Thursday, February 5, 2009

MOMENTUM GMP MAKIN HEBAT

Kuala Lumpur, 31 Januari- Perhimpunan pelancaran Gerakan Mansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (GMPPSMI) menghangatkan suasana di kala hujan turun renyai-renyai di hadapan pusat beli belah SOGO seawal jam 3 petang menjadi petanda momentumnya kian hebat.

Perhimpunan yang dihadiri oleh pemimpin dan pengikut beberapa NGO dan Pakatan rakyat serta orang awam itu melancarkan gerakan mansuh PPSMI bagi membela dan mempertahankan Bahasa Melayu yang kini kian rapuh penggunaannya sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi terutamanya apabila polisi PPSMI dijalankan secara rasmi pada 1 Januari 2003.

Idea PPSMI diperkenalkan oleh YAB Tun.Dr.Mahathir Mohamad seawal tahun 1993. Namun pada tahun 2003, polisi itu di jalankan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan para professional dan penyelidik serta rakyat jelata.

PPSMI dikatakan dapat membantu pelajar menguasai bidang sains dan matematik. Pada masa yang sama juga dapat menambah konteks masa bagi pembelajaran bahasa Inggeris untuk memantapkan penguasaan bahasa itu dalam menghadapi cabaran di era gobalisasi.

Namun begitu, ramai tokoh ilmuan menyatakan itu adalah pemikiran orang yang cetek ilmu dan tidak berpandangan jauh. Ubat yang paling mujarab dalam menghadapi cabaran globalisasi adalah berpegang teguh pada identiti diri sendiri bukannya mengorbankan bahasa yang menjadi tunjang jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.
Dato' Hassan Ahmad. Pemain Utama dalam GMP

Dengan kata lain, untuk menghadapi tuntutan globalisasi dan industrialisasi, kita harus berfikiran global tetapi bertindak secara lokal ataupun menepati waqi’iyah semasa. Penukaran pengajaran dan pembelajaran subjek sains dan matematik bukan jawapan yang tepat untuk menjadi rakyat Malaysia glokal.

Semasa pelancaran GMPPSMI diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo, pejuang bahasa juga merangkap ketua GMP, Dato’ Hassan Ahmad berkata mereka akan menjalankan beberapa siri ‘road show’ di negeri-negeri untuk menarik perhatian rakyat Malaysia tentang bahaya PPSMI ini terhadap generasi pelajar dan masa depan Negara Malaysia keseluruhannya.

Beliau juga menyatakan bahwasanya polisi yang dijalankan oleh Kerajaan ini sebagai tidak patut kerana mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa yang hampir 90% mereka tidak kuasai. Kenyataan ini adalah benar berdasarkan kajian yang telah di buat oleh beberapa kumpulan ahli ilmuan dan professional.

Kajian-kajian professional yang telah dijalankan seperti oleh ahli akademik UPSI dan UKM menyatakan polisi itu telah gagal. Walaupun begitu pihak Kementerian Pelajaran cuba menafikan dengan mengumumkan bahawa keputusan UPSR dan PMR baru-baru ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Selain itu, pelancaran GMPPSMI telah dihadiri oleh beberapa tokoh dan pejuang bahasa yang banyak menyumbang kepada pembangunan Negara seperti Dato’ A. Samad Said, Prof. Awang Sariyan, Prof. Abdullah dan beberapa ahli politik dari Pakatan Rakyat. Ini mengundang perhatian orang awam dan pihak media sendiri.

Perhimpunan itu walaubagaimanapun berjalan secara aman bukannya hambar sepertimana sebuah media arus perdana gembar-gemburkan. Sekumpulan pihak polis juga bertanggungjawab dalam memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar. Perhimpunan itu bersurai setelah sesi pelancaran dan interviu yang mengambil masa hampir setengah jam tamat.

Sebagai maklumat terbaru, GMPPSMI akan menyerahkan memorandum untuk semua ahli parlimen di hadapan banggunan Parlimen pada 17 Februari ini. Pada 7 Mac pula, GMPPSMI akan mengadakan Perhimpunan Raksasa 100 Ribu- Hapuskan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran Sains dan Matematik pada jam 2 petang di depan Istana Negara, Kuala Lumpur. Semua rakyat Malaysia yang sayangkan Negara dijemput hadir. Selamatkan bahasa kebangasaan kita! Bahasa Jiwa Bangsa! Bahasa Melayu untuk semua! Bahasa Melayu bahasa ilmu, sains dan teknologi! Bahasa Melayu antara bahasa terbesar di dunia!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...