Thursday, December 4, 2014

KAJIAN POLA PENGUNDIAN & ISU SEMASA - MAHASISWA UIAM MAHUKAN PILIHANRAYA KAMPUS BERSIH

KENYATAAN MEDIA PKPIM
KAJIAN POLA PENGUNDIAN & ISU SEMASA - MAHASISWA UIAM MAHUKAN PILIHANRAYA KAMPUS BERSIH


18 November 2014
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mahukan Pilihanraya Kampus (PRK) pada Khamis ini diadakan secara bersih dan menolak campur tangan pentadbiran dan pengaruh politik luar di dalam universiti mengikut kajian Biro Advokasi dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Cawangan UIAM Gombak.
Sejumlah 58.49% daripada 106 responden menyatakan ketegasan mereka untuk tidak bersetuju campur tangan politik luar dalam satu kajian soal selidik yang dijalankan, antara 27 Oktober hingga 10 November yang lalu.

Kajian berkenaan juga mendapati, 58.49% responden percaya terdapat pengaruh kuasa luar yang mengatur pembinaan “Fountain” UIAM yang baru dan menganggapnya adalah suatu pembaziran kerana masih terdapat fasiliti UIAM yang rosak tapi masih belum dibaiki.
Mahasiswa UIAM jelas menolak agenda pembodohan mahasiswa apabila 53.77 % responden bersetuju bahawa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM sesi 2013/2014 dikongkong oleh pihak pentadbiran dan terdapat manipulasi dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi MPP pada sesi tersebut. Manakala, hanya 19.18 % tidak bersetuju dan selebihnya tidak pasti. Berikutan beberapa siri pembatalan program ilmiah oleh pihak HEP UIAM, 50.00 % mahasiswa percaya Akta Hasutan dan AUKU telah mengekang kebebasan akademik dibandingkan dengan hanya 16.14% memilih sebaliknya diikuti 34.91% mahasiswa tidak pasti.

Meskipun, rata – rata mahasiswa “anti” kepada campur tangan pihak pentadbiran, tidak semestinya mahasiswa UIAM menyokong proksi Pro Mahasiswa We Unite For Islam (WUFI) . Berikutan penganjuran Jelajah Mahasiswa pada 6 November yang lalu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas, ramai mahasiswa UIAM menyatakan ketidakpuasan hati mereka. 30.18% respoden percaya WUFI adalah ekstrem dalam menyatakan pendirian politik manakala 21.7% tidak percaya dituruti dengan 49.06% mahasiswa tidak pasti. Malahan, gerakan “Pray4IIUM” tidak mendapat sambutan dalam kalangan mahasiswa UIAM. 37.74% responden yakin bahawa kempen tersebut tidak mencapai objektifnya berbanding hanya 16.98% responden percaya bahawa objektif tersebut berjaya.
WUFI bakal menghadapi saingan sengit pada Pilihanraya Kampus kali ini. Hanya 32.07% responden mengundi untuk menyokong calon WUFI , 33.96 % responden memilih untuk menyokong proksi lain yang bertanding pada pilihanraya kampus UIAM kali ini seperti Ikram Siswa, Independent Students' Front (Instef), Pembina, Wawasan dan Pro-Aspirasi. Manakala 33.96% merupakan pengundi atas pagar.

Tinjauan tersebut turut menunjukkan 84.91% responden akan mengundi seseorang calon berdasarkan kredibiliti dan prestasi, manakala 8.49% responden memilih berdasarkan proksi yang diwakili, dan diakhiri dengan 6.63% responden memilih berdasarkan faktor lain seperti penampilan, wajah atau faktor rakan.

Penglibatan sekumpulan 10 orang penyelidik muda dalam kalangan mahasiswa UIAM yang melakukan kajian dan penyelidikan tersebut bertujuan bagi mendapatkan pola pengundian dan isu semasa menjelang PRK UIAM. Kajian itu meliputi responden pelajar Tahun Satu (30.19%) , Tahun Dua (33.02%), Tahun Tiga (21.07%) dan Tahun Empat (15.09%) dari semua kuliyyah.
 
Untuk mendapat gambaran lebih jelas, Jemput baca info grafik di link Info Grafik Statistik Kajian PRKUIAM 2014

Mohd Najmuddin bin Abdul Razak
Exco Advokasi dan Penyelidikan
Pkpim Uiam Gombak

Monday, April 14, 2014

Pengalaman untuk memBANTU






 Pengamal undang-undang seringkali dikategorikan sebagai golongan yang ekslusif. Mungkin ada benarnya, kerana golongan ini dilatih untuk ‘membaca’ undang-undang  disamping memerlukan terjemahan dan tafsiran yang baik. Walau bagaimanapun, rasa hormat yang diberikan masyarakat kepada pengamal undang-undang khususnya di Malaysia, tidak boleh dijadikan ‘lesen’ bagi mereka mengaut keuntungan berganda dan menipu masyarakat. Penerapan etika dan professionalisme amat penting dalam personaliti seorang peguam. Oleh sebab itu, nilai ini tidak sepatutnya dijadikan jurang antara pengamal undang-undang dan masyarakat. Ini kerana profession kepeguaman adalah satu profession yang memberi khidmat kepada masyarakat bukan melebarkan lagi jurang antara golongan professional dan warga marhaen.

