Tuesday, January 26, 2010



TREND SEKS DI LUAR PERKAHWINAN DI TAHAP GENTING



Beberapa tahun yang lepas, penulis pernah bertemu dengan seorang ibu melayu yang masih berumur 17 tahun bersama bayi kecilnya yang berusia seminggu di Pudu Raya. Penulis sempat berbual panjang dengannya. Ibu muda itu dengan naifnya memberitahu bahawa bayi yang bersamanya itu adalah hasil dari perhubungan haram dengan kekasih hatinya.

Yang paling menyedihkan, ibu muda itu ditinggalkan lelaki yang berjanji akan bertanggungjawab atas hubungan haram tersebut. 9 bulan dia terpaksa menghadapi kesukaran sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut di sebuah pusat kebajikan Kristian.

Kisah benar di atas merupakan salah satu contoh kejadian malang yang berlaku ke atas gadis-gadis yang naif sepertinya. Penulis banyak kali berjumpa dengan kes-kes sebegini, di kawasan perumahan mahupun kawan di zaman persekolahan. Trend seks di luar nikah dan melahirkan 'anak tak sama taraf' amat meruncing dan perlukan perhatian khusus dari semua pihak.

Mengikut statistik sepertimana dipetik dalam Berita Harian Online, bertarikh 27 November 2009, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TS8NFMF11AE4UI75 6



Setelah dikenal pasti, punca utama kepada gejala yang tidak bermoral ini adalah kurangnya didikan agama dan moral yang bersungguh-sungguh dalam keluarga dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap aspek pembangunan jasadi tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani. Akibatnya, mereka mudah terjebak dengan gejala tidak sihat hatta melanggar syariat.

Didikan asas agama dan moral bermula daripada rumah lagi dan seterusnya bersambung di alam persekolahan. Disinilah anak-anak menghabiskan masa, bersama rakan-rakan sebaya. Kesibukan para ibu bapa dalam urusan pekerjaan kekadang menghadkan masa mereka untuk bersama dan memantau anak-anak. Tanggungjawab ini diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah. Namun malangnya, sistem persekolahan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, tidak dapat membantu kepada pemahaman agama yang tuntas. Maka, membesarlah generasi muda ini dengan kekosongan jiwa dan rohani.

Agama menjadi panduan hidup setiap orang. Tanpa agama dan penghayatan yang jelas terhadap ajaran agama, hidup akan menjadi tidak punya matlamat. Sebab itulah semua perkara yang tidak berlandaskan ajaran agama akan meneyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

Dalam konteks zina ini, tidak ada satu agama pun yang membenarkan hubungan seks di luar nikah ini. Untuk ini, Dr. Mohd Ridhuan Tee telah membicarakan isu ini dalam artikel beliau yang bertajuk, 'Isu Timbul Kerana Kejahilan Agama' diterbitkan dalam ruangan rencana, akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009.

Menurut beliau, semua agama iaitu Buddha, Kristian, Hindu, Sikh apatah lagi Islam telah melarang penganutnya terjebak dengan zina ini. Beliau juga menggalakkan pembaca untuk lihat pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html dimana larangan berzina amat keras sekali.

Kesimpulannya, trend seks di luar perkahwinan atau lazim diketahui sebagai zina merupakan satu dosa besar dalam ajaran Islam. Bukan sekadar, perbuatan zina tersebut, tetapi semua perkara-perkara yang menjurus kepada gejala ini termasuklah hubungan sosial yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan serta penayangan pornografi yang berleluasa di era 'langit terbuka' ini juga dilarang. Tambahan lagi, zina ini juga dilarang dalam agama-agama lainnya.

Trend ini jika tidak dibendung dengan bersungguh-sungguh, dikhuatiri akan menyebabkan huru-hara dan krisis moral dalam masyarakat. 83.3 kes kelahiran anak luar nikah setiap hari seperti yang dinukilkan di atas statistik cukup menggambarkan kepada kita keruntuhan dan krisis moral di tahap yang genting. Justeru, semua pihak sama ada institusi keluarga, institusi sekolah, institusi agama, badan-badan bukan kerajaan (NGO), media cetak mahupun kerajaan harus bekerjasama dalam memikirkan cara terbaik dalam menangani krisis ini. Wallahu'alam.


