Tuesday, March 23, 2010

PERIBADI UNGGUL WANITA MUSLIMAH


Wanita seringkali dikaitkan dengan punca kepada jatuh atau bangunnya sesebuah tamadun. Kejatuhan Tamadun Rom sebagai contoh runtuh akibat daripada perebutan kuasa dan wanita antara si jelitawan Cleopatra, Marc Anthony dan Julius Caesar. Malah beberapa tamadun silam juga hancur akibat eksploitasi keatas kaum wanita yang dijadikan objek seks untuk merosakkan moral masyarakat setempat.

Namun, kedatangan Islam telah mengangkat darjat wanita ke kedudukan yang sangat mulia sehingga diabadikan di dalam Al-Qur’an seperti surah An-Nisa dan Maryam. Tokoh-tokoh wanita yang punya personaliti unggul dalam sejarah Islam seperti Khadijah, Asiah, Fatimah, Aisyah, Sumayyah, Hafsa, Nusaibah, Ratu Balqis, Siti Zulaikha, Asma’ , Khaulah dan ramai lagi (tidak tertulis nama-nama mereka) telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembinaan sebuah tamadun Islam yang ulung suatu ketika dahulu. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan faktor diri wanita merupakan cerminan kepada jatuh atau bangunnya sesebuah bangsa, Negara dan tamadun.

Kejadian wanita di dunia ini ibarat bunga. Ia bukan sekadar penyeri, tetapi punya hikmah tersendiri bagi yang mengerti. Rasulullah s.a.w sendiri mengibaratkan wanita sebagai pohon semalu. Setiap elemen yang menghiasi kejadian pohon semalu (bunga, duri, dan akarnya) amat berkait rapat dengan kejadian wanita.

Pertamanya, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh yang menggambarkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu pada tempatnya iaitu malu kerana ingkar kepada syariat agama, berkelakuan tidak senonoh dan hidup bergelumang dalam kemaksiatan.

Keduanya, duri pohon semalu menggambarkan wanita perlu mempertahankan maruah diri sebagai wanita Muslimah. Jika ini difahami secara tuntas, maka wanita tidak akan sesekali merendahkan martabat kejadiannya dengan mengikut budaya barat yang sudah hancur moralnya dengan melepas bebas rambutnya tanpa tudung, berpakaian seksi sehingga mengancam moral masyarakat lelaki, terjebak dengan seks rambang sehingga terjadilah fenomena pengguguran janin, buang bayi dan seangkatan dengannya.

Ketiganya, pohon semalu mempunyai akar tunjang yang sangat kuat mencengkam bumi yang menggambarkan bahawa wanita mestilah mempunyai keterikatan (rasa berTuhan) yang sangat teguh dengan Allah S.W.T. Para wanita yang solehah adalah mereka yang mentauhidkan Allah S.W.T dalam segenap aspek kehidupannya. Langkahnya didunia tidak tercabar dengan dakyah-dakyah pemikiran yang merosak pegangan akidahnya. Malah dia pula yang menjadi srikandi Islam yang menyelamat akidah umat Islam daripada terjerat di dalam kesesatan. Walau dunia maju sekalipun, pendiriannya sebagai Muslimah tidak pernah melampaui batas hukum-hakam syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T. menjadikan diri wanita tetap tegar dalam menjalani kehidupan, tidak mudah berputus asa, malah sanggup pula berkorban jiwa raga demi menegakkan keadilan dan menentang kebatilan.

Akhirnya, bunga semalu akan menguncup dengan sendirinya apabila senja menjelang menggambarkan kepada kita bahawa wanita perlu kembali kerumah (atau berada di tempat-tempat yang molek seperti majlis ilmu) apabila waktu senja menjelma. Begitulah metafora pohon semalu yang menjadi manifestasi keindahan wanita yang harus diambil iktibar oleh sekalian diri kita yang bergelar wanita Muslimah.

Selain itu, terdapat beberapa ciri Muslimah unggul lain yang harus disulam pada setiap diri wanita yang berbusana Muslimah iaitu:-

1- Qowiyyul jism- sihat tubuh badannya.

