Baru-baru ini IYC, atau lebih di kenali Intellectual Youth
Club (IIUM) telah berjaya menganjurkan sebuah Bengkel Transliterasi Jawi
bersama Klasika Media. Bengkel yang berlangsung selama dua hari iaitu 27 dan 28
November 2013 dikendalikan sendiri oleh pihak Klasika Media, yang juga dikenali
sebagai Akademi Jawi Malaysia.
Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia merupakan sebuah
syarikat yang menawarkan khidmat perniagaan berupa penyelidikan dan penerbitan
khazanah warisan khususnya dalam bidang Jawi. Fokus perniagaan terbahagi kepada
tiga iaitu pendigitalan bahan, transliterasi Jawi ke Rumi atau Rumi ke Jawi,
dan menganjurkan pengajian ‘ilmiyyah dalam Sejarah dan kebudayaan melayu secara
berkala.
Pengisian program disampaikan oleh Saudara Muhammad Syukri
Rosli yang juga merupakan pengasas-pengarah akademi tersebut. Beliau juga
dikenali dengan nama pena Muhammad Teja. Meskipun berkelulusan ijazah sarjana
muda dalam bidang Geologi dari Australia, beliau telah beralih arah ke bidang
perniagaan dan penyelidikan dengan menubuhkan Akademi Jawi Malaysia atas
kesedaran akan kepentingan menggali sejarah bangsa Melayu.
Pada hari pertama bengkel tersebut, para peserta telah
diperbetulkan persepsi terhadap tulisan jawi. Jawi yang kita kenali sekarang
ini adalah Jawi moden. Manakala, Jawi yang dibincangkan dalam konteks bengkel
ini lebih menumpukan kepada jawi klasik. Para peserta juga diuji membaca Jawi klasik.
Manakala hari kedua para peserta didedahkan kepada bahan-bahan Jawi yang
merupakan sumber asal seperti Bustan AlSalatin
dan majalah Qalam yang telah dirumikan. Pihak penganjur juga berkongsi beberapa
bahan dan kamus yang dirujuk dalam menterjemah manuskrip Melayu.
Ulasan
Pada zaman ini tulisan jawi dianggap oleh masyarakat Melayu
sebagai tulisan yang sudah ketinggalan
zaman. Penggunaan Jawi hanya dihadkan dalam bidang agama dan kebudayaan Melayu
khususnya kitab-kitab kuning yang banyak dipelajari di pondok-pondok agama. Akan
tetapi, umum mengetahui bahawa tulisan jawi adalah tulisan yang utama dalam bidang
penulisan dan pendidikan pada zaman kegemilangan Melayu Islam.
Apa yang menarik, misalnya Majalah Qalam yang diterbitkan
ketika fajar kemerdekaan iaitu antara 1951 hingga 1969 banyak mencatatkan
sejarah besar negara kita.
Majalah inilah yang telah sekian
lama memaparkan kefahaman falsafah kebangsaan dan kenegaraan di atas tonggak
perlembagaan Malaysia dengan begitu mendalam. Majalah Qalam-lah yang mencatat
dan merakam pelbagai peristiwa yang menjadi peristiwa besar yang bersejarah
yang telah mengukir ma‘na diri kebangsaan dan kedaulatan negara
Malaysia.Majalah Qalam merupakan majalah yang mempertahankan tulisan asli
bahasa Melayu, tulisan Jawi, sungguhpun pada zaman itu, para pengarang dan
penerbit berlumba-lumba mengejar tulisan Rumi.[1]
Sosok penting di sebalik Majalah Qalam ialah Syed Abdullah
bin Abdul Hamid Al-Edrus. Nama-nama besar seperti HAMKA, Burhanuddin AlHelmi,
Pendeta Za’ba, Mohammad Natsir, Abdullah Basmeh dan lain-lain pernah menulis
untuk majalah ini. Ini membuktikan majalah ini bukan majalah picisan sebaliknya
satu sumber penting dalam kajian pensejarahan bangsa Melayu.
Kemasukan tulisan Rumi atau tulisan Roman ke Tanah Melayu
telah bermula seawal 1900 walaupun penggunaannya masih belum cukup meluas. ‘Pemaksaan’
unsur-unsur tulisan Rumi ke dalam bidang penulisan dan pendidikan Tanah Melayu
sedikit sebanyak telah ‘mengganggu’ makna beberapa perkataan sekaligus
perlahan-lahan menjauhkan bangsa Melayu daripada karya ulama’ terdahulu.
Menurut pandangan penulis, memang benar bahawa bahasa Melayu
banyak meminjam beberapa perkataan daripada Arab, Sanskrit, Parsi dan
lain-lain. Akan tetapi, tahukah anda bahawa, Stamford Raffles mengiktiraf
bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang indah? Selain daripada pengaruh bahasa
Sanskrit, Parsi, Tamil dan lain-lain, pada zaman dahulu pembelajaran bahasa
Melayu datang bersama pembelajaran AlQuran. Ini adalah satu bukti bagaimana
impak agama Islam dalam mencorak hala tuju bangsa Melayu.