Mimosa @;--

Saturday, January 23, 2010


PILIHAN RAYA KAMPUS 2010 HAMBAR DAN MEMALUKAN


Alhamdulillah, Pilihan Raya Kampus (PRK) UIAM telah sempurna berlangsung pada hari Khamis, bersamaan 21 Januari yang lepas. Dari pemerhatian penulis, PRK tahun ini agak hambar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.

Bermula dengan proses penamaan calon pada 14 Januari hinggalah ke hari pengumuman pemenang pada 21 Januari lepas, semuanya hambar dan lesu. Selain itu, calon-calon juga tidak dibenarkan memberikan 'hadiah' semasa berkempen. Ini pada pendapat penulis merupakan suatu momentum yang bagus. Kita mahukan pengundi-pengundi menilai calon daripada manifesto perjuangan dan kewibawaan mereka, bukannya 'hadiah' yang berlebih-lebihan.

Di UIAM Gombak, terdapat 2 kuliyyah diumum menang tanpa bertanding. Paling mengejutkan, kuliyah Undang-undang yang dikenali sebagai 'kerusi paling panas'. Hanya terdapat 2 calon sahaja yang menghantar borang, dan langsung diumum menang tanpa bertanding. Kuliyyah Seni Bina dan Alam sekitar juga diumum sebagai menang tanpa bertanding. Turut menang tanpa bertanding ialah calon kerusi pelajar internasional. Manakala, di UIAM Kuantan, majoritinya menang tanpa bertanding.

POLITIK FITNAH YANG MENCACATKAN PRK UIAM

Ada satu persamaan antara PRK kali ini dengan PRK-PRK sebelum ini iaitu politik fitnah dan politik label-melabel. Jika sebelum ini 'Teropong' tersebar, pada PRK kali ini, sejumlah besar artikel fitnah tersebar di Kuliyyah Ekonomi yang melabel-label calon PKPIM UIAM sebagai wakil 'Aspirasi' tersebar semasa hari mengundi. Kejadian ini sungguh memalukan.


Inilah artikel fitnah yang tersebar di kuliyyah Ekonomi

Umum mengetahui, 'Aspirasi' dikaitkan dengan Pro-Kerajaan, manakala Pro-Mahasiswa dikaitkan dengan Pembangkang. Dikotomi politik sebegini telah membutakan mata warga kampus UIAM kepada suara ketiga yang non-partisan iaitu PKPIM.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau akronimnya dikenali sebagai PKPIM merupakan sebuah gerakan pelajar Islam yang bersifat kebangsaan (tapi bukan asabiyyah sempit) dan menjadikan non-partisan sebagai orientasi perjuangannya.

PKPIM komited dengan perjuangannya untuk melahirkan barisan generasi muda yang dinamik dan berketerampilan selain menjadikan ilmu sebagai tenaga penerus momentum untuk membina generasi pemimpin muda yang bakal menerajui negara di masa hadapan.

PRK yang berlangsung baru-baru ini membuktikan perjuangan PKPIM masih lagi panjang. Politik fitnah yang mencalar kewibawaan dan integriti generasi mahasiswa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini sungguh memalukan. Virus ini jika tidak dihentikan, akan menjahanamkan negara pada masa hadapan. Yang akan sengsara, generasi terkemudian.

Disini, PKPIM UIAM ingin membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa AZHARUL AMIN BIN AHMAD NAZARUDIN, calon kerusi Kuliyyah Ekonomi BUKAN CALON ASPIRASI seperti yang didakwa didalam artikel fitnah yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjwab.




Kami juga menggesa, kepada mereka yang menyebarkan artikel tersebut supaya bertanggungjawab dengan bersemuka dengan kami. Sesungguhnya, fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. PKPIM UIAM tidak akan tunduk dengan permainan politik kotor ini. Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang senantiasa bertaubat.

Akhirnya, TAHNIAH kepada semua pemenang, dan kami mengharapkan kepimpinan SRC kali ini menjalankan tanggungjawab dengan seadilnya kepada semua warga pelajar UIAM. Wallahu'alam.

Azharul (berbaju melayu) bersama-sama dengan jentera kempennya


Azharul sedang berkempen di hari terakhir sebelum hari mengundi pada 21 Januari




Laporan oleh,

Faridah Mohd Tap
23 Januari 2010

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...