Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Nasional
Perpaduan bukan untuk dipolemikkan tetapi untuk difahami dan diinsafi maknanya seraya dipraktikkan dalam pengamalan harian demi kesejahteraan diri dan masyarakat.
Isu perpaduan tidak harus dipandang enteng dan segala usaha ke arah merealisasikannya adalah tidak wajar diperlekeh dan dipersenda.
Pembangunan lestari seperti yang sedang rancak digerakkan tidak akan memberi makna sekiranya masyarakat masih segan untuk membenarkan proses perpaduan ini berlangsung dengan jayanya.
Selaras dengan Perkara 1, Resolusi Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) pada awal Ogos lalu, “Perpaduan kaum merupakan teras kepada perpaduan nasional.”
Kebimbangan terhadap keretakan perpaduan nasional ekoran kerapuhan ikatan sesama bangsa disuarakan dengan tegas oleh Dr Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dua faktor akibat utama atau the main implication factors dikenal pasti sebagai agen peretak bangsa iaitu idealisme politik ekstrem dan taraf socioekonomi yang merenggang jauh.
Idealisme politik ekstrem merujuk kepada sifat jumud dan angkuh dengan pandangan sendiri sehingga menjadikan mereka tidak rasional dan berhikmah dalam menanggapi sesuatu isu yang akhirnya menimbulkan kecelaruan kefahaman dan konflik yang berpanjangan seperti mana hadis Nabi (SAW) yang bermaksud, “tiga faktor yang seringkali mencetuskan pelbagai krisis dan malapetaka iaitu, sifat bakhil yang menguasai diri, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan sifat kagum, angkuh, dan degil dengan pendapat sendiri” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Golongan ini buta atau sengaja membutakan diri sekiranya ditemukan suatu solusi yang lebih baik dan menguntungkan dari pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Sikap ini tidak kurang dengan sikap xenophobia yang lahir dari pengalaman pahit yang pernah dilalui sebelum ini sehingga menimbulkan sikap benci kepada sesuatu golongan itu yang menutup setiap kebaikan mereka.
Sikap perajudis dan skeptikal terhadap orang lain, buruk sangka yang keterlaluan, menjadikan aspirasi perpaduan nasional waima di kalangan sesama kaum tidak mungkin dapat direalisasikan.
Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism menyimpulkan segala permasalahan yang berlaku ini disebabkan oleh “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu” atau the confusion and error in knowledge.
Justeru, usaha mengendurkan ketegangan ini dengan melaksanakan penjernihan maklumat dan informasi serentak dengan pengadunan ilmu dan hikmah perlu disegerakan.
Dalam suasana semasa, kita perlu mengakui bahawa perpaduan Melayulah yang paling ketara renggangnya berbanding dengan kaum lain. Walaupun pandangan ini sangat tidak enak bagi pimpinan Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR, tetapi inilah hakikat yang perlu diinsafi bersama.
Kedegilan menerima realiti yang sedia terhidang ini memungkinkan kita tergolong dari mereka yang ”bebal” seperti mana istilah yang diguna pakai oleh Abdullah Munsyi dalam karyanya, Hikayat Hang Tuah. Professor Syed Husein Al-Attas, dalam bukunya Intelectualism in Developing Societies, menjelaskan bahawa antara ciri ”bebalisme” adalah kegagalan mengenal akar permasalahan dan keengganan mengakuinya.
Perlu dijelaskan bahawa perpaduan yang dianjurkan bukan bermaksud merenggangkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, tetapi lebih ke arah merasionalkan permainan politik ekstrem demi perpaduan Melayu dan perpaduan nasional secara keseluruhannya.
Sebagai contoh, dalam isu yang melibatkan orang Melayu, seharusnya UMNO, PAS, dan PKR boleh duduk semeja dan berbincang dengan waras dan berhikmah serta sedia mencapai kata putus.
“Namun, apa yang sedang berlaku, PAS lebih cenderung merujuk kepada DAP berbanding UMNO dan begitu juga sebaliknya bagi UMNO dalam Barisan Nasional,” jelas kritikan Dr Sarjit dalam pembentangannya.
