Tuesday, May 19, 2009

Harapan Kepada Belia Islam

Belia merupakan golongan yang sangat istimewa dalam sesebuah struktur masyarakat yang besar. Statistik menunjukkan golongan belia yang berumur di antara julat umur 15 hingga 40 tahun menyumbang lebih 40% kepada masyarakat Malaysia hari ini. Belia dikatakan istimewa kerana golongan ini lahir di antara dua kelemahan iaitu kelemahan zaman kanak-kanak dan zaman tua. Kedua-duanya membutuhkan bimbingan dan pertolongan. Dalam Surah Ar-Rum: 54, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dari keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang di kehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa di antara kedua-dua fasa lemah dalam kehidupan manusia itu terdapat satu fasa di mana manusia mencapai kekuatan. Fasa inilah yang menempatkan golongan muda belia. Umum mengetahui, golongan belia ini adalah golongan yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental, idealisme, keinginan untuk mencapai sesuatu, aktif, dinamik dan mahukan perubahan. Pendek kata, zaman belia adalah zaman yang penuh dengan kegemilangan jika ciri-ciri itu dimanfaatkan dan disalurkan melalui wadah yang betul..

Oleh kerana golongan belia ini sangat istimewa, pembinaan dan pembangunan identiti serta jati diri seseorang individu belia menjadi salah-satu agenda utama sesebuah Negara dan agama. Golongan belia merupakan golongan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan Negara di masa hadapan. Golongan kepimpinan belia inilah yang mencorakkan hala tuju sesebuah Negara dan kemajuan agama Islam itu sendiri di masa akan datang.

Menurut sejarah, golongan belia merupakan pendokong dan aktor utama dalam pengembangan dan kegemilangan Islam yang menguasai 1/3 penduduk dunia. Tokoh-tokoh besar seperti Nabi Ibrahim A.S., Nabi Yusuf A.S., Ashab Al-Kahfi, Saidina Ali dan para Sahabat Rasulullah yang lain ialah antara contoh-contoh golongan belia yang dikisahkan di dalam Al-Qur’an.

Islam menggesa golongan belia memainkan peranannya sebaik mungkin kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar. Namun apa yang membelenggu minda ramai golongan belia sekarang, mereka cenderung menggunakan masa muda mereka dengan perkara-perkara yang sia-sia dan memenuhi agenda kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan hiburan yang melampau-lampau (hedonisme).

Kalimat “muda hanya sekali” yang diwarisi secara turun-temurun telah menjadi kata kunci untuk mereka menghalalkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah (lagho) hatta melanggar syariat agama. Mereka beranggapan masa muda adalah masa untuk bergembira dan melakukan segala-galanya. Bila umur masuk 40-an, barulah mereka akan fikir tentang akhirat, duduk di masjid dan beramal. Itupun bagi mereka yang mempunyai kesedaran, kalau tidak mereka akan terus hanyut dengan kehidupan muda mereka walau sudah lanjut usia. Bak kata pepatah, “rumah kata pergi, kubur kata mari” Sebuah hadith menyatakan, “sebaik-baik pemuda di antara kamu adalah yang mirip/ seperti orang dewasa di antara kamu, dan sejelek-jelek orang tua di antara kamu adalah yang seperti pemuda di antara kamu.” (HR. Bukhari)

Sesebuah bangsa meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan belia. Kepada merekalah gagasan-gagasan pembangunan dan kemajuan bangsa dapat diteruskan mengikut acuannya yang tersendiri. Justeru itu, golongan belia yang kuat jati dirinya, berwawasan dan punyai nilai integriti yang tinggi amat didambakan. Golongan inilah yang akan membangkitkan kejayaan kepada sesebuah bangsa.

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna begitu mengambil berat akan pembinaan golongan belia/pemuda dengan menekankan empat kriteria penting yang tersemat dalam diri setiap belia. Beliau menyebut:

“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa, para pemuda menjadi tonggak kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi:13)”


Ciri-ciri ideal belia Islam

1-Ketahanan iman dan akidah.

