Thursday, December 12, 2013

Diari Tamrin Nisa’ Kebangsaan 2013

“ TNK adalah satu momentum yang memainkan peranan dalam meningkatkan jati diri dan perjuangan wanita,” ucap Abang Aliemran, ditemani ‘Abe’. Inilah pesanan yang masih utuh dalam ingatanku sebelum kami berangkat ke Sungai Lepoh Chalet, Hulu Langat Selangor.Bicaranya yang ringkas dan padat itu mampu menggetarkan jiwa-jiwa wanita yang khusuk mendengar.Aku memandang tepat ke arah mata wanita-wanita yang duduk di sekelilingku.Benarlah, cahaya yang terpancar dari mata mereka seolah sedang merakam satu pesanan dari seorang pemimpin yang bersifat berwibawa dan tegas.Lantas satu azam yang besar ditanam di dalam jiwa-jiwa mereka, begitu juga aku.

Tamrin Nisa’ Kebangsaan 2013 yang diadakan pada 29 November hingga 1 Disember 2013, menghidangkan juadah ilmu yang begitu lazat kepada jiwa kami yang bernama wanita beragama Islam. Sebelum kami melelapkan mata tetapi tidak mendiamkan akal, taklimat program diterangkan terlebih dahulu oleh Kak Sakinah.Seterusnya, bacaan al-Mulk langsung meniti dibibir kami.

Setelah mengembara mimpi, aku dikejutkan oleh suara gemersik Kak Hawa Sakinah.Aku memandang jam di tangan. Jarum jam menunjukkan tepat di angka empat dua puluhpagi. Meski tidak kedengaran ayam jantan berkokok pada subuh yang dingin ini.Namun, para peserta tidak terlewat untuk menyiapkan diri serta bersemangat menyarungkan niat untuk beribadah kepada Allah. LaluQiamulail, zikrullah dan tilawah al-Quran menjadi penghias dewan. Setelah menunaikan solat subuh berjemaah, Kak Hafizah dari UKM menghidupkan jiwa kami dengan berkata “ Bersyukurlah dengan ketentuan-Nya kerana kita mejadi golongan yang terpilih untuk datang ke sini ” Bicaranya itu membuatkan mataku yang kuyu tiba-tiba segar dan bertenaga. Jari-jemariku memicit-micit bahu kananku sambil merenung bicara yang dilontarkan oleh Kak hafizah. Ya! Benarlah, golongan yang bersyukur amat sedikit di bumi ini, semoga aku dan semua peserta Tamrin tergolong dalam golongan yang bersyukur.Pada 6.50 pagi, kami bermandi peluh dengan pelbagai aktiviti menarik yang berjaya mengasah minda kami. Antaranya, permainan ‘Gerabak Kutip Sampah’.Namanya pelik.Geli hatiku mendengarnya sehingga membuatkan aku tersengih menampakkan gigi yang tersusun.Kami diminta oleh Kak Fatimah untuk mengutip sampah yang sengaja ditaburkan di tepi dewan. Sampah berupa surat khabar. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua.Meskipun permainan ini kelihatanpelik, namun masing-masing telah mencedok pengajaran di sebalik permainan ini.

Antaranya, dalam pelantikan jawatan dalam sesebuah Jemaah atau organisasi.Seeloknya jalankan Syura, agar dapat memilihdan melantik seseorang yang layak menjadi ketua.Malah dalam mesyuarat, setiap ahli jemaah berhak memberikan pendapat.Sungguh, berbagai pendapat serta buah fikiran dari ahli jemaahlah yang kita inginkan.Namun, semua ahli wajib menghormati keputusan ketua.Peranan ketua adalah memilih dan menentukan keputusan daripada perbincangan yang diadakan. Justeru, seseorang yang bergelar ketua wajib membuat keputusan yang bijaksana serta memberi kebaikan kepada orang lain dan bukanlah mementingkan diri sendiri.

