Monday, September 15, 2008

Musyawarah landasan terbaik bina perpaduan



Negara yang kuat dan utuh adalah negara yang mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama-sama membangunkan agama, bangsa dan negara itu. Warganegara yang bersatu dan sentiasa mementingkan perpaduan sukar digugat dan sama sesekali tidak akan gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh. ini terbukti apabila kita melihat kejayaan yang telah dikecapi oleh umat islam suatu masa dahulu. justeru, bagi mencapai status negara kuat dan utuh ini, tidak ada kaedah lain yang perlu dilakukan kecuali dengan bersatu. Ia bertepatan dengan hukum dan tuntutan Islam yang meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan negara(perpaduan teras kejayaan). Perkara yang sama turut dianjurkan oleh sebahagian besar agama dan kepercayaan lain di dunia ini.

P
erpecahan, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan pertelingkahan amat dibenci Islam dan semua agama lain kerana ia membawa kepada kehancuran bukan saja kepada negara itu, malah seluruh rakyat, agama dan bangsanya.

Di samping itu, perpecahan akan memberi peluang dan ruang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan bangsa sesebuah negara, apa yang dimiliki dan dinikmati tanpa mengambil kira perasaan dan hak kemanusiaan lagi.

Kita harus ingat bahawa musuh-musuh islam tidak akan pernah diam dalam mencari helah dan ruang biarpun sedikit bagi menghancurkan umat islam baik dari segi jangka panjang sekalipun asalkan ianya memberikan mereka keuntungan bila mana melihat kehancuran islam.

Justeru, dalam konteks negara kita, semua orang Melayu yang beragama Islam bersama seluruh penduduk yang berbilang bangsa dan agama perlu bergandingan bagi mengukuhkan perpaduan dalam semua aspek kehidupan sama ada dalam kesamarataan memiliki ekonomi, politik, budaya dan sosial.

Kunci perpaduan adalah persaudaraan sesama rakyat. Semakin erat persaudaraan, mampat persefahaman, makin kukuhlah perpaduan di kalangan rakyat jelata.

Semangat persaudaraan perlu dipupuk dalam hati setiap rakyat kerana permusuhan adalah merupakan virus utama kepada runtuhnya perpaduan. Perpaduan adalah lambang kekuatan dan ia juga sebagai lambang kedamaian serta keharmonian sejagat.

Dalam al-Quran, kita boleh mengkaji banyak ayat yang menyarankan supaya bersatu dan bersaudara. Antaranya, firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya, orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu diberi rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Untuk mengekalkan persaudaraan, al-Quran menganjurkan agar usaha ke arah perdamaian diperhebatkan jika telah wujud bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan. Semua pihak digesa bermusyawarah atau bersemuka bagi mencari titik permulaan bagi membentuk keutuhan dan perpaduan yang telah sekian lama terjalin.

Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah belah kerana ia boleh meleraikan persaudaraan dan kekuatan ummah. Apabila sesebuah bangsa telah lemah, maka tunggulah kehancuran negara bangsa mereka nantinya.

Perpaduan dan kesatuan menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadi ummah lemah dan mudah dipermainkan musuh.

Umat Islam di negara ini perlu menginsafi sejarah umat terdahulu yang musnah angkara perpecahan sesama sendiri.

Kejatuhan kerajaan Islam Abbasiyyah, Fatimiyah dan Uthmaniyyah adalah bukti jelas tiadanya elemen persaudaraan yang kukuh di kalangan rakyat.

Hal ini membawa kepada kemasukan pengaruh asing dan musuh Islam, khususnya Barat, dalam setiap diri rakyat lalu menjadikan mereka bangsa lemah serta sering ditindas hingga hari ini.

Soalnya, apakah kita mahu sejarah pahit itu berulang kembali dan menimpa negara ini? Bagi orang Islam yang sentiasa berpegang kepada ajaran Islam tulen, tentu mereka mahu Islam menjadi contoh kepada penganut agama lain, bukannya agama yang dilabel dengan pelbagai persepsi negatif seperti yang berlaku ketika ini.

Justeru musyawarah di meja rundingan bagi mencari kaedah terbaik mengekalkan persefahaman adalah salah satu landasan terbaik bagi membina perpaduan hakiki.
Bersatulah.....hentikanlah permusuhan sesama islam...Islam hanya SATU.....Lengkap melengkapilah kita semua insyaAllah kita akan berjaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...