Tuesday, May 18, 2010

KAMI MENENTANG PEMBERIAN LESEN JUDI KEPADA KUMPULAN BERJAYA





Mungkin kedengaran dangkal hujah pihak kerajaan yang memberikan lesen perjudian kepada kumpulan BERJAYA apabila mengatakan ia adalah salah satu usaha untuk mencegah perjudian dan pertaruhan haram di Negara ini.

Pertaruhan sering kali berleluasa menjelang perlawanan bola sepak piala dunia. Menjelang perlawanan tersebut pada bulan Jun ini, pihak Kerajaan mengambil tindakan memberikan lesen perjudian untuk memastikan pertaruhan berlaku secara sah dan mengelakkan sebarang penipuan. Selain itu, mereka juga memberikan hujah kepada tindakan tersebut dengan mengatakan pemberian lesen itu adalah satu usaha untuk mengurangkan jenayah yang membabitkan sindiket jenayah dan kongsi gelap yang sering terlibat dengan gejala perjudian ini.



Ironinya, dalam usaha membasmi perjudian daripada berleluasa, pihak kerajaan pula memberikan lesen untuk menghalalkan aktiviti tersebut secara sah. Kenyataan pihak kerajaan yang dikeluarkan sebagai justifikasi kepada aktiviti tersebut benar-benar telah mengguris sensitiviti masyarakat Islam khususnya dan masyrakat awam secara umumnya. Kita sedia maklum, tiada sebarang agama sekalipun yang membenarkan perjudian ini kerana mudaratnya lebih besar berbanding maslahatnya.

Rentetan daripada pemberian lesen tersebut kepada kumpulan BERJAYA, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan pertubuhan agama mengadakan demostrasi bagi membantah tindakan pihak kerajaan tersebut.

Pihak PKPIM-ABIM-WADAH sendiri prihatin dengan kesan besar daripada pemberian lesen judi ini kepada kumpulan BERJAYA. Ini bukanlah isu yang sengaja dipolitikkan, tetapi ia merupakan tanda keprihatinan kami kepada keburukan yang bakal berlaku kepada masyarakat yang majoritinya Islam. Bukan sahaja menghancurkan masyarakat Islam, namun ia juga manghuru-harakan masyarakat berbilang kaum selain menjahanamkan Negara pada masa jangka panjang. Kita mahukan manusia yang beradab, berintegriti dan bermoral tinggi. Aktiviti judi ini hanya akan meranapkan segala usaha bersama kearah kelahiran modal insan kelas pertama yang berkualiti.

Kami sebulat suara menentang sekeras-kerasnya pemberian lesen judi ini kepada kumpulan BERJAYA dan mahukan pihak kerajaan menarik balik pemberian lesen tersebut.

Thursday, May 6, 2010

6 RESOLUSI FORUM “KEADILAN UNTUK ADIK AMINULRASYID”



KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
5 Mei 2010/ 20 Jamadil Awwal 1431 H

6 RESOLUSI FORUM “KEADILAN UNTUK ADIK AMINULRASYID”

Forum “Keadilan untuk adik Aminulrasyid” anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) yang berlangsung pada 4 Mei 2010 di Kuala Lumpur telah berjaya mencapai enam resolusi.

Dalam pada itu, Forum “Keadilan untuk adik Aminulrasyid” tersebut telah menampilkan tiga orang panel jemputan. Mereka adalah N. Surendran selaku peguam untuk keluarga adik Aminulrasyid, Raja Badrol Hisham merangkap pensyarah Undang-undang Prosedur Jenayah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), dan Wong Chin Huat dari Civil Rights Committee. Sementara itu, forum yang telah dipengerusikan oleh Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz juga telah dimulakan dengan bacaan puisi “Jeritan Senja September” oleh Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said.

Enam resolusi yang dicapai bersama adalah seperti berikut:

1)Mendesak pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memastikan siasatan yang
adil dan telus.

2)Menggesa dikuatkuasakan Independent Police Complaint & Misconduct Commission
(IPCMC)

3)Menyeru pihak yang terlibat tampil untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf secara
terbuka kepada keluarga mangsa.

4)Menuntut pihak media agar memberikan laporan yang tepat dan telus kepada orang
awam.

5)Memastikan wujudnya elemen “semak dan seimbang” terhadap kuasa dan bidang tugas
Kementerian Dalam Negeri (KDN).

6)Mendesak agar Ketua Polis Negara diganti oleh anggota yang lebih berintegriti,
amanah, profesional, dan kredibel demi menjaga nama baik institusi polis.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberi sokongan terhadap usaha untuk menegakkan keadilan dan hak asasi rakyat ini.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...