Pagi itu, mentari memancarkan sinarnya yang membahang.Jari-jemariku meraba saku seluar untuk mengambil sapu tangan.Lalu, aku mengelap peluh yang memercik di dahi.Kelihatannya, panas terik tidak menghalang para peserta dan para urusetia dari meneruskan aktiviti seterusnya.Aku kagum melihat wajah-wajah itu yang tidak terpancar sedikit pun perasaan penat mahupun lelah.Para urusetia seolah-olah sentiasa berlari di jalan Allah.Mereka berusaha menyediakan aktiviti yang mampu mendidik dan membentuk jiwa Nisa’ agar bersedia berjuang di jalan-Nya.Pengorbanan mereka secara tidak langsung mendidik hati-hati yang sedang memerhati gerak kerja mereka.

Bermula jam sepuluh sehingga dua belas empat puluh lima pagi, Puan Nordiran bt Idris lantang bersuara “Kita berjuang! Berdakwah untuk Allah, Rasul dan Ummah serta diri sendiri” Pesanan dari seorang wanita berjiwa kental serta terlibat dengan penubuhan Baitul Rahmah telah menyuburkan benih perjuangan dalam sanubari kami.Benarlah, bukan mudah untuk menjadi askar-askar Allah. Namun, segalanya pasti berjalan lancar apabila niat berjuang adalah untuk Allah serta bersedia dengan kelengkapan sebagai askar pejuang Islam. Benak fikiranku tiba-tiba menerbitkan satu soalan ‘ Mampukah kami menjadi khalifah Allah yang baik di muka bumi ini?’ Jawapannya ada di dalam setiap hati-hati pada waktu itu.Kerana bagiku, tiada perkataan tidak mampu dalam hidup ini.Yang ada adalah mahu atau tidak mahu. Apabila perasaan mahu itu berkobar-kobar dalam jiwa seseorang, sudah tentu dia akan berusaha untuk mencapai impiannya untuk menjadi Khalifah Allah yang terbaik. Semoga kami yang berjiwa wanita di alam remaja ini berusaha menjadi menjadi Khalifah-Nya yang terbaik.Sesungguhnya, sekiranya mahu hasil lebih, usaha juga kena lebih seta menggunakan langkah yang betul.Sebagaimana tidak mungkin kita mampu memancing ikan siakap berumpankan selipar besi berkarat.Sudah tentu kita perlu berusaha membeli umpan yang sesuai meskipun harganya mahal melambung.Maka, belajarlah berusaha dan berkorbanlah.Bicara hatiku kepada sanubariku.

Usai solat berjemaah serta menguruskan diri.Sekali lagi kami dijuadahkan dengan ilmu bermanfaat yang bertajuk Tarvokasi oleh Naib Presiden ABIM.Aku membetulkan tudung yang tidak senget sambil mengetuk-ngetuk simen di hadapanku.Bukanlah kerana simen itu tidak cukup pasir, tetapi kerana terlalu hairan dengan tajuk yang tidak pernah menjadi santapan telingaku.Ternyata, tarvokasi adalah gabungan perkataan antara Tarbiyah dan Advokasi.Pelbagai kaedah advokasi yang dijelaskan oleh beliau, antaranya ucapan awam, menyanyi serta ‘funeral mood’.Namun, kaedah tersebut haruslah tidak berbentuk jenayah atau mengundang bahaya.Advokasi adalah salah satu cara untuk mengetengahkan sesuatu isu agar diselesaikan dengan betul. Sesungguhnya, perkara inilah yang mampu dilakukan oleh seseorang yang berjiwa kental dan berani.Beranikah aku?Soal jiwaku, sengaja memerli hatiku yang lemah.

 Pada malamnya, aku cuba menguatkan mata yang kuyu agar fokus serta menadah telinga supaya mampu menangkap setiap pesanan yang berharga oleh Ustazah Adila dan Ustazah Akmariah Abdullah. Forum bertajuk Menjiwai Ibrah Perjuangan Mujahidah Islam ini diserikan oleh Kak Wan Noor Fadhilah sebagai pengacara.Antara tokoh mujahidah yang diketengahkan adalah Saidatina Asma’ Ibn Abu Bakr serta Saidatina Khadijah yang begitu tersohor akanpengorbanan mereka dalam membantu perjuangan Nabi Muhammad (S.A.W) menyebarkan Islam. Benarlah bahawasanya akhlak ialah cerminan peribadi serta ikutan kepada kepada orang lain.Selain itu, orang yang hebat mempunyai akhlak yang tinggi serta mampu mengawal emosinya.Forum ini juga menjelaskan konsep da’ie yang merujuk kepada pendakwah yang bukan sahaja menyampai tetapi juga melaksanakan serta berakhlak.Malah, forum ini juga menjelaskan bahawa PKPIM adalah satu sebuah organisasi Harakiy iaitu organisasi gerakan dan menggerakkan.PKPIM juga besifat menyeluruh yang tidak bergerak pada sesuatu masa sahaja seperti sesebuah program yang hanya bergerak pada bulan Ramadhan sahaja.Banyak ilmu yang mampu kami tadah di dalam majlis ilmu ini. Aku begitu bersyukur Allah telah memilih aku serta sahabat-sahabat yang lain untuk hadir ke program seperti ini. Namun, hatiku juga menadah setangkai doa kepada Allah Azza Wa Jalla agar memberi peluang serta memilih sahahat-sahabat yang lain juga.

