RAMADHAN: FASTABIQUL KHAIRAT
Alhamdulillah, untaian tasbih kesyukuran kehadrat Ilahi kerana kita masih berkesempatan berbuat amal pada bulan ini yang dikatakan akan dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Yang Maha Pencipta, ayuh kita berkejar-kejar menuju mardhatillah. Selawat dan salam atas junjungan Ar-Rasul Nabi Muhammad s.a.w. atas segala usaha baginda menyebarkan risalah Islam keserata dunia pada dahulu kala. Moga-moga sirah Nabawiyyah ini akan menjadi lipatan kenangan dalam minda kita pada setiap ketika serta penguat semangat kita apabila kita lemah. Semoga kekudusan Ramadhan Kareem ini dapat kita semai benih-benih yang akan membuahkan haruman syurga dan menjadi jambatan bekal kita di akhirat kelak tanda rasa taqwa kita kepada Yang Maha Esa.
Nukilan kali ini kami ingin berkongsi akan beberapa fadhilat yang terdapat di dalam bulan Ramadhan ini. Seperti yang sudah kita ketahui bahawa bulan ini akan menguji erti kekuatan keimanan kita, erti keikhlasan dalam beribadat, erti kesabaran dalam menghadapi mehnah dan tribulasi yang tidak disangka-sangka tiba, dan erti istiqamah dalam beribadat. Segalanya ini akan mengajar kata-kata cinta yang terucap indah nan mengalir berzikir kepada Allah Yang Maha Esa sebagai tanda kasih serta tawadhuk akanNya. Moganya air mata yang mengalir di kala malam hari kan menjadi saksi rasa keinsafan akan dosa-dosa lampau yang dilakukan atas rasa muhasabah mengkoreksi diri yang sememangnya bersifat hamba yang lemah.
Begitulah makhluk yang lemah ini yang sentiasa di uji akan segalanya agar bertambah subur rasa keimanan. Justeru, ayuh kita memanfaatkan bulan ini dengan sebaiknya dan merasakan ini kali terakhir kita berhadapan dengan bulan ini kerana terlalu banyak fadhilat yang dijanjikan oleh Sang Pencipta dan Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya banyak sekali ayat-ayat Allah s.w.t yang terdapat dalam Al-Qur’an Kareem dan hadith Nabi Muhammad s.a.w yang berkaitan kelebihan bulan ini. Berikut terdapat beberapa hadith yang menceritakan fadhilat bulan Ramadhan untuk kita hayati bersama dan mendapat keberkatannya inshaAllah.
Dari Abi Hurairah beliau berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Nasai’e)
Dan daripada Abu Hurairah daripada Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadith riwayat Nasai’e, Ibn Majah dan Baihaqi)
Dan Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Ramadhan yang ertinya:
"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai'e dan Baihaqi)
Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
"Solat yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan iaitu Ramadhan merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan: syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan melanggar perjanjian. Telah berkata Abu Hurairah: Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda s.a.w. bersabda: Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah.”
(Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi)
Daripada Abi Solih Az-Zaiyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri isterinya pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diajak berkelahi maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad s.a.w. didalam kudratNya maka bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Akhir kalam, semoga kita dapat meneruskan perjuangan dalam bulan ini yang merupakan bulan rahmat bagi kita sekalian makhlukNya, dan tidak kita lupa agar mengecapi Lailatul Qadr yang merupakan malam terbalik bagi seribu malam. Doa, usaha, istiqamah dan tawakal akan menjadikan kita matang dan rasa BerTuhan dalam hidup ini. Ingatlah, hidup bukan untuk yang hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Menghidupkan, dan hidup ini untuk mati, kerana kematian itu merupakan permulaan bagi kehidupan. Harapnya kita dapat pergi dengan tenang dan mendapat kematian yang baik dan diredhai olehNya.
Amir PKPIM UIAM GOMBAK
Sesi 2011/2012
08 Ramadhan 1432 Hijrah
Semenyih, Selangor
No comments:
Post a Comment