Pengamal undang-undang seringkali dikategorikan sebagai
golongan yang ekslusif. Mungkin ada benarnya, kerana golongan ini dilatih untuk
‘membaca’ undang-undang disamping memerlukan
terjemahan dan tafsiran yang baik. Walau bagaimanapun, rasa hormat yang diberikan
masyarakat kepada pengamal undang-undang khususnya di Malaysia, tidak boleh
dijadikan ‘lesen’ bagi mereka mengaut keuntungan berganda dan menipu
masyarakat. Penerapan etika dan professionalisme amat penting dalam personaliti
seorang peguam. Oleh sebab itu, nilai ini tidak sepatutnya dijadikan jurang
antara pengamal undang-undang dan masyarakat. Ini kerana profession kepeguaman
adalah satu profession yang memberi khidmat kepada masyarakat bukan melebarkan
lagi jurang antara golongan professional dan warga marhaen.
Oleh sebab itu, ABIM, dibawah produk KAMAR, telah berjaya
menganjurkan sebuah bengkel aktivis undang-undang dan masyarakat (BANTU) buat
julung-julung kalinya pada 12 April 2014 bertempat di dewan utama ABIM Pusat,
Kuala Lumpur. Berteraskan pada membina “ Keluarga Mawaddah dan Rahmah” (KAMAR),
BANTU bertujuan menjadi medan perantara kepada masyarakat akan kefahaman
undang-undang supaya hak-hak mereka tidak dicabul oleh pengamal mahupun
pelaksana undang-undang itu sendiri.
Bengkel ini berlangsung dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang.
Pada sebelah pagi dan petang, masing-masing mempunyai satu sesi dan satu
bengkel. Sesi 1 pada sebelah pagi menampilkan Cik Saadiah Din, merupakan
seorang peguam berpengalaman di Messrs Sa’adiah Khoo Lo & Co. Penyampaian
beliau lebih tertumpu kepada klinik
undang-undang dan peranan dalam masyarakat. Manakala, Tuan Shafezan Rusli telah
diamanahkan untuk menjelaskan tentang hak dan tanggungjawab di bawah
undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Beliau merupakan Pendakwa Syari’e di
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kedua-duanya juga merupakan aktivis
Angkatan Belia Islam Malaysia.
Bengkel 1 dan 2 dikelolakan oleh Puan Fadhlina Sidek, selaku
Naib Presiden HELWA ABIM. Pada bengkel
yang pertama, para peserta didedahkan bagaimana untuk beradvokasi dengan betul.
Advokasi didefinisikan sebagai satu desakan untuk mengubah masyarakat. Ianya boleh
dilaksana dengan menggunakan cara penulisan (write), percakapan (speak),
rayuan (plead), cadangan (recommend), pembelaan (defence) dan kerjasama dengan satu
kelompok manusia.
Secara keseluruhannya, advokasi terbahagi kepada lima jenis, iaitu, self advocacy, public advocacy, advocacy for citizen, advocacy to attack/give pressure dan parent advocacy. Advokasi memerlukan konsistensi dan kebolehtahanan tekanan yang datang dari luar. Oleh itu, untuk memulakan sesebuah advokasi tidak boleh sembarangan. Terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi. Yang pertama, pemberian maklumat. Advokasi adalah lemah tanpa hujah yang jelas beserta fakta. Pemberian maklumat juga boleh dilakukan dengan cara perkongsian peribadi. Hal yang seterusnya, mengurangkan kesenjangan emosi, mobilisasi kuasa dan tekanan. Untuk menggerakkan sesebuah advokasi yang mana penggeraknya mempunyai kuantiti yang tidak banyak, mobilisasi kuasa penting supaya persekutuan itu memberi impak kepada isu yang diperjuangkan. Manakala tekanan yang dimaksudkan adalah bagaimana hendak ditujukan sesuatu tekanan dengan betul. Tidak semua tekanan perlu dilakukan secara merusuh, sebagai contoh, media adalah satu medium yang sangat kuat yang dapat memberi tekanan kepada sesuatu badan atau individu. Begitu juga dengan selebriti.
BANTU turut menampilkan aktivis ABIM yang telah ke Geneva,
Switzerland, berkenaan isu hak asasi manusia, iaitu Saudara Khairul Anwar
Ismail pada sesi sebelah petang. Antara
isu yang dibincangkan di dalam persidangan tersebut adalah isu LGBTIQ. LGBTIQ
merupakan akronim kepada lesbian/gay/bisexual/transgender/intersexual/questioning.
Terdapat percubaan mendefinisikan perkara 2, Perisytiharan Hak
Asasi Manusia Sejagat (UDHR) iaitu melibatkan perkataan ‘jantina’ supaya
diluaskakan merangkumi LGBTIQ. Di dalam Islam, kita menolak amalan songsang ini
namun ini tidak bermakna Islam menafikan hak asasi mereka sebagai seorang
manusia. Hak mereka sebagai contoh, hak untuk hidup, hak untuk mendapatkan
pendidikan, hak untuk memiliki harta dan lain-lain perlu dilindungi dan jangan
dinafikan. Yang ditolak adalah amalan mereka bukan keseluruhan hak-hak mereka
sebagai seorang manusia.
Jelas Saudara Khairul Anwar lagi, dalam menangani masalah
ini, kita juga perlu faham bahawa orang Barat mengalami pengalaman sejarah yang buruk. Kerana itulah tuntutan-tuntutan
seperti itu timbul. Dan perisyhtiharan hak asasi mereka bermula pada 1948,
terlalu lewat sekiranya dibandingkan hak asasi manusia yang dibawa Islam 1400
tahun yang lalu.
Pada bengkel kedua yang bermula jam 3.30 petang, para
peserta juga diberi penjelasan bahawa “Advocacy is not selling”. Ini bermaksud
isu yang hendak dibawakan mestilah jelas. Ketika bengkel berlangsung para
peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan ini
diberi peluang untuk memilih satu produk daripada beberapa produk yang telah
tersedia di atas meja untuk meyakinkan para juri akan kebaikan dan keburukan
produk tersebut. Kebanyakan kumpulan tersalah faham dalam memberikan isu
advokasi mereka yang akhirnya presentasi lebih menjerumus kearah promosi
jualan. Ternyata cara ini berkesan memahamkan peserta bahawa “Advocacy is not
selling”. Seterusnya, setiap kumpulan dikehendaki memilih satu tajuk buku dan
satu isu. Daripada dua tajuk itulah setiap kumpulan dikerah untuk merangka
program di beberapa buah kampung yang dipilih sesuai dengan tahap penerimaan
masyarakat. Perangkaan projek ini akan dijadikan program lapangan BANTU.
Program ini ditutup dengan penyampaian amanat daripada
tunggak penggerak program oleh Puan Fadhlina Sidek, Puan Maria Kamel dan
aktivis ABIM yang terlibat secara langsung dalam isu advokasi Rohingya, Saudara
Adli Zakuan. Program berakhir pada jam 5 petang.