Tanggal 1 November 2013, program Tamrin Nisa’ Kebangsaan melabuhkan tirai untuk tahun ini.‘Usahlah bersedih, tahun hadapan pasti program ini akan kembali lagi’, pujuk hati kepada sepasang mata yang ingin mengalirkan mutiara.Setelah mendirikan solat subuh dan membaca ma’thurat di dalam perut dewan, Kultim iaitu kuliah tiga minit diimarahkan oleh para peserta yang berkongsi pesanan berkaitan wanita.Masihku ingat pesanan ringkas yang berisi oleh Kak Atika yang berbunyi “Lupakan kesalahan orang kepada kita tetapi ingatlah kesalahan kita kepada orang, Lupakanlah kebaikan kita kepada orang tetapi ingatlah kebaikan orang kepada kita”.Kak Hawa Sakinah juga turut berkongsi tentang Fiqh wanita kepada kami.Setelah Kultim, Kak Akmariah Abdullah yang sentiasa terukir senyuman manis di bibirnya berpesan kepada kami agar mencontohi sifat Salman Al-Farisi yang begitu bersemangat berhijrah ke serata dunia untuk mendapatkan ilmu sejak umur sembilan tahun. Bicara beliau teramatlah memanah hatiku serta membuatkan wajahku tunduk malu dek sifatku yang tidak acuh soal perkara ini.Beliau juga berpesan agar kita seharusnya berfikiran jauh serta mencipta jadual jangka masa panjang. Usai slot terakhir, kami bergambar di pentas dewan yang meyingkap kenangan bersama. Penutupan majlis ini dirasmikan oleh Prof. Rahmah daripada WADAH.Kami tidak lupa untuk melakukan perkara mustahak sebelum berpisah, iaitu bertukar nombor telefon serta muka buku.Alhamdulillah, kami membawa pulang gelas yang penuh dengan ilmu yang semoga mampu mendidik dan membentuk akhlak tinggi serta menjadi pejuang-pejuang Islam.Semoga program ini mampu menghidupkan hati-hati yang mudah tergelincir sepertiku agar sentiasa kuat dan utuh di jalan-Nya.MasyaAllah, Pepohon yang tumbuh hijau bagaikan melambai kepada kami yang melangkah pergi diiringi pawana yang bertiup lembut.Semoga sebuah program seperti Tamrin Nisa’ Kebangsaan mampu mendidik sejuta hati menjadi pejuang-pejuang Islam.


 Nukilan : Ku Siti Aminah Ku Mat

Saturday, November 30, 2013

2 Hari Bersama Klasika Media


Baru-baru ini IYC, atau lebih di kenali Intellectual Youth Club (IIUM) telah berjaya menganjurkan sebuah Bengkel Transliterasi Jawi bersama Klasika Media. Bengkel yang berlangsung selama dua hari iaitu 27 dan 28 November 2013 dikendalikan sendiri oleh pihak Klasika Media, yang juga dikenali sebagai Akademi Jawi Malaysia.

Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia merupakan sebuah syarikat yang menawarkan khidmat perniagaan berupa penyelidikan dan penerbitan khazanah warisan khususnya dalam bidang Jawi. Fokus perniagaan terbahagi kepada tiga iaitu pendigitalan bahan, transliterasi Jawi ke Rumi atau Rumi ke Jawi, dan menganjurkan pengajian ‘ilmiyyah dalam Sejarah dan kebudayaan melayu secara berkala.

