
Mahasiswa kini bersaing untuk mendapatkan keputusan dan gred yang baik dalam matapelajaran. Masing-masing ingin menjadi yang terbaik antara yang terbaik agar apabila mereka berjaya mendapat segulung ijazah, mereka akan mudah mendapat pekerjaan yang baik serta dipandang tinggi oleh masyarakat. Bukan menjadi satu kesalahan untuk mencapai sesuatu yang baik sebegitu malah memang sepatutnya orang Islam menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Namun, tujuan dan matlamat sebegitu terpesong apabila matlamat tersebut dijadikan matlamat utama apabila seseorang bergelar mahasiswa.
Perkara pertama yang harus ditanya oleh seorang mahasiswa kepada dirinya sendiri adalah apakah tujuan utama seseorang itu menjadi pelajar universiti dan bergelar mahasiswa? Jika jawapannya sudah jelas pada peringkat awal lagi maka tidak akan timbul masalah bagi seseorang mahasiswa untuk mencapai objektif yang betul sebagai seorang mahasiswa yang beragama Islam.
Mahasiswa Islam harus menanamkan dalam diri dan fikiran bahawa tujuan utama seorang pelajar adalah untuk menuntut ilmu. Namun ilmu mempunyai banyak kategorinya. Ilmu yang harus diperolehi tidak lain tidak bukan adalah ilmu yang bermanfaat. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu yang bermanfaat itu? Sudah tentulah ilmu yang boleh diamalkan dan memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.
Terdapat banyak cara untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat. Ilmu bukan sahaja boleh didapati di dalam bilik kuliyah sahaja malah jika diperhatikan, ilmu boleh diperolehi daripada sekeliling kita juga. Mahasiswa kini harus bijak memanfaatkan waktu belajar di universiti dengan menimba ilmu sebanyak-banyaknya.