2- Matinul khuluq- unggul akhlaknya.

3- Muthaqqaful fikr- luas dan bernas fikiran

4- Qadiran ‘alal kasb- mampu mencari sara hidup => mandiri

5- Salimul ‘aqidah- murni aqidahnya

6- Sohihul ibadah- tepat ibadahnya

7- Mujahidan linafsih- tekun bermujahadah

8- Harison ‘ala waqtihi- peka dengan masa

9- Munazzaman fi syu’unihi- sistematik, teratur kerjanya

10- Nafi’an li ghairihi- bermanfaat kepada orang lain.

Kesimpulannya, kesemua ciri-ciri yang disebutkan diatas, merupakan mutiara-mutiara yang mengindahkan lagi kejadian wanita Muslimah yang berperibadi unggul. Motto ‘Hidup Biar Berjasa’ sentiasa menjadi ispirasi wanita berperibadi unggul untuk menabur bakti walau di mana dia berada, walau apapun dia berperanan dan walau apapun jawatan yang disandang agar keunggulan ini akhirnya dimanfaatkan dalam segenap aspek kehidupan peribadi, keluarga, sosial, ekonomi dan pentadbiran Negara. Justeru, produk akhirnya, maka akan lahirlah sebuah masyarakat, Negara dan tamadun yang dipanggil khayra ummah. InsyaAllah dan Wallahu’alam.

Di tulis oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP

Aktivis Hal Ehwal Majlis Wanita Islam (HEWI PKPIM)

Monday, March 22, 2010

PKPIM UIAM @ Kongres Mahasiswa Nasional


Alhamdulilah, berkat rahmat dan inayahNya, penulis beserta 4 sahabat yang lain sempat menghadirkan diri ke Kongres Mahasiswa Nasional bertempat di Dewan Sivik, MBPJ pada 20 bh Mac yang lepas mewakili front PKPIM. Berikut merupakan intipati yang dapat dikongsi bersama sepanjang kongres berlansung:

Sesi pertama kongres dimulakan dengan Pengenalan Front yang bernaung di bawah SMM. Apa yang dimaksudkan dengan SMM? SMM bermaksud Solidariti Mahasiswa Malaysia merupakan koalasi Gerakan Mahasiswa Malaysia yang mengabungkan pelbagai pertubuhan mahasiswa, sama ada rasmi ataupun tidak rasmi pertubuhannya. Penubuhan SMM sebenarnya adalah lanjutan atau kesinambungan dari aktivisme dan aspirasi Gerakan Mahasiswa mansuh ISA (GMMI) pada tahun 2001-2002. Menurut aktivis mahasiswa ketika itu, mahasiswa seharusnya tampil sebagai Independent groups, pressure groups, watchdog bagi mewakili masyarakat. Justeru, oleh kerana SMM bersifat multi-values, pelbagai nama pertubuhan seharusnya melambangkan citarasa bersama, akhirnya nama Solidariti Mahasiswa Malaysia dipersetujui bersama. Solidariti melambangkan kebersamaan pelbagai pertubuhan mahasiswa walaupun masing-masing mempunyai idealisme dan prinsip perjuangan sendiri. Antara front yang bernaung di bawah SMM ialah GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia), PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia), DEMA (Malaysia Youth and Student Democratic Movement), KARISMA (Kelab Rakan Siswa Islah malaysia ), KAMI ( Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent) dan yang terakhir PRO-M (Pro-Mahasiswa Nasional). Antara objektif asal penganjuran kongres ini dianjurkan oleh SMM adalah untuk menyusun semula gerakan mahasiswa peringkat nasional selain memperkemaskan struktur gerakan di setiap peringkat (nasional dan kampus), tidak ketinggalan juga untuk Re-branding semula SMM sebagai satu wadah koalasi gerakan mahasiswa yang terbesar di peringkat nasional.