Pengisian program disampaikan oleh Saudara Muhammad Syukri Rosli yang juga merupakan pengasas-pengarah akademi tersebut. Beliau juga dikenali dengan nama pena Muhammad Teja. Meskipun berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Geologi dari Australia, beliau telah beralih arah ke bidang perniagaan dan penyelidikan dengan menubuhkan Akademi Jawi Malaysia atas kesedaran akan kepentingan menggali sejarah bangsa Melayu.

Pada hari pertama bengkel tersebut, para peserta telah diperbetulkan persepsi terhadap tulisan jawi. Jawi yang kita kenali sekarang ini adalah Jawi moden. Manakala, Jawi yang dibincangkan dalam konteks bengkel ini lebih menumpukan kepada jawi klasik.  Para peserta juga diuji membaca Jawi klasik.
Manakala hari kedua para peserta  didedahkan kepada bahan-bahan Jawi yang merupakan sumber asal seperti Bustan AlSalatin dan majalah Qalam yang telah dirumikan. Pihak penganjur juga berkongsi beberapa bahan dan kamus yang dirujuk dalam menterjemah manuskrip Melayu.

Ulasan

Pada zaman ini tulisan jawi dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai tulisan yang sudah  ketinggalan zaman. Penggunaan Jawi hanya dihadkan dalam bidang agama dan kebudayaan Melayu khususnya kitab-kitab kuning yang banyak dipelajari di pondok-pondok agama. Akan tetapi, umum mengetahui bahawa tulisan jawi adalah tulisan yang utama dalam bidang penulisan dan pendidikan pada zaman kegemilangan Melayu Islam.


Apa yang menarik, misalnya Majalah Qalam yang diterbitkan ketika fajar kemerdekaan iaitu antara 1951 hingga 1969 banyak mencatatkan sejarah besar negara kita.

Majalah inilah yang telah sekian lama memaparkan kefahaman falsafah kebangsaan dan kenegaraan di atas tonggak perlembagaan Malaysia dengan begitu mendalam. Majalah Qalam-lah yang mencatat dan merakam pelbagai peristiwa yang menjadi peristiwa besar yang bersejarah yang telah mengukir ma‘na diri kebangsaan dan kedaulatan negara Malaysia.Majalah Qalam merupakan majalah yang mempertahankan tulisan asli bahasa Melayu, tulisan Jawi, sungguhpun pada zaman itu, para pengarang dan penerbit berlumba-lumba mengejar tulisan Rumi.[1]

Sosok penting di sebalik Majalah Qalam ialah Syed Abdullah bin Abdul Hamid Al-Edrus. Nama-nama besar seperti HAMKA, Burhanuddin AlHelmi, Pendeta Za’ba, Mohammad Natsir, Abdullah Basmeh dan lain-lain pernah menulis untuk majalah ini. Ini membuktikan majalah ini bukan majalah picisan sebaliknya satu sumber penting dalam kajian pensejarahan bangsa Melayu.

Kemasukan tulisan Rumi atau tulisan Roman ke Tanah Melayu telah bermula seawal 1900 walaupun penggunaannya masih belum cukup meluas. ‘Pemaksaan’ unsur-unsur tulisan Rumi ke dalam bidang penulisan dan pendidikan Tanah Melayu sedikit sebanyak telah ‘mengganggu’ makna beberapa perkataan sekaligus perlahan-lahan menjauhkan bangsa Melayu daripada karya ulama’ terdahulu.


Menurut pandangan penulis, memang benar bahawa bahasa Melayu banyak meminjam beberapa perkataan daripada Arab, Sanskrit, Parsi dan lain-lain. Akan tetapi, tahukah anda bahawa, Stamford Raffles mengiktiraf bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang indah? Selain daripada pengaruh bahasa Sanskrit, Parsi, Tamil dan lain-lain, pada zaman dahulu pembelajaran bahasa Melayu datang bersama pembelajaran AlQuran. Ini adalah satu bukti bagaimana impak agama Islam dalam mencorak hala tuju bangsa Melayu.
Perkataan ‘bandar’, sebagai contoh, berasal daripada perkataan Parsi. Dalam bahasa Parsi, ‘bandar’ merujuk pelabuhan. Ingatkah anda tentang sejarah Kota Melaka? Melaka pada masa itu disebut Bandar Melaka kerana kedudukannya yang berada berhampiran dengan pelabuhan. Hari ini, penggunaan ‘bandar’ merujuk kepada seluruh tempat-tempat yang membangun dan maju. Disinilah pentingnya peranan pengkajian bahasa.

