ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ
الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ
بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
[سورة
النحل : 125:
])
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau
serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang
lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang
lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
Dakwah boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan keadaan.
Perlaksanaan dakwah boleh mengikut kemampuan individu samada dakwah kepada
kelompok kecil atau terus kepada masyarakat majmuk. Artikel ini hanya akan
menyentuh kepada peranan nuqaba’ sebagai dai yang menggerakkan usrah sebagai salah satu
method dakwah dan pembangunan diri individu muslim.
Usrah
merupakan satu entiti yang sangat penting dalam sesebuah organisasi atau
jemaah. Dalam setiap pertemuan ketika berlangsungnya aktiviti usrah, ketika
itulah proses dakwah dan tarbiah dapat dilaksanakan secara tidak langsung.
Usrah adalah nadi dalam jemaah. Di sini kita bertemu untuk berkongsi dan
berbincang pelbagai isu dalam kehidupan dan di sini juga waktu untuk kita
memantapkan fikrah dan ukhwah sesama ahli. Maka jelaslah di sini bahawa sangat
besar peranan nuqaba’ yang menjadi pembimbing sesebuah unit usrah.
Nuqaba’
terdiri daripada naqib dan naqibah yang bertanggungjawab menggerakkan unit
usrah. Peranan nuqaba’ sangat penting dalam membawa misi dakwah dan tarbiah
kepada ahli usrah. Seseorang naqib atau naqibah perlu memahami peranan mereka sebagai
pembimbing dan mengetahui cara yang berkesan untuk menyentuh hati setiap anak
usrah supaya ukhuwah dan keterikatan hati mereka dapat diperkukuhkan dan
seterusnya tercapai hasil dari usaha dakwah yang cuba dijalankan. Dalam misi untuk mengaktifkan usrah unit, selain daripada
memastikan sistem usrah yang tersusun dari aspek waktu perlaksanaan dan silibus
usrah, para nuqaba’ perlu memainkan peranan tertentu ketika perlaksanaan usrah
unit.
Peranan pertama
para nuqaba’ ialah mereka perlu memastikan perkembangan yang sihat dalam
kalangan ahli usrah. Perkembangan ahli ini boleh dipantau dari segi empat aspek
utama iaitu spiritual, intelektual, aktivisme dan idealism.
1- Spiritual
Nuqaba’ perlu mengambil berat tentang soal amalan rohani setiap
anak usrah mereka. Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam kalangan ahli
adalah solat. Naqib perlu memainkan peranan dari semasa ke semasa membimbing
ahli untuk meningkatkan mutu solat yang didirikan setiap waktu kerana solat
merupakan tiang agama individu muslim. Seterusnya nuqaba’ perlu menilai
bagaimana hubungan anak usrah mereka dengan Al-Quran. Sejauh mana keterikatan
mereka dengan Al-Quran dari segi pengamalan bacaan harian mereka dan kefahaman.
Jika ada dalam kalangan anak usrah yang mempunyai masalah dari segi bacaan dan
tajwid, maka naqib dan naqibah perlu membantu mereka untuk memperbaiki mutu
bacaan seterusnya dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna kalam Allah.
Solat dan Al-Quran sangat penting untuk dijaga kerana berkait rapat dengan
hubungan hamba dan khaliq.
2- Intelektual
Intelektual berkait rapat dengan budaya ilmu. Untuk meningkatkan
tahap kemampuan intelek ahli usrah, naqib berperanan untuk menggalakkan mereka
mencari dan menambahkan ilmu dalam pelbagai bidang. Salah satu cara untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan ialah melalui pembacaan. Peranan nuqaba’ di sini
adalah memantau ahli dari segi kualiti pembacaan dan budaya ilmu yang
diamalkan.
3- Aktivisme
Nuqaba’ perlu merangsang setiap anak usrah untuk mengaktifkan diri
dan terlibat secara langsung dalam program – program yang bermanfaat. Tidak kira
sama ada penglibatan dalam menguruskan sesuatu program atau berperanan sebagai
peserta dalam program tersebut, partisipasi ini bakal membuahkan jalinan
ukhuwah yang mapan sesama ahli usrah.
4- Idealisme
Idealisme membantu perkembangan intelek ahli usrah. Aspek ini mampu
melihat sejauh mana ahli usrah menterjemahkan apa yang telah dipelajari melalui
siri-siri ilmu yang telah dihadamnya. Lalu, daripada orakan langkah tersebut,
maka akan tercetuslah idea yang perlu dibumikan melalui platform aktivisme. Di sinilah
para nuqaba’ perlu memberi kebebasan kepada ahli usrah untuk berkarya secara
kreatif disamping cermat memandu mereka ke arah manifestasi untuk memberdayakan
idealisme tersebut.
Selain itu, para
nuqaba’ perlu gigih membangunkan potensi ahli usrah. Sebagai da’I dan
pembimbing, nuqaba’ perlu mengenalpasti potensi setiap mad’u yang berada di bawah
pantauan mereka. Setelah itu nuqaba’ hendaklah berusaha membantu anak usrah
untuk mengembangkan potensi tersebut dalam perkara yang diminati. Para nuqaba’
perlu mencungkil bakat setiap individu muslim agar dapat digilap dan hasilnya
dapat disumbangkan untuk manfaat ummah.
Akhir sekali, para
nuqaba’ perlu berusaha mencari idea untuk memupuk minat setiap ahli supaya
melibatkan diri dengan usrah. Sebagai contoh, seorang naqib mengadakan
kesepakatan bersama ahli usrah untuk memilih nama usrah mereka dan menetapkan
ciri-ciri tertentu yang perlu ada ketika usrah mereka berlangsung. Nama dan
ciri usrah ini melambangkan identiti dan keunikan mereka yang tersendiri. Cara
ini mampu menarik ahli yang lain untuk mengikuti perkembangan usrah yang
dijalankan.
Sebagai penutup diselitkan satu petikan karya dari buku Lagenda
Budak Usrah:
Kita sebenarnya
banyak leka, rehat dan bermain-main sahaja dengan amal ibadah kita, yang menjadikan
kita rasa cukup baik dengan apa yang kita buat. Sedangkan dakwah memerlukan
kita. Dakwah memerlukan kita mencetak ribuan lagi murabbi. Maka usaha perlu
dilaksanakan. Ini takkan dapat dipenuhi melainkan dengan amal jamaie. Aku
menasihatkan diriku dan akhawat fillah akan beratnya amanah ini dan sedikitnya
masa yang kita ada untuk memenuhinya. Kita amat memerlukan pertolongan Allah
untuk meneguhkan hati dan meluruskan saf kita. Kita harus kuat dan meneruskan
perjalanan. Walaupun kita letih untuk menunggu hasilnya. Bersabarlah. Allah
akan mengurniakan kemanisan atas keikhlasan.
Nukilan: Izzati