bertempat di dewan utama ABIM Pusat, Kuala Lumpur. Berteraskan pada membina “ Keluarga Mawaddah dan Rahmah” (KAMAR), BANTU bertujuan menjadi medan perantara kepada masyarakat akan kefahaman undang-undang supaya hak-hak mereka tidak dicabul oleh pengamal mahupun pelaksana undang-undang itu sendiri.

 Bengkel ini berlangsung dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Pada sebelah pagi dan petang, masing-masing mempunyai satu sesi dan satu bengkel. Sesi 1 pada sebelah pagi menampilkan Cik Saadiah Din, merupakan seorang peguam berpengalaman di Messrs Sa’adiah Khoo Lo & Co. Penyampaian beliau lebih tertumpu kepada  klinik undang-undang dan peranan dalam masyarakat. Manakala, Tuan Shafezan Rusli telah diamanahkan untuk menjelaskan tentang hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Beliau merupakan Pendakwa Syari’e di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kedua-duanya juga merupakan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia.


 Bengkel 1 dan 2 dikelolakan oleh Puan Fadhlina Sidek, selaku Naib Presiden HELWA ABIM.  Pada bengkel yang pertama, para peserta didedahkan bagaimana untuk beradvokasi dengan betul. Advokasi didefinisikan sebagai satu desakan untuk mengubah masyarakat. Ianya boleh dilaksana dengan menggunakan cara penulisan (write), percakapan (speak), rayuan (plead), cadangan (recommend), pembelaan (defence) dan kerjasama dengan satu kelompok manusia.


 Secara keseluruhannya, advokasi terbahagi kepada lima jenis, iaitu, self advocacy, public advocacy, advocacy for citizen, advocacy to attack/give pressure dan parent advocacy. Advokasi memerlukan konsistensi dan kebolehtahanan tekanan yang datang dari luar. Oleh itu, untuk memulakan sesebuah advokasi tidak boleh sembarangan. Terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi. Yang pertama, pemberian maklumat. Advokasi adalah lemah tanpa hujah yang jelas beserta fakta. Pemberian maklumat juga boleh dilakukan dengan cara perkongsian peribadi. Hal yang seterusnya, mengurangkan kesenjangan emosi, mobilisasi kuasa dan tekanan. Untuk menggerakkan sesebuah advokasi yang mana penggeraknya mempunyai kuantiti yang tidak banyak, mobilisasi kuasa penting supaya persekutuan itu memberi impak kepada isu yang diperjuangkan. Manakala tekanan yang dimaksudkan adalah bagaimana hendak ditujukan sesuatu tekanan dengan betul. Tidak semua tekanan perlu dilakukan secara merusuh, sebagai contoh, media adalah satu medium yang sangat kuat yang dapat memberi tekanan kepada sesuatu badan atau individu. Begitu juga dengan selebriti.


 BANTU turut menampilkan aktivis ABIM yang telah ke Geneva, Switzerland, berkenaan isu hak asasi manusia, iaitu Saudara Khairul Anwar Ismail pada sesi sebelah petang.  Antara isu yang dibincangkan di dalam persidangan tersebut adalah isu LGBTIQ. LGBTIQ merupakan akronim kepada lesbian/gay/bisexual/transgender/intersexual/questioning.

 Terdapat percubaan  mendefinisikan perkara 2, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) iaitu melibatkan perkataan ‘jantina’ supaya diluaskakan merangkumi LGBTIQ. Di dalam Islam, kita menolak amalan songsang ini namun ini tidak bermakna Islam menafikan hak asasi mereka sebagai seorang manusia. Hak mereka sebagai contoh, hak untuk hidup, hak untuk mendapatkan pendidikan, hak untuk memiliki harta dan lain-lain perlu dilindungi dan jangan dinafikan. Yang ditolak adalah amalan mereka bukan keseluruhan hak-hak mereka sebagai seorang manusia.

 Jelas Saudara Khairul Anwar lagi, dalam menangani masalah ini, kita juga perlu faham bahawa orang Barat mengalami pengalaman sejarah  yang buruk. Kerana itulah tuntutan-tuntutan seperti itu timbul. Dan perisyhtiharan hak asasi mereka bermula pada 1948, terlalu lewat sekiranya dibandingkan hak asasi manusia yang dibawa Islam 1400 tahun yang lalu.

 Pada bengkel kedua yang bermula jam 3.30 petang, para peserta juga diberi penjelasan bahawa “Advocacy is not selling”. Ini bermaksud isu yang hendak dibawakan mestilah jelas. Ketika bengkel berlangsung para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan ini diberi peluang untuk memilih satu produk daripada beberapa produk yang telah tersedia di atas meja untuk meyakinkan para juri akan kebaikan dan keburukan produk tersebut. Kebanyakan kumpulan tersalah faham dalam memberikan isu advokasi mereka yang akhirnya presentasi lebih menjerumus kearah promosi jualan. Ternyata cara ini berkesan memahamkan peserta bahawa “Advocacy is not selling”. Seterusnya, setiap kumpulan dikehendaki memilih satu tajuk buku dan satu isu. Daripada dua tajuk itulah setiap kumpulan dikerah untuk merangka program di beberapa buah kampung yang dipilih sesuai dengan tahap penerimaan masyarakat. Perangkaan projek ini akan dijadikan program lapangan BANTU.

 Program ini ditutup dengan penyampaian amanat daripada tunggak penggerak program oleh Puan Fadhlina Sidek, Puan Maria Kamel dan aktivis ABIM yang terlibat secara langsung dalam isu advokasi Rohingya, Saudara Adli Zakuan. Program berakhir pada jam 5 petang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...