Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) Muhammad Faisal Abdul Aziz menyeru seluruh negara anggota untuk memberi fokus kepada gagasan “Wahdah Madaniyyah” sebagai teras gerakan dakwah generasi muda Asia Tenggara.
Dalam ucapan penggulungan selepas dipilih mengetuai persekutuan ini, Faisal menegaskan bahawa PKPIM optimis untuk menggerakkan PEPIAT menerusi gagasan idea “Wahdah Madaniyyah” atau “penyatuan madaniyy” sebagai satu tawaran tuntas buat seluruh Umat Asia Tenggara.
PKPIM menegaskan gagasan ini adalah merupakan satu pembentukan kesatuan yang ideal yang mendokong cita-cita ketamadunan Umat dan seharusnya digarap oleh seluruh pendokong gerakan dakwah serantau sebagai suatu mekanisme baru pemulihan Islam secara “zahiriyyah” dan “ghayah”.
Dalam pada itu Kesatuan Madaniyy yang ditawarkan PKPIM ini bersifat mendokong kesatuan yang paksinya adalah nilai ilmu, pendidikan-ta’dib, peradaban, ketamadunan, kehalusan tatasusila, dan kebudayaan luhur ke arah untuk membentuk susanan umat Asia Tenggara yang teratur dan tertib di bawah kawalan hukum undang-undang tuhan.
Sementara itu, PEPIAT menerusi bengkel strategik telah menggariskan tiga mekanisme palaksanaan utama yang harus dilaksanakan PEPIAT untuk mencapai hasrat dan cita-cita Wahdah Madaniyyah ini iaitu menerusi mekanisme pendidikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan, serta advokasi.
Dalam perkembangan berkaitan, PEPIAT juga telah memberi jaminan untuk memberi penekanan khusus kepada pembangunan generasi pelajar di Selatan Thailand. Wilayah yang disifatkan sebagai “Palestin Asia Tenggara” itu akan diberi fokus utama dalam rangka hala tuju PEPIAT untuk sesi 2010/2012 ini.
No comments:
Post a Comment