Para peserta turut didedahkan dengan sebuah manuskrip puisi yang dipercayai hasil tulisan Hamzah Fansuri di dalam bahasa Melayu Jawi klasik. Membacanya agak sukar kerana tulisan Jawi klasik tidak mempunyai ejaan perkataan yang konsisten, bergantung kepada yang menulis. Walau bagaimanapun, dengan kesukaran tersebut, ditambah lagi susunan yang tidak teratur, penulis berasa jatuh cinta dengan manuskrip Melayu kerana keindahan bahasa dan kedalaman mesej yang disampaikan. Apa yang terlintas di fikiran “Alangkah bijak dan beradabnya sang penulis puisi ini!”.

Masyarakat Melayu sering dimomokkan dengan doktrin ‘peribumi pemalas’. Dan pelbagai lemparan negatif yang menghantui dari generasi ke generasi. Apa mungkin ianya kerana ketidakpatuhan bangsa Melayu kepada penjajah Inggeris, lalu terus digelar pemalas? Dato’ Dr Siddiq Fadzil di dalam bukunya “Islam Dan Melayu”, menyelar penjajah-penjajah ini, dengan mengatakan bahawa tulisan mereka itu bukanlah pandangan menyeluruh dan lebih bersifat pandangan peribadi yang dipengaruhi kepentingan tertentu. Ianya bukanlah sebuah kajian tersusun sebaliknya tidak lebih daripada sebuah catatan yang ‘tempang’.

Tambahan pula, kebanyakan daripada kita menganggap kehidupan nenek moyang kita terdahulu adalah kehidupan yang tiada kemajuan dan tiada pembangunan fikiran sebagaimana kita pada hari ini yang ‘moden’. Suatu fakta yang sebenarnya terhijab daripada bangsa Melayu sendiri adalah, ketika Emmanuel Kant dan bangsa-bangsa yang sebangsa dengannya menghadapi krisis moral dan kepercayaan yang parah para ulama’ Nusantara telah pun membahaskan masalah-masalah ini di dalam kitab-kitab mereka, lalu diserap dalam budaya orang Melayu sendiri.

Saudara Syukri Rosli di dalam bengkel tersebut turut mendedahkan bahawa, ayat-ayat bahasa asing  dan juga perkataan saintifik ditulis menggunakan tulisan Jawi klasik. Dapatkan anda membayangkan ayat, “I am from Malaysia” ditulis dalam tulisan jawi? Penulisan seperti ini tidak asing terutama di dalam Majalah Qalam. Di dalam manuskrip-manuskrip lama yang lain juga mempunyai beberapa perkataan bahasa Melayu yang merujuk kepada istilah saintifik bahasa Inggeris. Apakah penulis tersebut seorang ahli sains atau penulis puisi?



Apa yang pasti penulis merasakan pengkajian manuskrip Melayu adalah satu ‘dunia’ yang berbeza daripada persepsi kita pada hari ini. Ianya mencabar dan menyeronokkan. Pada hari penulis memulakan penulisan ini, penulis sempat bertanyakan pada Tok Wan tentang pembelajaran bahasa Inggeris pada zaman beliau. Ternyata memang benar, pembelajaran bahasa Inggeris dilaksanakan melalui medium tulisan Jawi.
Apakah kita pada hari ini masih boleh mendakwa nenek moyang kita kolot dan tidak membangun? Silap. Mereka jauh lebih pintar dan mengetahui adab daripada kita. Buktinya, nah, adakah anda mampu menulis puisi atau syair yang lebih hebat daripada karya Melayu klasik?
Fikirkan.

Hasil nukilan,
AFIQAH BINTI ABDUL RAZAK
Exco MASSA PKPIM UIAM Gombak


* gambar sumber Akademi Jawi Malaysia



[1] http://majalah.akademijawi.my/index.php/pengajian-ilmiah/11-pengenalan-ringkas-dari-warisan-ke-wawasan-seminar-dan-pelancaran-penerbitan-digital-majalah-qalam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...