Mahasiswa kini bersaing untuk mendapatkan keputusan dan gred yang baik dalam matapelajaran. Masing-masing ingin menjadi yang terbaik antara yang terbaik agar apabila mereka berjaya mendapat segulung ijazah, mereka akan mudah mendapat pekerjaan yang baik serta dipandang tinggi oleh masyarakat. Bukan menjadi satu kesalahan untuk mencapai sesuatu yang baik sebegitu malah memang sepatutnya orang Islam menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Namun, tujuan dan matlamat sebegitu terpesong apabila matlamat tersebut dijadikan matlamat utama apabila seseorang bergelar mahasiswa.
Perkara pertama yang harus ditanya oleh seorang mahasiswa kepada dirinya sendiri adalah apakah tujuan utama seseorang itu menjadi pelajar universiti dan bergelar mahasiswa? Jika jawapannya sudah jelas pada peringkat awal lagi maka tidak akan timbul masalah bagi seseorang mahasiswa untuk mencapai objektif yang betul sebagai seorang mahasiswa yang beragama Islam.
Mahasiswa Islam harus menanamkan dalam diri dan fikiran bahawa tujuan utama seorang pelajar adalah untuk menuntut ilmu. Namun ilmu mempunyai banyak kategorinya. Ilmu yang harus diperolehi tidak lain tidak bukan adalah ilmu yang bermanfaat. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu yang bermanfaat itu? Sudah tentulah ilmu yang boleh diamalkan dan memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.
perhimpunan agung tahunan PKPIM menjadi tempat berkumpulnya mahasiswa
Terdapat banyak cara untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat. Ilmu bukan sahaja boleh didapati di dalam bilik kuliyah sahaja malah jika diperhatikan, ilmu boleh diperolehi daripada sekeliling kita juga. Mahasiswa kini harus bijak memanfaatkan waktu belajar di universiti dengan menimba ilmu sebanyak-banyaknya.
Mahasiswa kini harus merebut peluang yang terdapat di sekeliling mereka dengan mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti di luar bilik kuliyah. Apabila seseorang itu tidak rigid dalam menimba ilmu (melalui bilik kuliyah sahaja), seseorang dapat menimba ilmu yang pelbagai dalam sesuatu masa. Hal ini adalah kerana, apabila manusia bercampur antara mereka, mereka dapat saling belajar mempelajari daripada satu sama lain.
Apabila kita tidak tahu tentang sesuatu perkara, kita akan bertanya pada mereka yang tahu. Kadang-kadang tanpa perlu bertanya, kita juga dapat mempelajari sesuatu daripada orang lain dengan melihat tindak tanduk seseorang terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, kita dapat mempelajari tindakan yang sepatutnya kita ambil apabila berhadapan dengan perkara yang sama.
jadilah mahasiswa yang berani ke depan untuk menyatakan kebenaran
Namun begitu, ilmu tidak mungkin dapat diperoleh sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh dalam menimbanya. Sebagai seorang mahasiswa Islam, kita tidak boleh merasa penat atau bosan dengan aktiviti-aktiviti di dalam mahupun di luar kelas. Inilah masanya bagi seorang mahasiswa untuk menimba dan merebut ilmu yang ada serta memanfaatkan waktu berharga kita sewaktu bergelar mahasiswa. Walaupun sibuk dengan aktiviti luar, pengajian dalam kelas tidak patut diabaikan. Oleh itu, mahasiswa harus bijak membahagikan masa agar beroleh kejayaaan dalam pelajaran juga dalam kehidupan.
Seperti kata Ustaz Hasrizal Abd Jamil "Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah! Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.
No comments:
Post a Comment