Wednesday, June 24, 2009

Sisters In Islam (SIS) diharamkan?

Muktamar Pas ke-55 yang berlangsung baru-baru ini telah membuat satu resolusi mendesak agar Sisters In Islam (SIS) diharamkan lantas ahli-ahlinya perlu menjalani proses pemulihan bagi memulihkan akidah Islamiyyah mereka yang bersifat ekstrim liberal dan sekular.

Dalam resolusi itu, Pas menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan seterusnya mengharamkan organisasi ini jika terbukti aktiviti-aktiviti mereka melanggar syariat Islam yang sebenar.

Usul pengharaman SIS itu memang sudah dijangka akan mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang menyokong, malah ramai juga yang menentang usul itu termasuk beberapa anggota Pas sendiri.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saudara Yusri Mohamad mendesak agar SIS tidak di beri ruang yang lebih untuk publisiti. Beliau sebagai berkata dalam sebuah akhbar alternatif tidak menafikan tujuan penubuhan SIS sebagai sesuatu yang baik, malah beliau mengakui sumbangan dan peranan SIS dalam menjuarai isu-isu wanita Islam. Namun begitu, pokok kepada permasalahan SIS adalah asas kefahaman mereka yang terlihat terlalu ekstrim liberal dan ekstrim sekular. Natijahnya, pendekatan SIS dipandang sebagai bermasalah di kalangan masyarakat Islam.

Bagi pihak SIS, mereka telah mengambil tindakan dengan melancarkan petisyen bagi menentang pengharaman organisasi mereka yang telah lama beroperasi di Malaysia sejak tahun 1988 lagi, namun kemudian bergerak sebagai badan bukan kerajaan yang di daftarkan pada tahun 1993.

Dalam sebuah laporan berita arus perdana, Maria Chin Abdullah, Pengurus Senior SIS menyifatkan resolusi Pas itu sebagai prejudis, tidak demokratik dan ketinggalan. Turut menentang usul itu ialah Tun Mahathir, Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, sahabat politik dari Pakatan Rakyat, DAP dan beberapa NGO lain yang menyifatkan usul itu telah menafikan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan yang jelas tercatat di bawah Perkara 10 dalam perlembagaan Malaysia.

Dari perspektif yang lain, selain isu kerajaan perpaduan dan isu kepimpinan ulama vs. professional, isu pengharaman SIS ini telah menyebabkan perselisihan di dalam Pas, hatta dalam Pakatan Rakyat sendiri. Sudah tentu isu-isu ini menjadi bahan pelaris media arus perdana yang dikuasai oleh pihak kerajaan. Mahu tidak mahu, terdapat unsur-unsur politiking dalam nilai berita yang dilaporkan. Sebagai akibatnya,laporan-laporan berita yang disiarkan menggambarkan Islam sebagai agama yang mengongkong dan berfikiran sempit, walhal agama Islam itu bersifat universal.

Walaupun SIS diharamkan, namun ideologi liberalisme mereka akan terus berkembang dan berkembang. Jadi pembasmian dan penularan ideologi Islam liberal di kalangan masyarakat Islam ini harus didahulukan dan diutamakan tetapi bukan dengan cara mengharamkan pertubuhan itu. “Kalau kita mengharamkan SIS secara drastik, ia seolah-olah menutup peluang untuk berdialog dengan mereka sedangkan rangkaian mereka sangat luas dalam dan luar Negara” kata Nor Akmariyah, Naib Presiden (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Malah, ada juga yang mengesyorkan supaya SIS menukar namanya supaya agenda perjuangan mereka tidak mengelirukan umat Islam.

PKPIM UIAM tidak bersetuju dengan usul pengharaman tersebut namun kami sependapat dengan ABIM iaitu mengurangkan ruang untuk SIS mendapat liputan yang sangat luas dalam media massa. Ini adalah untuk kemaslahatan masyarakat Islam sendiri supaya tidak terkeliru dengan agenda utama SIS yang mempromosi kesamarataan gender bersandarkan kepada konsep ‘humancentric’ dalam segenap aspek.

Akibat kecewa dengan perangai manusia Islam yang tidak mengamalkan suruhan agamanya dengan betul, Islam di persalahkan sebagai agama yang menindas kaum wanita. Mana mungkin Islam itu agama yang menindas, kerana asal-usul perkataan Islam itu sendiri bermaksud selamat dan sejahtera. Selamat dan sejahtera dari sebarang bentuk ketidakadilan kepada manusia lelaki dan wanita. Dengan kata lain, Islam itu agama yang menjunjung tinggi keadilan sejagat dan mengutuk sebarang bentuk diskriminasi terhadap sesama manusia.