Perkataan ‘bandar’, sebagai contoh, berasal daripada
perkataan Parsi. Dalam bahasa Parsi, ‘bandar’ merujuk pelabuhan. Ingatkah anda
tentang sejarah Kota Melaka? Melaka pada masa itu disebut Bandar Melaka kerana
kedudukannya yang berada berhampiran dengan pelabuhan. Hari ini, penggunaan ‘bandar’
merujuk kepada seluruh tempat-tempat yang membangun dan maju. Disinilah
pentingnya peranan pengkajian bahasa.
Para peserta turut didedahkan dengan sebuah manuskrip puisi
yang dipercayai hasil tulisan Hamzah Fansuri di dalam bahasa Melayu Jawi klasik.
Membacanya agak sukar kerana tulisan Jawi klasik tidak mempunyai ejaan
perkataan yang konsisten, bergantung kepada yang menulis. Walau bagaimanapun,
dengan kesukaran tersebut, ditambah lagi susunan yang tidak teratur, penulis
berasa jatuh cinta dengan manuskrip Melayu kerana keindahan bahasa dan
kedalaman mesej yang disampaikan. Apa yang terlintas di fikiran “Alangkah bijak
dan beradabnya sang penulis puisi ini!”.
Masyarakat Melayu sering dimomokkan dengan doktrin ‘peribumi
pemalas’. Dan pelbagai lemparan negatif yang menghantui dari generasi ke
generasi. Apa mungkin ianya kerana ketidakpatuhan bangsa Melayu kepada penjajah
Inggeris, lalu terus digelar pemalas? Dato’ Dr Siddiq Fadzil di dalam bukunya “Islam
Dan Melayu”, menyelar penjajah-penjajah ini, dengan mengatakan bahawa tulisan
mereka itu bukanlah pandangan menyeluruh dan lebih bersifat pandangan peribadi
yang dipengaruhi kepentingan tertentu. Ianya bukanlah sebuah kajian tersusun
sebaliknya tidak lebih daripada sebuah catatan yang ‘tempang’.
Tambahan pula, kebanyakan daripada kita menganggap kehidupan
nenek moyang kita terdahulu adalah kehidupan yang tiada kemajuan dan tiada
pembangunan fikiran sebagaimana kita pada hari ini yang ‘moden’. Suatu fakta
yang sebenarnya terhijab daripada bangsa Melayu sendiri adalah, ketika Emmanuel
Kant dan bangsa-bangsa yang sebangsa dengannya menghadapi krisis moral dan
kepercayaan yang parah para ulama’ Nusantara telah pun membahaskan
masalah-masalah ini di dalam kitab-kitab mereka, lalu diserap dalam budaya
orang Melayu sendiri.
Saudara Syukri Rosli di dalam bengkel tersebut turut
mendedahkan bahawa, ayat-ayat bahasa asing
dan juga perkataan saintifik ditulis menggunakan tulisan Jawi klasik.
Dapatkan anda membayangkan ayat, “I am from Malaysia” ditulis dalam tulisan
jawi? Penulisan seperti ini tidak asing terutama di dalam Majalah Qalam. Di
dalam manuskrip-manuskrip lama yang lain juga mempunyai beberapa perkataan
bahasa Melayu yang merujuk kepada istilah saintifik bahasa Inggeris. Apakah
penulis tersebut seorang ahli sains atau penulis puisi?
Apa yang pasti penulis merasakan pengkajian manuskrip Melayu
adalah satu ‘dunia’ yang berbeza daripada persepsi kita pada hari ini. Ianya
mencabar dan menyeronokkan. Pada hari penulis memulakan penulisan ini, penulis
sempat bertanyakan pada Tok Wan tentang pembelajaran bahasa Inggeris pada zaman
beliau. Ternyata memang benar, pembelajaran bahasa Inggeris dilaksanakan
melalui medium tulisan Jawi.
Apakah kita pada hari ini masih boleh mendakwa nenek moyang
kita kolot dan tidak membangun? Silap. Mereka jauh lebih pintar dan mengetahui
adab daripada kita. Buktinya, nah, adakah anda mampu menulis puisi atau syair
yang lebih hebat daripada karya Melayu klasik?
Fikirkan.
Hasil nukilan,
AFIQAH BINTI ABDUL RAZAK
Exco MASSA PKPIM UIAM Gombak
* gambar sumber Akademi Jawi Malaysia
[1] http://majalah.akademijawi.my/index.php/pengajian-ilmiah/11-pengenalan-ringkas-dari-warisan-ke-wawasan-seminar-dan-pelancaran-penerbitan-digital-majalah-qalam
No comments:
Post a Comment