Alhamdulillah,begitulah terdetiknya hati momentum apabila membaca surat khabar hari ini. Berita penurunan caj pinjaman PTPTN ini rasanya amat melegakan semua pihak terutama sekali adalah mahasiswa itu sendiri. Di sini momentum memberikan beberapa artikel dari surat khabar berkaitan dengan PTPTN ini.
Pelajar yang memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini hanya perlu membayar caj perkhidmatan sebanyak satu peratus berikutan keputusan Kabinet semalam bersetuju menurunkan kadar caj berkenaan, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Kadar baru itu meliputi pinjaman di peringkat pengajian ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD). Sebelum ini, pelajar ijazah sarjana muda dikenakan caj perkhidmatan tiga peratus, manakala peringkat ijazah sarjana dan PhD lima peratus.
Ketika ini, 1.04 juta peminjam PTPTN membabitkan pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan 2,473 pelajar ijazah sarjana serta PhD.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar baru itu membabitkan peminjam sedia ada, yang sudah menamatkan pengajian tetapi belum menyelesaikan pinjaman serta semua bakal peminjam.
Beliau berkata, permohonan pelajar baru yang dibuat sebelum sistem baru dilaksanakan, akan diproses dan diluluskan mengikut kaedah sedia ada dengan pelarasan dibuat selepas sistem baru dibangunkan Disember ini.
"Bagi peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian pula, kaedah pengiraannya ialah jumlah terhutang sebelum 1 Jun lalu akan didarabkan dengan satu peratus setahun atas baki tempoh bayaran balik," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Mohamed Khaled berkata, penurunan kadar caj itu dipersetujui hasil perbincangan dan rujukan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah.
Bulan lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj yang dikenakan PTPTN hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian serta mesti bersesuaian dengan perkhidmatan yang diberi dan tidak membebankan peminjam.
Berikutan keputusan itu, katanya, dokumen surat tawaran perjanjian baru akan diedarkan kepada peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian, pada Januari 2009.
"Mereka diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan dokumen perjanjian baru dan memulangkannya semula kepada PTPTN sebelum kadar baru dilaksanakan. Mereka yang gagal memulangkan kembali surat tawaran itu akan tetap dikenakan kadar caj lama," katanya.
"Kita yakin penurunan kadar caj ini tidak akan menjejaskan operasi PTPTN kerana ia dapat membantu meningkatkan lagi pembayaran balik pinjaman," katanya.
Mohamed Khaled berkata, sejajar dengan penurunan kadar caj itu, kementerian sedang mengkaji kemungkinan menumpukan pembiayaan pendidikan peringkat sarjana, doktor falsafah dan profesional hanya dalam bidang strategik.
Mengenai pemotongan bayaran insurans PTPTN sehingga menyebabkan lebih 1,000 pelajar Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill, Kajang mendapat baki pinjaman antara RM10 hingga RM50, beliau berkata mereka boleh memohon balik bayaran yang dipotong dan jumlah berkenaan akan dijadikan pinjaman tambahan.
"PTPTN membuat pelarasan kerana kos insurans meningkat dan ada pelajar yang tidak dikenakan atau dikutip bayaran bulanan, maka apabila dikenakan potongan tahunan jumlahnya menjadi besar menyebabkan pelajar tidak ada baki pinjaman," katanya.
No comments:
Post a Comment