Tuesday, August 12, 2008

NGO kecam protes forum 'peluk Islam'

Apa nak jadi dengan dunia Islam sekarang? Begitulah persoalan yang terdetik di dalam fikiran momentum akan isu yang semakin menjadi-jadi di negara kita ini. Satu isu tidak habis dibicarakan lagi, sudah sampai isu terbaru. Perkara ini jika tidak dibendung boleh menyebabkan perisitwa 16 Mei berulang lagi. Nauzubillah.. Ini adalah kenyataan gang Islam Liberal terhadap isu forum 'memeluk islam' ini.


Persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) memberikan reaksi berbeza-beza terhadap tindakan ratusan penunjuk perasaan yang mengganggu sehingga terhenti forum memeluk Islam anjuran Majlis Peguam kelmarin.

Sisters-in-Islam (SIS), Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) dan Jawatankuasa Bersama untuk Kesetaraan Gender (JAG) kesal dengan bantahan itu.

Ketiga-tiga badan itu mencadangkan kerajaan menggalakkan dialog terbuka dalam masyakat berhubung isu pertukaran agama yang menjadi bidang kontroversi akibat pertindihan bidang kuasa mahkamah-mahkamah sivil dan syariah.

SIS dan JAG mengutuk keras tindakan penunjuk perasaan yang menghentikan forum ketika ia sedang berlangsung dan juga “tindakan pelampau” yang membaling bom petrol ke arah bekas rumah presiden Majlis Peguam, S Ambiga.

Rumah itu kini dihuni naib ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada hari yang sama.

SIS dan JAG berpendapat rakyat Malaysia berhak untuk membincangkan mana-mana dasar atau undang-undang negara yang melibatkan kepentingan dan hak rakyat.

SIS dalam kenyataannya hari ini berkata, forum “Memeluk Islam” berjalan dalam pengetahuan jabatan agama, malah dua pagawai jabatan itu dijadualkan hadir sebagai ahli panel, tetapi menarik diri di saat akhir.

Persatuan itu berkata polis tidak sepatutnya tunduk kepada taktik kekerasan yang mahu mengganggu perbincangan yang dilakukan dengan aman dan matang.

Pemimpin negara, tambahnya, patut memainkan peranan meredakan ketegangan.

“SIS juga sangat kecewa dengan parti-parti politik yang sering melaungkan hak asasi manusia, suara rakyat, hak memberi pendapat dan sebagainya, yang jelas telah gagal dalam menyambut seruan mereka sendiri dan menyalahi manifesto yang mereka janjikan kepada rakyat,” katanya.

Kenyataan ini dipercayai merujuk pembabitan pemimpin-pemimpin PKR dan PAS, bersama Umno, dalam perhimpunan di Leboh Pasar, Sabtu lalu.

CIJ pula berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak mempersoalkan “keanehan” undang-undang dalam negara dalam bab memeluk Islam.

“Hak mempersoalkan aspek pentadbiran dan undang-undang untuk menjamin keadilan untuk semua mesti dilihat bukan mempersoalkan agama dan tidak dibuat dengan mempertaruhkan keharmonian negara,” kata persatuan itu kenyataannya hari ini.

Sementara itu Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengulangi desakan popular kebanyakan NGO Islam supaya dialog itu tidak dijalankan secara terbuka.

Teras mencadangkan “saluran khas” agar semua pihak dapat menyampaikan aduan dan pandangan mereka mengenai hal-ehwal Islam.

“Kami bertegas bahawa jika perbahasan dan pernyataan secara bebas diberi kepada sesiapa sahaja; dan (hak) menyalurkan pandangan kepada orang ramai secara terbuka, ini akan mencetuskan salah faham dan prasangka, serta ketegangan yang merbahaya,” kata presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid.

Exco penerangan PKPIM Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata isu-isu sebegini mesti dibincangkan tetapi belay meletakkan syarat perbincangan mesti dilakukan secara tertutup

“Mungkin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama NGO Islam perlu duduk semeja dan menganjurkan perbahasan dalam hal ini, bukan (membiarkan) dianjurkan oleh mereka yang celaru dan 'opurtunis' dalam masyakat kita,” kata Mohd Saifullah.

Friday, August 8, 2008

6 SEBAB KENAPA PKPIM PERLU TERLIBAT DENGAN PILIHAN RAYA KAMPUS

Pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac yang lalu telah berakhir. Kini hampir pula pilihan raya kampus (PRK). Walau tarikhnya belum diketahui namun bahangnya sudah terasa. Sudah ada pihak-pihak berkempen secara halus sebelum kempen sebenar berlaku. Tanda-tanda awal demam pilihan raya kampus mula melarat terutama bagi pelajar-pelajar Institusi Pengajian Awam yang prihatin dengan isu PRK ini. Iini merupakan perkara yang tidak boleh di pandang enteng atau hanya sebelah mata. Partisipasi dalam PRK amat perlu disebabkan beberapa faktor. Oleh itu, dalam penulisan kali ini, kami akan menghuraikan beberapa sebab kenapa perlu masuk dalam pilihan raya kampus pada kali ini dan pada masa akan datang.

Sebab pertama: imej dan jaringan.

