Pilihan raya umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac yang lalu telah berakhir. Kini hampir pula pilihan raya kampus (PRK). Walau tarikhnya belum diketahui namun bahangnya sudah terasa. Sudah ada pihak-pihak berkempen secara halus sebelum kempen sebenar berlaku. Tanda-tanda awal demam pilihan raya kampus mula melarat terutama bagi pelajar-pelajar Institusi Pengajian Awam yang prihatin dengan isu PRK ini. Iini merupakan perkara yang tidak boleh di pandang enteng atau hanya sebelah mata. Partisipasi dalam PRK amat perlu disebabkan beberapa faktor. Oleh itu, dalam penulisan kali ini, kami akan menghuraikan beberapa sebab kenapa perlu masuk dalam pilihan raya kampus pada kali ini dan pada masa akan datang.
Sebab pertama: imej dan jaringan.
Sebagai gerakan pelajar Islam, seharusnya imej kita perlu lebih menyerlah dalam dunia universiti dan masyarakat pelajar itu sendiri. Tetapi, apa yang dilihat sekarang, gerakan pelajar Islam terlebih fokus kepada bidang yang lebih luas seperti isu-isu masyarakat, politik Negara dan sebagainya. Bukan tidak boleh, tetapi pada masa yang sama jangan kita berlaku tidak adil dalam isu-isu universiti seperti PRK ini. Kita tampak hebat di luar sana, tetapi di kampus-kampus, nama PKPIM seakan-akan tidak wujud. Disebabkan itu, PRK ini adalah medan yang sesuai untuk kita membina imej PKPIM di IPTA-IPTA. Penyertaan dalam PRK ini juga menjadi medan untuk kita menyebarkan fikrah kita (spiritualisme, intelektualisme, idealisme dan aktivisme) yang bertunjangkan amar makruf wa nahi munkar. Secara tidak langsung, jaringan kita akan lebih meluas. Adalah menjadi impian jika sekiranya kita mempunyai wakil dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sebab kedua: Non-Partisan bukan bermaksud tidak boleh terlibat dengan Politik Kampus.
Ramai ahli PKPIM yang tersalah anggap dengan konsep non-partisan ini. Selalu kedengaran…PKPIM kan non-partisan, kenapa pula perlu terlibat dengan PRK?. Dr. Asyraf Wajdi pernah membicarakan perihal ini dalam Muktamar Sanawi PKPIM ke-40;
Gerakan non-partisan bukannya gerakan ‘non-participation’, yang menghalang kita daripada membicarakan soal-soal politik secara parti-sipatif dan konstruktif. Bukan juga hujahan ‘escapism’, yang seolah-olah mahu dijadikan alasan untuk kita lari daripada mendepani relaiti umat sejagat. Bahkan non-partisan bukan bermakna kita tidak boleh terlibat dalam kancah politik yang pastinya berkait langsung dengan masa depan dan generasi muda akan datang.
Ingin dijelaskan disini bahawa kita berorientasikan non-partisan iaitu tidak terikat atau terjerat dengan mana-mana parti politik yang berkepentingan. Kita harus faham dengan tuntas, iaitu PRK adalah pilihan raya untuk pelajar. Kita adalah pelajar non-partisan yang layak untuk menyertai PRK demi membawa idealisme tulen sebagai seorang pelajar bukan ideologi politik parti tertentu.
Sebab ketiga: sumber kaderisasi yang luas.
Permasalahan PKPIM dari dulu hingga kini adalah kaderisasi. Bermacam-macam cara kita lakukan untuk mendapatkan jundiyyah yang sama-sama mendokong perjuangan gerakan. Tapi tahukah sahabat-sahabat sekalian, salah satu cara kita boleh mendapat sumber jundiyyah adalah dengan terlibat secara langsung dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau di UIAM dikenali SRC.
Sebab Keempat: Sejarah UIAM itu sendiri.
Tahukan sahabat-sahabat seperjuangan, penubuhan Universiti Islam Antarabangsa ada kaitan dengan PKPIM. Daripada idealisme PKPIM yang mahukan sebuah universiti Islam wujud di Malaysia, maka lahirlah UIAM ini. Konsep UIAM selari dengan fikrah perjuangan PKPIM. Ironinya, fikrah ini kian terhakis hari demi hari dan hari ini semakin tenat. Universiti yang dikenali sebagai Taman Ilmu dan Budi hanya tinggal retorik bukan realiti. Kalau dulu UIAM dikenali sebagai lubuk PKPIM, namun hari ini hanya tinggal dalam memori. Erm…tak terfikirkah sahabat-sahabat sekalian untuk mengembalikan UIAM ke tangan PKPIM semula? Ayuh sertai PRK! Mulakan momentum perjuangan sekarang!
Sebab kelima: Islam dan politik.
Politik sering dikaitkan dengan sesuatu yang kotor. Rasuah, fitnah, politik wang sudah menjadi darah daging dalam politik. Tetapi, sukalah bagi kami untuk mengajak sahabat-sahabat sekalian melihat ia dari sudut yang positif. Politik merupakan salah satu cabang dalam Islam sebagai satu cara hidup. Islam tidak pernah meminggirkan politik dalam kehidupan seharian seorang manusia. Politik diperlukan untuk mempertahankan kesucian agama Islam itu sendiri. Politik juga perlu untuk amar makruf wa nahi munkar. Politik adalah perlu untuk membela masyarakat Islam keseluruhannya. Dengan politik, kita boleh menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini dengan lebih luas Dengan perkataan lain, keterlibatan dengan politik secara positif mempamerkan komitmen kita terhadap agama secara syumul, bukan boleh pilih-pilih. Ikut selera kita. Jadi, sebagai gerakan pelajar Islam, keterlibatan dalam politik kampus juga perlu.
Sebab keenam: PRK dan pembinaan jati diri pemimpin berwibawa.
Pemimpin berketrampilan dan berwibawa lahir bukan di bilik kuliah. Sekadar dengar kuliah pensyarah, buat nota, pergi kafe, lepas tu balik bilik. Kalau tak ada kerja, keluar jalan-jalan dan berhibur. Tetapi, itulah yang banyak berlaku sekarang. Sebenarnya, takut untuk memikirkan pemimpim masa depan jikalau senario pelajar hari ini sedemikian rupa. Pak Natsir pernah berkata;
Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas dikancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya lalu diterima dan di dukung oleh umat.
Justeru itu, dari sekarang kita perlu berkorban sedikit masa muda kita untuk kepentingan generasi akan datang. Sebagai ahli gerakan pelajar Islam, kita mempunyai lebih amanah dalam mencorakkan masa depan agama, bangsa, Negara dan dunia. Tetapi, kita perlu melalui proses latihan dan PRK adalah salah satu tempat latihan yang sesuai dalam membina jati diri pemimpin Islam yang berkredibiliti dan berwawasan. Andalah pemimpin itu! Namun jangan lupa, segala-galanya harus di kembalikan kepada Allah jua. Semoga penulisan ini dapat membuka minda kita semua tentang keperluan PKPIM dalam pilihan raya kampus.
No comments:
Post a Comment