Friday, August 28, 2009

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah Al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada Nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat Lailatul Qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh As-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat Al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi S.A.W. malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi S.A.W. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keIslaman seseorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi S.A.W. bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).
(As-Siyam, DrMd'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi S.A.W. telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)


Abu Huraira related that the Prophet (peace and blessings be upon him) said: Whoever fasts during Ramadan with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven. Whoever prays during the nights in Ramadan with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven. And he who passes Lailat al-Qadr in prayer with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven.

-Hadith reported by Al-Bukhari

Wednesday, August 26, 2009

Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Nasional

Perpaduan bukan untuk dipolemikkan tetapi untuk difahami dan diinsafi maknanya seraya dipraktikkan dalam pengamalan harian demi kesejahteraan diri dan masyarakat.

Isu perpaduan tidak harus dipandang enteng dan segala usaha ke arah merealisasikannya adalah tidak wajar diperlekeh dan dipersenda.

Pembangunan lestari seperti yang sedang rancak digerakkan tidak akan memberi makna sekiranya masyarakat masih segan untuk membenarkan proses perpaduan ini berlangsung dengan jayanya.

Selaras dengan Perkara 1, Resolusi Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) pada awal Ogos lalu, “Perpaduan kaum merupakan teras kepada perpaduan nasional.”

Kebimbangan terhadap keretakan perpaduan nasional ekoran kerapuhan ikatan sesama bangsa disuarakan dengan tegas oleh Dr Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dua faktor akibat utama atau the main implication factors dikenal pasti sebagai agen peretak bangsa iaitu idealisme politik ekstrem dan taraf socioekonomi yang merenggang jauh.

Idealisme politik ekstrem merujuk kepada sifat jumud dan angkuh dengan pandangan sendiri sehingga menjadikan mereka tidak rasional dan berhikmah dalam menanggapi sesuatu isu yang akhirnya menimbulkan kecelaruan kefahaman dan konflik yang berpanjangan seperti mana hadis Nabi (SAW) yang bermaksud, “tiga faktor yang seringkali mencetuskan pelbagai krisis dan malapetaka iaitu, sifat bakhil yang menguasai diri, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan sifat kagum, angkuh, dan degil dengan pendapat sendiri” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Golongan ini buta atau sengaja membutakan diri sekiranya ditemukan suatu solusi yang lebih baik dan menguntungkan dari pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Sikap ini tidak kurang dengan sikap xenophobia yang lahir dari pengalaman pahit yang pernah dilalui sebelum ini sehingga menimbulkan sikap benci kepada sesuatu golongan itu yang menutup setiap kebaikan mereka.

Sikap perajudis dan skeptikal terhadap orang lain, buruk sangka yang keterlaluan, menjadikan aspirasi perpaduan nasional waima di kalangan sesama kaum tidak mungkin dapat direalisasikan.

Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism menyimpulkan segala permasalahan yang berlaku ini disebabkan oleh “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu” atau the confusion and error in knowledge.

Justeru, usaha mengendurkan ketegangan ini dengan melaksanakan penjernihan maklumat dan informasi serentak dengan pengadunan ilmu dan hikmah perlu disegerakan.

Dalam suasana semasa, kita perlu mengakui bahawa perpaduan Melayulah yang paling ketara renggangnya berbanding dengan kaum lain. Walaupun pandangan ini sangat tidak enak bagi pimpinan Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR, tetapi inilah hakikat yang perlu diinsafi bersama.

Kedegilan menerima realiti yang sedia terhidang ini memungkinkan kita tergolong dari mereka yang ”bebal” seperti mana istilah yang diguna pakai oleh Abdullah Munsyi dalam karyanya, Hikayat Hang Tuah. Professor Syed Husein Al-Attas, dalam bukunya Intelectualism in Developing Societies, menjelaskan bahawa antara ciri ”bebalisme” adalah kegagalan mengenal akar permasalahan dan keengganan mengakuinya.

Perlu dijelaskan bahawa perpaduan yang dianjurkan bukan bermaksud merenggangkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, tetapi lebih ke arah merasionalkan permainan politik ekstrem demi perpaduan Melayu dan perpaduan nasional secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, dalam isu yang melibatkan orang Melayu, seharusnya UMNO, PAS, dan PKR boleh duduk semeja dan berbincang dengan waras dan berhikmah serta sedia mencapai kata putus.

“Namun, apa yang sedang berlaku, PAS lebih cenderung merujuk kepada DAP berbanding UMNO dan begitu juga sebaliknya bagi UMNO dalam Barisan Nasional,” jelas kritikan Dr Sarjit dalam pembentangannya.

