Wednesday, November 11, 2009



LAPORAN SEMINAR: PERANAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA


10 November 2009, Selasa- Lima orang wakil HEWI PKPIM termasuk HEWI PKPIM UIAM telah menghadiri seminar wanita “ Talk on the Role of Women in Nation Building” yang disampaikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NIEW) di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Lebih 100 orang wakil daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan wanita hadir dalam seminar yang berlangsung pada jam 12:00 tengahari itu. Antara individu-individu penting yang hadir ialah Tun Siti Hasmah, Dato Seri Sharizat, Dato’ Rafeah Salim dan Puan Sheqal (UAE). Tidak ketinggalan wakil Abim, YADIM, Nisa’ Kebangsaan dan Persatuan Ibu Tunggal Selangor,juga turut kelihatan, personaliti TV, Wardina Safiyyah dan penulis jemputan Majalah I, Kapten Hafiz.

Intipati seminar itu banyak membicarakan peranan wanita dalam pembangunan Negara. Pemerkasaan wanita merupakan antara agenda penting Negara. Sehubungan dengan itu, mereka telah sama-sama diberi peluang dan ruang untuk memberikan sumbangan bagi menjayakan misi ini. Kehadiran wanita dalam pelbagai lapangan seperti penulisan, advokasi, kejuruteraan, pertanian, pengurusan sosial, politik, ekonomi dan lain-lain telah menaik taraf kehidupan wanita di Negara ini setapak kehadapan.

Tun Mahathir dalam ucaptamanya juga menyatakan, bahawa wanita diberi peluang untuk meningkatkan taraf hidupnya, tetapi pada masa yang sama, beliau menasihati supaya para wanita tidak pergi melebihi had dengan mendesak hak kesemarataan jantina sepertimana yang berlaku di dunia Barat. Wanita dan lelaki harus berjalan seiringan dalam membangunkan Negara yang maju.

Melihat kepada penyakit sosial dikalangan anak-anak muda yang meningkat dari semasa ke semasa akibat daripada kurangnya perhatian daripada ibu bapa, Tun Mahathir juga menasihati supaya ibu bapa terutamanya kaum ibu yang bekerjaya menyediakan sedikit masa yang berkualiti (quality times) untuk anak-anak mereka. Ini penting kerana anak-anak bakal membentuk masyarakat pada masa hadapan.

Sebelum seminar berakhir, tetamu jemputan dihidangkan dengan tayangan video ringkas mengenai kronolgi pembangunan wanita di Malaysia yang akhirnya dari buah fikir Tun, maka lahirlah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyaksikan Dato’ Seri Sharizat sebagai menteri pertama yang memegang portfolio kementerian tersebut.

Seminar berakhir pada jam 2:30pm dengan penyerahan cenderahati kepada YAB Tun Dr. Mahathir oleh Presiden NIEW, Dato’ Rafeah Salim diiringi oleh Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Laporan oleh,

Faridah Mohd Tap
11 November 2009.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...