Oleh itu, proses penjernihan yang disaran menjurus kepada kesiapsediaan ketiga-tiga parti dominan Melayu ini untuk berforum dipentas yang lebih kondusif dan mesra rundingan yang dihujahi dengan fakta yang tepat dan pandangan yang bernas serta disemarakkan dengan penghayatan sikap hormat-kritis yang mampu mengekalkan keharmonian perbincangan.
Bertepatan dengan semangat Ramadhan, usaha menggerakkan perpaduan Melayu-Islam harus disambut baik oleh semua pihak. Firman Allah (SWT) dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan jangalah kamu becerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah telah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat pertunjuk dan hidayah-Nya”.
Selaras dengan matlamat ini, PKPIM telah merancang untuk menganjurkan Forum Perpaduan Ummah serentak dengan Malam Iftah Perjuangan PKPIM yang bakal menghimpunkan pimpinan pemuda UMNO, PAS dan PKR dalam satu pentas yang bakal dipengerusikan bersama oleh pimpinan mahasiswa PKPIM dan tokoh ilmuan tempatan.
Untuk makluman, sebelum ini, dengan kerjasama pelbagai pihak, PKPIM telah pun berjaya mempertemukan ketiga-tiga wakil parti ini di pentas perbincangan yang bersifat issue oriented seperti AUKU dan PPSMI. Atas pertimbangan tersebut, saya percaya forum yang lebih bermakna in akan dapat dijalankan dengan jayanya. Namun, ia menuntut sepenuhnya keikhlasan dan integriti semua pihak yang terlibat bagi memenuhi maksud perpaduan yang diimpikan.
Saya menyeru agar pimpinan pemuda UMNO, PAS, dan PKR akan terbuka menerima pelawaan ini dan berharap ia mendapat reaksi positif dari semua pihak selain tidak disalah tafsir sebagai agenda “Kerajaan Perpaduan” yang telah menimbulkan siri polemik sungguh merugikan khususnya kepada orang Melayu.
Saya percaya, pada ketika ini, politik Melayu sedang bergerak ke arah model yang lebih baik. Ahli Parlimen Melayu dilihat dominan dari segi kuantitinya di kedua-dua belah, baik di sebelah Pakatan mahupun Barisan. Ini adalah kelebihan dan kesempatan terbaik yang seharusnya dipergunakan dengan seoptimumnya demi kebaikan dan kesejahteraan semua.
Kita tidak memerlukan penggabungan fizikal untuk baru dilihat bersatu tetapi sudah cukup memadai sekiranya kita mampu melahirkan jiwa besar, menerima dan berpakat dengan hal yang dipersetujui dan berlapang dada dengan perkara yang tidak disepakati selaras dengan konsep unity in diversity.
Hal ini sangat bertitik-tolak dari kesediaan hati untuk menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan ikhlas tanpa diasak unsur-unsur terpaksa seperti mana yang dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri berkenan nilai ”penerimaan” dalam konsep 1 Malaysia.
Kita diseru untuk saling ingat-memperingati agar tidak sekali-kali menjadi sebahagian dari golongan yang disebut oleh Allah (SWT) dalam surah Al-Hasyr ayat 14 yang bermaksud, ”...permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)”
Rumah yang tiang serinya telah tumbang tidak mungkin dapat kekal lama berdiri teguh. Analogi ini selari dengan pandangan Sir Abraham Lincorn, mantan Presiden AS yang pernah menyebutkan bahawa “a house that is divided inside can’t stand”.
Kesimpulannya, sekiranya kita ingin mendirikan rumah perpaduan nasional, adalah perlu untuk kita memastikan tiang seri perpaduan Melayu kekal utuh di samping sendi hikmah yang menghubungkan setiap palang sokongan berfungsi dengan baik.
Optimus Prime di akhir filem Transformers 2: Revenge of the Fallen arahan Michael Bay, mengungkapkan sesuatu yang cukup bermakna untuk dihayati. “Our races united by a history long forgotten. And a future we shall face together. I am Optimus Prime send this message, so that our past will always be remembered. For in those memories, we live on.”
ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM
T: +6019-3565-805
E: aqna_86@yahoo.com
Sekretariat PKPIM Pusat
Lot 2985 Jalan Kampung Tengah 7
Kampung Tengah
Batu 6 ½ Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA
E: pkpim_spp@yahoo.com
T: +603-6184-2286
No comments:
Post a Comment