Seseorang belia Muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah La ilaha ilallah hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa-jiwa yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali-‘Imran : ayat 139 mafhumnya, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” Untuk membina ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa bertaqarrub (mendampingi) Allah, bertaubat dan melakukan segala syariat agama dan menjauhi larangan-Nya.
2. Taat kepada Allah dan ibadah yang betul

Manusia itu diciptakan oleh Allah Taala adalah semata-semata untuk kita semua menyembahNya. Allah berfirman dalam surah Al-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud, “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” Taat kepada Allah bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauh larangan-larangan-Nya. Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam di tuntut menunaikan ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa merasa dekat kepada Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Esa. Taat dan beribadah kepada Allah merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita.

3. Berilmu dan berpengetahuan luas.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Muslim.” Malah, pepatah Arab pernah mengatakan, “tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad”. Hadith dan pepatah di atas menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan kedua-dua ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Proses menimba ilmu pula tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa di kandung badan. Ilmu yang sahih yang berpaksikan kepada falsafah tawhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu diri kearah kebaikan dan kebenaran. Ilmu itu juga digunakan untuk membangunkan bangsa, agama dan tamadun Islam.

4. Akhlak dan sahsiah diri yang mantap

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Baginda Rasulullah merupakan qudwah hasanah bagi setiap individu Muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti Al-Qur’an. Umum mengetahui Islam itu tidak akan lengkap sekiranya elemen akhlak ini di ketepikan. Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau yang menjawab: “sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan hukum-hukum Allah, beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir, beliau tidak banyak bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu. Khalifah pun berkata: “inilah akhlak orang yang soleh!”





5. Sihat tubuh badan.

Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat kepada diri. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.

6. Bermanfaat kepada orang lain.

Sebuah hadith pernah menyatakan, “sebaik-baik manusia adalah seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain.” Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab kebajikan dan sosial. Tanggungjawab itu boleh disalurkan melalui pelbagai kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong. Kita juga boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjwab sosial kita kepada masyarakat. Motto “Hidup Biar Berjasa” boleh memberikan kita motivasi untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukannya menerima sebanyak-banyaknya.

7. Peka kepada perubahan sosio-politik-ekonomi lokal dan global

Seseorang individu belia harus peka kepada setiap perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan juga pada peringkat global. Ini perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan. Belia yang celik terhadap isu-isu yang melanda Negara dan dunia khususnya dunia Islam sedikit sebanyak dapat menyumbang idea-idea bernas bagi kemajuan bersama. Kepekaan belia kepada setiap perubahan yang berlaku dapat mematangkan fikiran, meluaskan pengalaman dan bijak dalam mengatur strategi demi menghadapi hari muka.

Kesimpulan

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “gunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: sihatmu sebelum datang sakit, lapangmu sebelum datang kesibukan, mudamu sebelum datang hari tua, kayamu sebelum datang kemiskinan dan kesempatan masa hidupmu sebelum datang kematian.” Hadith di atas memberikan kita peringatan supaya memanfaatkan masa muda belia kita dengan sebaik mungkin.

Sebahagian nasihat baginda Rasulullah kepada umatnya ialah:

“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Taala daripada seseoranng hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatnnya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.”

Akhir bicara, kepada kaum Muslimin khususnya kepada golongan belia, ayuhlah kita semua melakukan perubahan dari segala sudut terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan nilai-nilai Islami dan rabbaniy demi mengorak langkah menjulang kebangkitan ummah lalu membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan kita. Allah berfirman dalam surah Al-Ra’ad: 11 yang bermaksud, “sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Oleh kerana zaman belia adalah zaman yang paling gemilang dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi agung itu. Harapan kepada belia-belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan As-Syahid Imam Hassan al-Banna dalam ‘Dakwah Kita di Era Baru’ ,“kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayangkan betapa tingginya impian dan matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya.” Hidup biar berjasa. Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...