Seterusnya ucapan perasmian oleh YB Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen lembah pantai) dan di sebelah petang, slot kedua diisi dengan Pembentangan Gerak Kerja Pro Mahasiswa Nasional. Bermula dari sejarah penubuhan sehinggalah gagasan perjuangan Pro Mahasiswa. Gagasan Pro-M merupakan gagasan yang menyatukan aktivis-aktivis mahasiswa semua front kampus di peringkat nasional dan universiti. Antara gagasan perjuangan Pro-M merangkumi 1) Demokrasi 2) Integriti 3)Intelektual 4)Kebajikan Mahasiswa. Antara lain, gerak kerja Pro-M termasuklah pilihanraya kampus, turun pada masyarakat, Bengkel Kepimpinan Mahasiswa, Bengkel Pengurusan Pilihanraya Se-Malaysia, Konvensyen Mahasiswa Nasional dll.

Kongres diakhiri dengan Resolusi yang telah disepakati oleh semua FRONT yang terlibat. Front akan berpegang pada 5 prinsip kebersamaan dalam SMM iaitu:
  1. INTEGRITY
  2. INDEPENDENT
  3. RESPONSIVE
  4. PROGRESSIVE
  5. INTELLECTUAL
Front juga akan membumi ke lima-lima prinsip ini di Kampus dan juga meluaskan skop perjuangan mahasiswa secara holistik dan integral.

Sekilas Pandang...

~ Secara keseluruhan, Kongres Mahasiswa Nasional di anggap berjaya setelah hampir 3kali bertukar tempat penganjuran akibat birokrasi Kerajaan dan hanya duduk beralaskan karpet. Tahniah kepada penganjur.
~ Namun, Kongres kali ini masih lagi memaparkan isu yang berlegar di sekitar mahasiswa yang bersifat "minor". Hanya tertumpu kepada satu front sahaja dan boleh diklasifikasikan sebagai "dominant actor" dalam SMM
~ Seharusnya, mahasiswa perlu mencakna minda dan membawa idealisme yang lebih besar dan tidak hanya complesen di dalam kepompong kampus semata-mata. Erti dan makna "kebersamaan" perlu di perhalusi dan difahami secara telus agar isu "Label" terutama di Kampus UIA semasa PRK dapat dielakkan dan seterusnya mencorakkan satu persaingan yang sihat.
~ Seharusnya, penganjur menukar "ahli politik kepada cendakiawan" agar kongres dilihat seimbang dan tidak dibayangi mana-mana parti politik.
~ Demokrasi Mahasiswa perlulah diteliti secara jelas dan tuntas agar Mahasiswa tidak di pandang sebagai golongan "cepat MELATAH".
~ Akhirnya, Kongres kali ini membuka minda penulis tentang realiti gerakan mahasiswa di Malaysia dan Biro Tugas-Tugas Khas (TTK) PKPIM UIAM akan bersama-sama kepimpinan PKPIM pusat untuk membumi 5 Prinsip yang telah dipersetujui dalam gerak kerja Gerakan, InsyaALLAH.

Terjemahan Puisi Iqbal oleh Pak Natsir:

"Harapan kepada pemuda
Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup
membangunkan zaman yang baru
memperbaharui kekuatan iman
menjalankan pelita hidayat
menyebarkan ajaran Khatamul-anbiya'
menancapkan di tengah medan pokok
ajaran Ibrahim

Api ini akan hidup kembali dan membakar
jangan mengeluh jua, hai orang yang mengadu
jangan putus asa, melihat lengang kebunmu
cahaya pagi telah terhampar bersih
dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu
Khalifatul Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu

bersedialah dari sekarang
tegaklah untuk menetapkan engkau ada
denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali
Engkaulah minyak atar itu, meskipun masih tersimpan
dalam kuntum yang akan mekar

Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini
Agar harum-harum narwastu meliputi segala
Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak
hanya berbunyi ketika terhempas di pantai

Tetapi jadilah kamu air bah, megubah dunia dengan amalmu
Kipaskan sayapmu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikan segala dengan nama Muhammad"