Oleh itu, proses penjernihan yang disaran menjurus kepada kesiapsediaan ketiga-tiga parti dominan Melayu ini untuk berforum dipentas yang lebih kondusif dan mesra rundingan yang dihujahi dengan fakta yang tepat dan pandangan yang bernas serta disemarakkan dengan penghayatan sikap hormat-kritis yang mampu mengekalkan keharmonian perbincangan.

Bertepatan dengan semangat Ramadhan, usaha menggerakkan perpaduan Melayu-Islam harus disambut baik oleh semua pihak. Firman Allah (SWT) dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan jangalah kamu becerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah telah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat pertunjuk dan hidayah-Nya”.

Selaras dengan matlamat ini, PKPIM telah merancang untuk menganjurkan Forum Perpaduan Ummah serentak dengan Malam Iftah Perjuangan PKPIM yang bakal menghimpunkan pimpinan pemuda UMNO, PAS dan PKR dalam satu pentas yang bakal dipengerusikan bersama oleh pimpinan mahasiswa PKPIM dan tokoh ilmuan tempatan.

Untuk makluman, sebelum ini, dengan kerjasama pelbagai pihak, PKPIM telah pun berjaya mempertemukan ketiga-tiga wakil parti ini di pentas perbincangan yang bersifat issue oriented seperti AUKU dan PPSMI. Atas pertimbangan tersebut, saya percaya forum yang lebih bermakna in akan dapat dijalankan dengan jayanya. Namun, ia menuntut sepenuhnya keikhlasan dan integriti semua pihak yang terlibat bagi memenuhi maksud perpaduan yang diimpikan.

Saya menyeru agar pimpinan pemuda UMNO, PAS, dan PKR akan terbuka menerima pelawaan ini dan berharap ia mendapat reaksi positif dari semua pihak selain tidak disalah tafsir sebagai agenda “Kerajaan Perpaduan” yang telah menimbulkan siri polemik sungguh merugikan khususnya kepada orang Melayu.

Saya percaya, pada ketika ini, politik Melayu sedang bergerak ke arah model yang lebih baik. Ahli Parlimen Melayu dilihat dominan dari segi kuantitinya di kedua-dua belah, baik di sebelah Pakatan mahupun Barisan. Ini adalah kelebihan dan kesempatan terbaik yang seharusnya dipergunakan dengan seoptimumnya demi kebaikan dan kesejahteraan semua.

Kita tidak memerlukan penggabungan fizikal untuk baru dilihat bersatu tetapi sudah cukup memadai sekiranya kita mampu melahirkan jiwa besar, menerima dan berpakat dengan hal yang dipersetujui dan berlapang dada dengan perkara yang tidak disepakati selaras dengan konsep unity in diversity.

Hal ini sangat bertitik-tolak dari kesediaan hati untuk menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan ikhlas tanpa diasak unsur-unsur terpaksa seperti mana yang dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri berkenan nilai ”penerimaan” dalam konsep 1 Malaysia.

Kita diseru untuk saling ingat-memperingati agar tidak sekali-kali menjadi sebahagian dari golongan yang disebut oleh Allah (SWT) dalam surah Al-Hasyr ayat 14 yang bermaksud, ”...permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)”

Rumah yang tiang serinya telah tumbang tidak mungkin dapat kekal lama berdiri teguh. Analogi ini selari dengan pandangan Sir Abraham Lincorn, mantan Presiden AS yang pernah menyebutkan bahawa “a house that is divided inside can’t stand”.

Kesimpulannya, sekiranya kita ingin mendirikan rumah perpaduan nasional, adalah perlu untuk kita memastikan tiang seri perpaduan Melayu kekal utuh di samping sendi hikmah yang menghubungkan setiap palang sokongan berfungsi dengan baik.

Optimus Prime di akhir filem Transformers 2: Revenge of the Fallen arahan Michael Bay, mengungkapkan sesuatu yang cukup bermakna untuk dihayati. “Our races united by a history long forgotten. And a future we shall face together. I am Optimus Prime send this message, so that our past will always be remembered. For in those memories, we live on.”

ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM

T: +6019-3565-805
E: aqna_86@yahoo.com

Sekretariat PKPIM Pusat
Lot 2985 Jalan Kampung Tengah 7
Kampung Tengah
Batu 6 ½ Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA
E: pkpim_spp@yahoo.com
T: +603-6184-2286
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...