Sebagai gerakan pelajar Islam, seharusnya imej kita perlu lebih menyerlah dalam dunia universiti dan masyarakat pelajar itu sendiri. Tetapi, apa yang dilihat sekarang, gerakan pelajar Islam terlebih fokus kepada bidang yang lebih luas seperti isu-isu masyarakat, politik Negara dan sebagainya. Bukan tidak boleh, tetapi pada masa yang sama jangan kita berlaku tidak adil dalam isu-isu universiti seperti PRK ini. Kita tampak hebat di luar sana, tetapi di kampus-kampus, nama PKPIM seakan-akan tidak wujud. Disebabkan itu, PRK ini adalah medan yang sesuai untuk kita membina imej PKPIM di IPTA-IPTA. Penyertaan dalam PRK ini juga menjadi medan untuk kita menyebarkan fikrah kita (spiritualisme, intelektualisme, idealisme dan aktivisme) yang bertunjangkan amar makruf wa nahi munkar. Secara tidak langsung, jaringan kita akan lebih meluas. Adalah menjadi impian jika sekiranya kita mempunyai wakil dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)

Sebab kedua: Non-Partisan bukan bermaksud tidak boleh terlibat dengan Politik Kampus.

Ramai ahli PKPIM yang tersalah anggap dengan konsep non-partisan ini. Selalu kedengaran…PKPIM kan non-partisan, kenapa pula perlu terlibat dengan PRK?. Dr. Asyraf Wajdi pernah membicarakan perihal ini dalam Muktamar Sanawi PKPIM ke-40;

Gerakan non-partisan bukannya gerakan ‘non-participation’, yang menghalang kita daripada membicarakan soal-soal politik secara parti-sipatif dan konstruktif. Bukan juga hujahan ‘escapism’, yang seolah-olah mahu dijadikan alasan untuk kita lari daripada mendepani relaiti umat sejagat. Bahkan non-partisan bukan bermakna kita tidak boleh terlibat dalam kancah politik yang pastinya berkait langsung dengan masa depan dan generasi muda akan datang.

Ingin dijelaskan disini bahawa kita berorientasikan non-partisan iaitu tidak terikat atau terjerat dengan mana-mana parti politik yang berkepentingan. Kita harus faham dengan tuntas, iaitu PRK adalah pilihan raya untuk pelajar. Kita adalah pelajar non-partisan yang layak untuk menyertai PRK demi membawa idealisme tulen sebagai seorang pelajar bukan ideologi politik parti tertentu.

Sebab ketiga: sumber kaderisasi yang luas.

Permasalahan PKPIM dari dulu hingga kini adalah kaderisasi. Bermacam-macam cara kita lakukan untuk mendapatkan jundiyyah yang sama-sama mendokong perjuangan gerakan. Tapi tahukah sahabat-sahabat sekalian, salah satu cara kita boleh mendapat sumber jundiyyah adalah dengan terlibat secara langsung dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau di UIAM dikenali SRC.

Sebab Keempat: Sejarah UIAM itu sendiri.

Tahukan sahabat-sahabat seperjuangan, penubuhan Universiti Islam Antarabangsa ada kaitan dengan PKPIM. Daripada idealisme PKPIM yang mahukan sebuah universiti Islam wujud di Malaysia, maka lahirlah UIAM ini. Konsep UIAM selari dengan fikrah perjuangan PKPIM. Ironinya, fikrah ini kian terhakis hari demi hari dan hari ini semakin tenat. Universiti yang dikenali sebagai Taman Ilmu dan Budi hanya tinggal retorik bukan realiti. Kalau dulu UIAM dikenali sebagai lubuk PKPIM, namun hari ini hanya tinggal dalam memori. Erm…tak terfikirkah sahabat-sahabat sekalian untuk mengembalikan UIAM ke tangan PKPIM semula? Ayuh sertai PRK! Mulakan momentum perjuangan sekarang!

Sebab kelima: Islam dan politik.

Politik sering dikaitkan dengan sesuatu yang kotor. Rasuah, fitnah, politik wang sudah menjadi darah daging dalam politik. Tetapi, sukalah bagi kami untuk mengajak sahabat-sahabat sekalian melihat ia dari sudut yang positif. Politik merupakan salah satu cabang dalam Islam sebagai satu cara hidup. Islam tidak pernah meminggirkan politik dalam kehidupan seharian seorang manusia. Politik diperlukan untuk mempertahankan kesucian agama Islam itu sendiri. Politik juga perlu untuk amar makruf wa nahi munkar. Politik adalah perlu untuk membela masyarakat Islam keseluruhannya. Dengan politik, kita boleh menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini dengan lebih luas Dengan perkataan lain, keterlibatan dengan politik secara positif mempamerkan komitmen kita terhadap agama secara syumul, bukan boleh pilih-pilih. Ikut selera kita. Jadi, sebagai gerakan pelajar Islam, keterlibatan dalam politik kampus juga perlu.

Sebab keenam: PRK dan pembinaan jati diri pemimpin berwibawa.

Pemimpin berketrampilan dan berwibawa lahir bukan di bilik kuliah. Sekadar dengar kuliah pensyarah, buat nota, pergi kafe, lepas tu balik bilik. Kalau tak ada kerja, keluar jalan-jalan dan berhibur. Tetapi, itulah yang banyak berlaku sekarang. Sebenarnya, takut untuk memikirkan pemimpim masa depan jikalau senario pelajar hari ini sedemikian rupa. Pak Natsir pernah berkata;

Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas dikancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya lalu diterima dan di dukung oleh umat.

Justeru itu, dari sekarang kita perlu berkorban sedikit masa muda kita untuk kepentingan generasi akan datang. Sebagai ahli gerakan pelajar Islam, kita mempunyai lebih amanah dalam mencorakkan masa depan agama, bangsa, Negara dan dunia. Tetapi, kita perlu melalui proses latihan dan PRK adalah salah satu tempat latihan yang sesuai dalam membina jati diri pemimpin Islam yang berkredibiliti dan berwawasan. Andalah pemimpin itu! Namun jangan lupa, segala-galanya harus di kembalikan kepada Allah jua. Semoga penulisan ini dapat membuka minda kita semua tentang keperluan PKPIM dalam pilihan raya kampus.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...