Betullah kata pepatah, ‘agama tidak pernah mengecewakan penganutnya, tetapi, penganut sesuatu agama itu sering kali mengecewakan agamanya.’ Marilah sama-sama kita insafi tentang peranan kita sebagai kaum Muslimin. Adakah kita membanggakan agama Islam di mata masyarakat dunia atau sebaliknya.? Persoalan inilah yang akan mengakhiri penulisan ringkas kali ini. Renung-renungkan. Wallahu’alam.

Monday, June 1, 2009

JENAYAH ROGOL DAN KESEDARAN DIRI WANITA.


Rogol. Satu perkataan yang amat di geruni oleh setiap wanita. Ia merupakan satu jenayah seksual di mana dari sudut undang-undang ia merupakan satu perbuatan memasukkan alat sulit lelaki ke dalam alat sulit wanita tanpa kerelaan atau di atas paksaan. Selain itu, bagi remaja perempuan yang berumur bawah 16 tahun, hubungan seks atas dasar suka sama suka juga di kategorikan sebagai jenayah rogol dan boleh disabitkan dengan hukuman yang ditentukan oleh mahkamah.
Saban hari, ada sahaja kes-kes rogol dilaporkan di media massa. Dan setiap kali itu juga darah berderau dan perasaan simpati menyelinap mengenangkan diri mangsa dan keluarganya. Mengikut laporan terdapat 1,060 kes rogol di seluruh negara yang dilaporkan sepanjang Januari hingga April 2008. Namun begitu, angka tersebut tidak termasuk dengan kes-kes rogol yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jenayah rogol ini seolah-olah menjadi trend masyarakat maju di mana setelah lebih dari separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan, statistik jenayah rogol sentiasa mencatatkan peningkatan walau dari segi undang-undang, hukuman bagi kesalahan ini amat berat.
Malah mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk tahun 1998 hingga 2000, Malaysia merupakan negara nombor dua di Asia yang paling tinggi mencatat kes jenayah rogol termasuk mangsa mengenali suspek. Adalah penting untuk dinyatakan juga disini, bahawa di Amerika , misalnya, Amnesty International menyatakan dalam satu laporan 2004 yang bertajuk “Hentikan Keganasan Terhadap Wanita” di mana setiap 90 saat seorang wanita dirogol sepanjang tahun itu. Kita takut trend ini akan menular ke Malaysia jika tidak di bendung secara serius oleh semua pihak.
Kekejaman jenayah rogol ke atas wanita tidak lagi mengenal usia, hubungan persaudaraan dan cara berpakaian. Ini kerana, kebanyakkan kes yang di laporkan menunjukkan jenayah rogol ke atas kanak-kanak juga semakin meningkat. Tentu kita masih ingat lagi peristiwa yang menggemparkan Malaysia tentang kekejaman seksual yang penuh sadis terhadap Allahyarhamah adik Nurin Shazlin Jazimin, adik Siti Syazwani dan adik Nurul Huda Ghani beberapa tahun dahulu. Mereka merupakan contoh mangsa jenayah rogol yang di bunuh dengan begitu kejam sekali.
Menurut penganalisis jenayah tanah air, Kamal Affandi Hashim, jumlah keseluruhan mangsa rogol di bawah umur 15 tahun di kalangan kanak-kanak atau fidofilia (pelaku seks yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa) sepanjang Januari hingga April 2008 ialah 586 orang. Angka ini sudah tentu membuatkan para ibu dan bapa tidak tidur lena tentang keselamatan anak-anak perempuan mereka. Kes sumbang mahram juga begitu membimbangkan. Menurut Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman, sebanyak 161 kes sumbang mahram dilaporkan.
bagi Januari hingga Jun 2008.
Kesan jenayah rogol bukan sahaja menyebabkan mangsa trauma sepanjang hidup, malah ahli keluarga mangsa juga tertekan. Paling menyayat hati, jika mangsa rogol menemui ajal akibat di bunuh oleh syaitan yang bertopengkan manusia. Trend rogol dan bunuh dengan cara membakar, menggantung, dan melemaskan mangsa ini juga kian meningkat saban tahun. Menurut laporan dari tahun 1984 hingga Februari 2006 , terdapat 87 kes rogol –bunuh, dan dari jumlah 87 kes ini, hanya 23 kes, atau pun 26.4% di selesaikan dengan pesalah dijatuhi hukuman. Sekali lagi, fakta ini sudah tentu telah mencuri ketenteraman hidup para wanita. Angka-angka jenayah rogol yang tidak pernah menunjukkan penurunan bisa membuat semua wanita tidak kira kanak-kanak, remaja, ibu hatta nenek sekalipun merasa diri tidak tenteram dan rasa terancam tidak kira di rumah apatah lagi di luar rumah.
Disebabkan itu, kesedaran dari dalam diri wanita amat penting tentang penjagaan keselamatan diri mereka sendiri. Pendedahan tentang peri pentingnya menjaga keselamatan diri perlu di lakukan dengan segera dan konsisten dari semasa ke semasa. Semua pihak yang terdiri daripada ibu bapa, sekolah, badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan pihak kerajaan harus menunjukkan kesungguhan dalam membanteras gejala rogol yang kejam ini. Kanak-kanak dan remaja wanita harus di dedahkan tentang penjagaan keselamatan diri kerana mereka merupakan golongan sasaran perogol yang tidak berperikemanusiaan. Oleh yang demikian, ceramah dan bengkel-bengkel keselamatan diri perlu di anjurkan sebagai program wajib bagi setiap sekolah di seluruh Negara. Kerjasama dari pihak kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaan amat di dambakan bagi menangani gejala kejam ini.
Melihatkan kepada statistik jenayah rogol yang kian meruncing, Majlis Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab telah membuat beberapa perancangan untuk menganjurkan Bengkel Keselamatan untuk Remaja (BESTARI) di peringkat pusat matrikulasi dan sekolah-sekolah. Kami juga merayu organisasi-organisasi bukan kerajaan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberikan kerjasama kepada pelaksanaan perancangan ini. Semoga usaha yang kecil ini dapat membantu mengurangkan seterusnya mensifarkan jenayah rogol di Negara ini. Wallahu’alam.
“Kesedaran Adalah Kunci Keselamatan Diri Anda”

