Monday, December 29, 2008

Tahun Baru Maal Hijrah…Muhasabah Kembali

Genap 29 Desember ini bersamaan I Maal Hijrah 1430h, tahun baru Hijrah bermula kembali, 1429h telah berlalu. Masa berlalu dengan pantas, umur semakin meningkat, panggilan kematian semakin menghampiri, entah bila, di mana, bagaimana kematian menjemput dan mendatangi kita.

Tahun baru ini juga sebagai permulaan bagi mahasiswa dan mahasiswi terutamanya penuntut UIAM Gombak yang sebelum ini bercuti lebih sebulan. Kembalinya kita ke UIAM menjalani rutin harian sebagai seorang mahasiswa yang mengembara di Taman Ilmu dan Budi ini. Sejenak diri ini terfikir dan terkenang akan masa yang lalu yang tidak mungkin kembali lagi.

Siapakah diriku hari-hari yang lepas?Adakah diriku hanya melaksanakan tugas sebagai hamba di dunia ini? Bagaimana dengan tugas sebagai khalifah?Adakah diri ini melaksanakan tugas dan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini atau sekadar merancang dan berkata-kata tanpa melaksanakannya? Sebanyak manakah yang telah diri ini korbankan untuk Islam?Layakkah diri ini menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w sepanjang masa yang lalu?

Allah sering mengingatkan kita, ‘Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian,melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran’

Inilah hakikatnya, kehidupan di dunia ini tidak akan bermakna dan sempurna melainkan ia diiringi dengan keimanan dan amal kebajikan setiap masa dan ketika. Sememangnya semua ini memerlukan pengorbanan,kesetiaan malah keistiqamahan kita kepada agama Islam. Allah juga mengingatkan kita.

‘wahai orang-orang yang beriman, adakah kamu ini mengakui sebagai orang beriman sedangkan dirimu tidak diuji’.

Syukur kepada-Nya dengan kemuncak kesyukuran di atas segala nikmat terutamanya memasukkan kita di dalam golongan Islam yang mana Al-Quran dan Sunnah sentiasa memberi jalan dan panduan dalam setiap kehidupan kita. Inilah kekuatan orang Islam yang dianugerahkan Al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk.

Sama-samalah kita saling mengingati, sekalipun kita sebagai pelajar, pekerja, suami, pemimpin atau yang dipimpin, kita tetap seorang Muslim yang belajar dan mempraktikkan Islam bagaikan budaya dalam kehidupan. Maka, kita tidak akan terlepas daripada tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan amal soleh seperti yang dimaklumkan di dalam Al-Quran.

Begitu juga mahasiswa dan mahasiswi, kedatangan tahun baru ini bukanlah semata-mata menjalani rutin harian sebagai pelajar yang hanya hadir ke kelas, kantin, tv, tidur menjadi budaya hidup mereka,tetapi sepatutnya kedatangan tahun baru ini sebagai pembaik pulih dan peningkatan amal soleh kita untuk Islam setelah kita muhasabah kembali betapa jauhnya kita dalam melakukan amal soleh pada waktu yang lepas.Malah,kedatangan tahun baru ini perlu dijadikan anjakan paradigma seorang mahasiswa yang bukan sahaja rutin hariannya sebagai pelajar tetapi berbakti kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

Muhasabah kembali kejadian yang lalu amat penting untuk kita perbaiki dan mempertingkatkan kebaikan pada tahun baru. Semoga kehadiran 1430h merupakan tahun yang lebih baik dan terancang daripada tahun sebelumnya, seterusnya meningkatkan amal soleh kita sebagai seorang Hamba dan Khalifah Allah di muka bumi ini.

Wallahua’lam

Tarbiyyah-PKPIM-UIAM 08/09

Saturday, December 27, 2008

Jemputan Forum dan Tayangan Filem 'Sang Murabbi' 29 Disember 2008


Assalamu'alaikum.

Sdr/ sdri,


JEMPUTAN PROGRAM MAAL HIJRAH 1429


Dijemput sdr/ sdri semua ke Program Maal Hijrah anjuran PKPIM pada 29 Dis 2008 di UIAM Gombak. Pengisian program ialah Forum 'Pandangan Ilmiah Kedudukan Islam di Alam Nusantara Kontemporari' dan Tayangan Filem Dakwah 'Sang Murabbi'.

Program ini bersempena juga meraikan kehadiran tetamu kita dari Persatuan Pelajar Islam, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) ke Malaysia. Maklumat lanjut program ialah:

Tempat: LT4 Admin UIAM
Masa: 9- 12tgh
Tarikh/ Hari: 29 Disember 2008/ Isnin

Kehadiran adalah percuma dan terbuka kepada semua. Sila meriahkan majlis ilmu sempena sambutan Awal Muharram ini.

Terima kasih.

Mohd Hilmi Ramli
Presiden
PKPIM
JOM PAKAT HADIR RAMAI-RAMAI!!

Monday, December 22, 2008

Program My Evo Camp


Kepada sesiapa yang berminat :


My Evo Camp ( Muslim Youth Evolution Camp )

Tarikh : 2-4 Januari 2009

Tempat : Kem PTS, Janda Baik

Yuran : RM 15 sahaja.

Evo Camp bakal menjadi medium yang mengajar anda untuk berevolusi tentang akhlak dan jati diri selain menjadi mahasiswa yang berketerampilan dan berbakti kepada masyarakat dalam semua kemahiran berdakwah. Selain itu, program ini juga mendedahkan anda kepada evolusi pemikiran dan mengetahui hakikat kehidupan yang sebenar.


Kepada sesiapa yang berminat sila hubungi 013-3618150 (mesej nama, alamat mahallah berserta no telefon). Tempat adalah terhad kepada 40 orang sahaja.Tarikh akhir penyertaan adalah sebelum 1 Januari 2009.


“Melahirkan jurudakwah Dinamik”

Sunday, December 21, 2008

Selamat kembali ke UIAM

PKPIM UIAM

mengalu-alukan kedatangan mahasiswa baru dan juga lama ke Taman Ilmu dan Budi.

Tempat untuk berbakti kepada diri, masyarakat dan Negara.

Tetapkan segalanya hanyalah kepada Allah s.w.t


Semoga kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.


"Hidup Biar Berjasa"


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...