::Fikir&Zikir::
~Fikrah Insaniah~




Friday, March 19, 2010


TITIK PERMULAAN KEARAH KEBANGKITAN


Dalam kekalutan sosio-politik Negara yang semakin celaru, PKPIM UIAM seharusnya tidak lemah dalam mendepani rencam ini. Malah kita seharusnya menggandakan usaha untuk mengajak masyarakat kepada gagasan yang didokong PKPIM keseluruhannya iaitu ‘Ta’dib Kepemudaan’ yang bertunjangkan prinsip perjuangan ‘amar makruf nahi munkar’ selari dengan usaha kita kearah menancap akar aqidah dan tarbiyyah ke dalam diri dan masyrakat sekelilingnya. Belum terlambat untuk kita bangkit memperbetulkan mana-mana yang bengkok, menampung mana-mana yang lompong dan memperkasakan mana-mana yang sudah elok.

Justeru, menurut Ustaz Hasan Al-Bana, terdapat beberapa keperluan yang perlu bagi mencapai agenda kebangkitan. Dalam ‘Hala tuju dakwah kita’, beliau telah menyebut,

“Pembentukan dan pembinaan sebuah bangsa, merealisasikan sebuah impian dan memperjuangkan sebuah prinsip memerlukan seluruh bangsa dan atau sekurang-kurangnya sekumpulan manusia yang mahu mencapai cita-cita ini memiliki jiwa yang benar-benar kental yang dapat dilihat melalui beberapa aspek iaitu:

1. Kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat oleh kelemahan.
2. Kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan.
3. Pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak dan kedekut.
4. Memahami prinsip, meyakininya, menghormatinya, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip lain.

“dengannya hanya memiliki kesemua asas yang berbentuk rohani ini dan dengan memiliki kekuatan rohani yang agung akan tertegak sebuah prinsip dan akan mampu membentuk jiwa bangsa yang bersemangat waja dan akan bermula kembali suatu kehidupan bagi mereka yang telah sekian lama tidak merasainya.

“Mana-mana bangsa yang kehilangan keempat-empat sifat ini ataupun pemimpin dan pendokong pembaharuannya kehilangan sifat-sifat ini, bangsa ini adalah bangsa yang tidak berharga dan malang. Bangsa ini tidak akan mampu mencapai kejayaan dan tidak akan dapt merealisasikan impian mereka. Mereka akan hanya hidup dalam dunia sangkaan, khayalan dan impian.”sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Maksud Yunus:36)

Justeru, janganlah ada rasa rendah diri sebagai anak muda. Kekalahan dalam aspek psikologi dikalangan kita hanya akan menjadikan kita hina sebagai Muslim. Usaha yang harus dilakukan sekarang adalah penjanaan semula tenga positif yang membangkit nilai diri yang positif dan berjiwa perkasa. Yakinlah, mana-mana bangsa yang punya percaya diri yang tinggi dengan keupayaannya sebagai pendakwah muda serta mengetahui jalan kearah kejayaan sudah tentu kejayaan mereka tidak dapat disangkal oleh hukum Allah S.W.T. yang adil. InsyaAllah dan wassalam.

Rujukan:

Abdul Hamid Al-Ghazali. (2004). Perkara Asa dalam Agenda Kebangkitan Ummah:Kajian Berdasarkan Gagasan Imam Al-Bana. Selangor: Penerbitan Teras Bakti.

Mimosa @;--

Tuesday, March 9, 2010

Forum MAHASISWA MENGGUGAT

PERHATIAN!!!
PKPIM akan menganjurkan forum MAHASISWA MENGGUGAT:
"Realiti atau Fantasi"
Bertempat di: Dewan Kuliah f(dkf), Fakulti Sastera & Sains Sosial,
Universiti Malaya
pada: 11 MAC 2010(KHAMIS)
Masa: 8 mlm
Ahli Panel:
1) Dato Saifuddin Abdullah-Timb. Menteri Pengajian Tinggi
2)Prof Redzuan Othman(pakar sejarah)
3)Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar(Penulis buku Mahasiswa Menggugat)
SEMUA DIJEMPUT HADIR!!!
bersama membugar budaya ilmu~
maklumat lanjut, hubungi saudari akmariah-0133268277/saudara tarmizi-0148415674
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...