Faridah binti Mohd Tap
Aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
PKPIM-ABIM-WADAH

Beberapa Tip-Tip Bestari Hindari Jenayah Rogol & Penderaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
(dipetik dari Majalah Nur, Jun 2009)
1. Jenayah Rogol
 Jika anda ibu bapa, ambil tahu di mana anak-anak anda berada.
 Jika anda keluar sendirian, beritahu ibu bapa atau rakan mengenai rancangan perjalanan dan siapa yang bersama anda.
 Berhati-hati dengan persekitaran terutamanya di tempat sunyi dan gelap.
 Paparkan keyakinan ketika berjalan.
 Jangan berjalan sendirian terutamanya waktu malam.
 Jika gunakan pengangkutan awam, cuba duduk dengan penumpang wanita.
 Was-was dengan orang yang tidak dikenali melepak dengan anda di tempat awam.
 Hati-hati dan keluarkan kunci lebih awal semasa berjalan ke kereta.
 Letak kereta di tempat terang, minta pengawal keselamatan iring anda jika rasa tidak selamat.
 Gunakan lif bersama orang ramai. Elak gunakan lif di tempat sunyi denagn orang yang tidak dikenali.
 Jangan terima jemputan orang yang tidak dikenali.
 Jangan terima minuman daripada orang yang tidak dikenali.
2. Penderaan Seksual Kanak-Kanak
 Ajar anak-anak nama yang betul bahagian sulit tubuh mereka.
 Ajar anak-anak bahawa tiada siapa yang berhak menyentuh mereka tanpa kebenaran.
 Ajar anak-anak mereka berhak menyatakan tidak jika mereka merasa tidak selesa.
 Beritahu anak-anak mereka mesti dapatkan kebenaran ibu bapa sebelum meninggalkan rumah, kemana mereka ingin pergi, rancangan perjalanan dan dengan siapa mereka pergi.
 Galakkan anak-anak berterus-terang sesuatu hal yang luar biasa berlaku pada mereka.
 Ajar anak-anak jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali sekalipun orang itu memberitahu dia kenal ibu bapa.
 Bincang secara terbuka isu penderaan seksual dan bagaimana melindungi keselamatan diri.
 Bagi ibu bapa, tumpukan perhatian dan dengar bicara anak-anak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...