Wednesday, March 6, 2013

Tafsir Pilihan: Kebesaran Tuhan


TAFSIR QURAN: SURAH AL-AN’AM AYAT 17 DAN 18


17. Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) Engkau Dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun Yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika ia mengenakan (melimpahkan) Engkau Dengan kebaikan, maka ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 18. Dan Dia lah Yang berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta amat mendalam pengetahuanNya.

Dalam ayat ini Allah menegaskan tentang kekuasaan-Nya iaitu tiada seorangpun yang dapat melenyapkan suatu kemudaratan yang ditimpakanNya kepada seseorang kecuali Allah sendiri, seperti sakit, kemiskinan, dukacita, kehinaan dan sebagainya yang mengakibatkan penderitaan manusia baik yang zahir ataupun batin. Begitu juga halnya tiada seorangpun yang dapat mencegah suatu kebaikan yang dianugerahkan Allah kepada seseorang seperti kekayaan, kesihatan, kemuliaan, kekuatan dan sebagainya yang menimbulkan kebahagiaan baik zahir ataupun batin melainkan Allah.

Nabi Muhammad saw. membaca doa ini setiap kali selepas solat lima waktu: Ertinya:

Ertinya:

Ya Allah tidak ada yang mencegah terhadap apa yang Kau berikan, tidak ada yang memberi terhadap apa yang Engkau cegah dan tidak memberi manfaat segala kesungguhan orang yang.

Doa ini menunjukkan batapa kita meyakini ketentuan Allah s.w.t. Setiap manusia, baik yang menginginkan kebaikan atau menghindari kemudaratan, haruslah meminta pertolongan daripada Allah swt. semata-mata dengan berusaha menurut ketetapan-Nya yang berlaku dalam alam ini dan dengan menghadapkan doa sepenuhnya kepada-Nya.

Dalam ayat ini juga, Allah menegaskan kesempurnaan kedaulatan-Nya yang mutlak atas hamba-hamba-Nya. Dialah Penguasa yang tertinggi di atas hamba-hamba-Nya dan menyelenggarakan serta mengatur segala masalah dan urusan mereka menurut kehendak-Nya dan tiada seorangpun yang dapat mencampuri urusan-Nya.

Kesempurnaan kekuasaan dan kedaulatan-Nya atas hamba-hamba-Nya itu disertai dengan kesempurnaan hikmah-Nya dalam mengatur keperluan hamba hamba-Nya dan keluasan ilmu-Nya terhadap segala perkara yang kecil dan tersembunyi. Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang bermanfaat dan yang mudharat bagi hamba-hamba-Nya.

Tidak ada satu perkara pun yang tidak diketahui-Nya. Pentadbiran-Nya atas hamba-hamba-Nya ini diarahkan kepada suatu tujuan yakni kesempurnaan kemanusiaan.

Agama Islam ialah agama yang sempurna dan sangat bertepatan dengan fitrah manusia. Islam mengajar penganut-penganutnya untuk mematuhi serta meyakini qada’ dan qadar Allah s.w.t. Apabila seorang Muslim betul-betul meyakini segala perkara ang berlaku ke atas dirinya adalah ketentuan Allah dan ketentuan Allah itu adalah terbaik buatnya, maka sudah pasti dia akan sentiasa berasa tenang pada setiap degupan jantungnya.



Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang bermanfaat dan yang mudharat bagi hamba-hamba-Nya.



Sebagai contoh, apabila seorang anak yang diuji dengan kematian ibu bapanya serentak dalam kemalangan jalan raya, jika dia adalah seorang anak yang meyakini bahawa apa yang berlaku itu adalah datang daripada Allah semata-mata, dan ketentuan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-hambanya, kerana ilmu Allah itu maha luas, maka adakah dia akan berasa marah kerana Allah telah mengambil kedua orang tuanya secara serentak?



Adakah dia akan berasa tertekan setelah kematian mereka dan bersedih untuk sekian lamanya? Sudah pastinya tidak. Bagi seseorang yang beriman dengan ayat yang diturunkan Allah ini, sudah pasti dia meyakini bahawa Allah sedang mengujinya dan menyerahkan segala urusan kepada Yang Maha Berkuasa.



Jika sebuah keluarga pula diuji dengan rumah mereka dipecah masuk oleh sekumpulan perompak pada suatu malam, mereka diikat dan dipukul, barang-barang berharga mereka dirampas, rumah mereka disepahkan, pintu rumah mereka dirosakkan tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain melihat sahaja hak mereka dirampas dengan rakus serta tubuh mereka disakiti dengan teruk, adakah mereka akan berasa hidup mereka sudah berakhir?



Yalah, harta mereka yang diperoleh dengan penat lelah diambil, rumah mereka yang dihias dan dijaga dengan baik disepahkan dan dirosakkan dan tubuh mereka disakiti, jika mereka adalah orang yang biasa, sudah pasti mereka akan berasa putus asa dengan kehidupan. Mungkin juga mereka akan berasa sangat marah dan menyimpan dendam terhadap perompak-perompak itu. Jika hal ini berlaku, sudah pasti juga hidup mereka tidak akan tenang.



Namun ianya tidak akan berlaku kepada mereka yang beriman dengan ayat ini. Apabila mereka meyakini segala yang berlaku itu datang daripada Allah, mereka akan menginsafi diri sendiri serta memohon petunjuk dan keampunan daripada Allah atas apa yang berlaku kerana sudah pasti segala yang berlaku itu ada hikmahnya. Walaupun perkara yang terjadi itu teramat menyakitkan, tetapi mereka tidak akan menyimpan dendam di dalam hati. Hidup mereka juga akan tenang dan aman.

Begitulah lumrah kehidupan. Bukan perkara baik sahaja yang berlaku kepada diri kita, malah perkara buruk juga akan ada. Namun apa yang baik itu datang daripada Allah, begitu juga perkara yang buruk. Allahlah yang menentukan segala perkara di dalam hidup kita. Dialah yang Maha mengetahui hikmah tersembunyi dalam setiap perkara yang ditentukan.




Serahkanlah urusan kita kepadaNYA, semoga Allah memelihara kita daripada segala kejahatan dan kemungkaran

 Oleh itu, kita sebagai hambaNya yang kerdil dan hina di sisiNya hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan tidak cepat melenting apabila terdapat perkara buruk yang berlaku kepada kita. Serahkanlah urusan kita kepadaNYA dan sentiasalah memohon kepadaNYA. Semoga Allah memelihara kita daripada segala kejahatan dan kemungkaran. Amin. 


Hasil penulisan
Hanan Aqilah
Kuliah Ilmu Wahyu, UIAM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...