 Oleh sebab itu, ABIM, dibawah produk KAMAR, telah berjaya menganjurkan sebuah bengkel aktivis undang-undang dan masyarakat (BANTU) buat julung-julung kalinya pada 12 April 2014 bertempat di dewan utama ABIM Pusat, Kuala Lumpur. Berteraskan pada membina “ Keluarga Mawaddah dan Rahmah” (KAMAR), BANTU bertujuan menjadi medan perantara kepada masyarakat akan kefahaman undang-undang supaya hak-hak mereka tidak dicabul oleh pengamal mahupun pelaksana undang-undang itu sendiri.

 Bengkel ini berlangsung dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Pada sebelah pagi dan petang, masing-masing mempunyai satu sesi dan satu bengkel. Sesi 1 pada sebelah pagi menampilkan Cik Saadiah Din, merupakan seorang peguam berpengalaman di Messrs Sa’adiah Khoo Lo & Co. Penyampaian beliau lebih tertumpu kepada  klinik undang-undang dan peranan dalam masyarakat. Manakala, Tuan Shafezan Rusli telah diamanahkan untuk menjelaskan tentang hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Beliau merupakan Pendakwa Syari’e di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kedua-duanya juga merupakan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia.


 Bengkel 1 dan 2 dikelolakan oleh Puan Fadhlina Sidek, selaku Naib Presiden HELWA ABIM.  Pada bengkel yang pertama, para peserta didedahkan bagaimana untuk beradvokasi dengan betul. Advokasi didefinisikan sebagai satu desakan untuk mengubah masyarakat. Ianya boleh dilaksana dengan menggunakan cara penulisan (write), percakapan (speak), rayuan (plead), cadangan (recommend), pembelaan (defence) dan kerjasama dengan satu kelompok manusia.


 Secara keseluruhannya, advokasi terbahagi kepada lima jenis, iaitu, self advocacy, public advocacy, advocacy for citizen, advocacy to attack/give pressure dan parent advocacy. Advokasi memerlukan konsistensi dan kebolehtahanan tekanan yang datang dari luar. Oleh itu, untuk memulakan sesebuah advokasi tidak boleh sembarangan. Terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi. Yang pertama, pemberian maklumat. Advokasi adalah lemah tanpa hujah yang jelas beserta fakta. Pemberian maklumat juga boleh dilakukan dengan cara perkongsian peribadi. Hal yang seterusnya, mengurangkan kesenjangan emosi, mobilisasi kuasa dan tekanan. Untuk menggerakkan sesebuah advokasi yang mana penggeraknya mempunyai kuantiti yang tidak banyak, mobilisasi kuasa penting supaya persekutuan itu memberi impak kepada isu yang diperjuangkan. Manakala tekanan yang dimaksudkan adalah bagaimana hendak ditujukan sesuatu tekanan dengan betul. Tidak semua tekanan perlu dilakukan secara merusuh, sebagai contoh, media adalah satu medium yang sangat kuat yang dapat memberi tekanan kepada sesuatu badan atau individu. Begitu juga dengan selebriti.


 BANTU turut menampilkan aktivis ABIM yang telah ke Geneva, Switzerland, berkenaan isu hak asasi manusia, iaitu Saudara Khairul Anwar Ismail pada sesi sebelah petang.  Antara isu yang dibincangkan di dalam persidangan tersebut adalah isu LGBTIQ. LGBTIQ merupakan akronim kepada lesbian/gay/bisexual/transgender/intersexual/questioning.

 Terdapat percubaan  mendefinisikan perkara 2, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) iaitu melibatkan perkataan ‘jantina’ supaya diluaskakan merangkumi LGBTIQ. Di dalam Islam, kita menolak amalan songsang ini namun ini tidak bermakna Islam menafikan hak asasi mereka sebagai seorang manusia. Hak mereka sebagai contoh, hak untuk hidup, hak untuk mendapatkan pendidikan, hak untuk memiliki harta dan lain-lain perlu dilindungi dan jangan dinafikan. Yang ditolak adalah amalan mereka bukan keseluruhan hak-hak mereka sebagai seorang manusia.

 Jelas Saudara Khairul Anwar lagi, dalam menangani masalah ini, kita juga perlu faham bahawa orang Barat mengalami pengalaman sejarah  yang buruk. Kerana itulah tuntutan-tuntutan seperti itu timbul. Dan perisyhtiharan hak asasi mereka bermula pada 1948, terlalu lewat sekiranya dibandingkan hak asasi manusia yang dibawa Islam 1400 tahun yang lalu.

 Pada bengkel kedua yang bermula jam 3.30 petang, para peserta juga diberi penjelasan bahawa “Advocacy is not selling”. Ini bermaksud isu yang hendak dibawakan mestilah jelas. Ketika bengkel berlangsung para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan ini diberi peluang untuk memilih satu produk daripada beberapa produk yang telah tersedia di atas meja untuk meyakinkan para juri akan kebaikan dan keburukan produk tersebut. Kebanyakan kumpulan tersalah faham dalam memberikan isu advokasi mereka yang akhirnya presentasi lebih menjerumus kearah promosi jualan. Ternyata cara ini berkesan memahamkan peserta bahawa “Advocacy is not selling”. Seterusnya, setiap kumpulan dikehendaki memilih satu tajuk buku dan satu isu. Daripada dua tajuk itulah setiap kumpulan dikerah untuk merangka program di beberapa buah kampung yang dipilih sesuai dengan tahap penerimaan masyarakat. Perangkaan projek ini akan dijadikan program lapangan BANTU.

 Program ini ditutup dengan penyampaian amanat daripada tunggak penggerak program oleh Puan Fadhlina Sidek, Puan Maria Kamel dan aktivis ABIM yang terlibat secara langsung dalam isu advokasi Rohingya, Saudara Adli Zakuan. Program berakhir pada jam 5 petang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...