Wednesday, August 19, 2009

RESOLUSI KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN

Kami dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah berbesar hati dengan kehadiran peserta-peserta ke Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan bersempena dengan Muktamar Sanawi PKPIM ke-48 yang telah diadakan di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2009 bersamaan dengan 17 Sya’ban 1430Hijrah. Objektif Kongres Pelajar ini adalah seperti berikut:

1. Memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang.

2. Merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.

3. Mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’.

4. Menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Kongres yang telah dihadiri oleh 250 orang ini berpeluang untuk mengikuti satu sidang utama dan satu sidang selari yang menekankan tiga (3) aspek utama iaitu integriti, sosial dan ekonomi.

PERNYATAAN: 3 RESOLUSI KONGRES

Isu perpaduan bukanlah suatu isu yang baru, namun ia tidak basi untuk terus dibahaskan. Ini kerana, perpaduan adalah sangat penting dalam pembinaan sebuah Negara yang harmoni. Perpaduan tidak mungkin dapat dicapai dalam masa sehari, tetapi ia memerlukan jangka masa yang panjang disertai dengan komitmen tahap tertinggi oleh semua juzuk dan lapisan masyarakat. Diatas keprihatinan ini, maka kami peserta Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan dengan ini menyatakan pendirian kami bahawa:

  1. Perpaduan Melayu adalah teras kepada perpaduan nasional dalam membina sebuah Negara yang aman dan harmoni. Pernyataan ini tidak didorongi apatah lagi didasari semangat perkauman, tetapi bertitik tolak dari kepentingan peranan faktor-faktor yang melatari sejarah, sosio-budaya, geo-politik tanahair dan yang lebih utama peranan Islam itu sendiri dalam pembentukan Negara-bangsa. Pertikaian kepada faktor-faktor ini hanya akan mengundang bahaya terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat yang telah terbina selama ini. Atas dasar inilah, PKPIM komited untuk menganjurkan forum perpaduan demi kesejahteraan semua pihak.

2. Dalam mendepani isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, maka persoalan integriti amat dititik-beratkan. Integriti boleh didefinisikan sebagai kebolehpercayaan, teguh jati diri dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir jahat yang menggugat kestabilan dan kerangka fikir sebagai generasi muda berwibawa. Akhlak dan adab adalah teras penting dalam pembentukan integriti dalam diri.

  1. Ekonomi yang maju menjamin kestabilan Negara. Oleh itu, Liberalisasi ekonomi yang digagaskan oleh kepimpinan kerajaan sekarang adalah satu langkah bijak bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat kearah yang lebih baik. Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan memberi ruang yang besar dalam sektor perniagaan yang kami yakin merupakan alternatif terbaik kepada kadar pengangguran graduan dan peningkatan nilai ekonomi negara. Justeru, usaha PKPIM seterusnya ialah mempromosi gagasan ini dalam program-program sekolah dan sebagainya. Natijahnya, ianya diharap dapat meningkatkan dan membuka peluang dan ruang kepada generasi muda untuk terlibat secara lansung dalam sektor ekonomi.

Secara tuntasnya, PKPIM merasakan bahawa mahasiswa dan generasi muda perlu bersifat kritikal bersandarkan kebenaran ilmu bagi menangkis budaya sinikal yang boleh menggangu gugat ketetapan idealisme dan kesungguhan aktivitisme.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...