Wednesday, January 31, 2007

Konsert Rentaq Serantau Wajib Dibatalkan





Saya ingin merujuk kepada iklan penganjuran Konsert Rentaq Serantau yang akan diadakan pada hari sabtu 3 Februari 2007 di Stadium Melawati Shah Alam. Konsert tersebut yang dianjurkan oleh Syarikat Telekomunikasi Digi bakal menampilkan empat penyanyi terkemuka dari Malaysia dan Indonesia iaitu Search, Ella, Radja dan tidak ketinggalan Inul.Bak ungkapan Pepatah Melayu “Alah bisa tegal biasa”, penganjuran konsert seperti di atas sudah biasa diadakan apatah lagi melibatkan artis-artis tempatan mahupun dari Indonesia, namun apabila sesebuah konsert itu menampilkan Inul maka pasti majoriti Masyarakat Malaysia risau dan gusar akan keterlibatan artis tersebut untuk membuat persembahan.


Kehadiran Inul pasti sekali lagi menimbulkan kontroversi, terutamanya apabila beliau menari dengan tarian yang menggairahkan sambil menyajikan goyang gerudinya. Lantas timbul satu persoalan, apakah goyang gerudi inul itu sudah dihalalkan di negara ini untuk dipertontonkan kepada umum? Umum mengetauhi Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh harus dijauhkan daripada sebarang unsur-unsur yang cuba memberikan impak negatif kepada status ke Islaman Malaysia itu sendiri.


Apakah dengan niat untuk berhibur dan memikirkan keuntungan semata-mata, maka kita agak lunak di dalam membiarkan artis yang lebih goyang punggung daripada menyanyi hadir dan melekakan malah pasti menaikkan syahwat penonton-penonton konsert berkenaan yang kebanyakkanya terdiri daripada golongan muda dan pelajar.


Apakah semata-semata untuk menunjukkan kita bersikap toleransi terhadap fenomena budaya global, maka kita sanggup melihat idealisme, spiritualisme serta intellektualisme generasi muda kita dicabut tanpa kita sedari?


Di dalam melihat perkara di atas sudah tentu, beban kesalahan tidak harus diletakan kepada Inul itu sendiri, tetapi kepada pihak berwajib yang menjemput beliau untuk membuat persembahan terbuka kepada khalayak ramai.


Masyarakat Malaysia secara umumnya masih belum boleh menerima Inul untuk membuat persembahan di negara ini, memandangkan gaya persembahan beliau yang dikira lucah malah memalukan untuk ditonton.Apakah pihak penganjur konsert berani untuk memberikan jaminan agar beliau tidak menyajikan goyang gerudinya ketika membuat persembahan?


Dan jikalau ada jaminan pun, konsep persembahan beliau tidak sesuai malah bertentangan dengan syarak, adat dan budaya ketimuran yang masih menjadi pegangan dan jati diri Masyarakat Malaysia.Seharusnya pihak penganjur harus peka terhadap pelbagai usaha yang dijalankan oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan di dalam memastikan golongan muda di Malaysia membangun dengan keberdayaan akal fikiran yang sihat dan menjauhi gejala-gejala yang merosakan terutama yang menghakis akhlak dan sahsiah generasi muda.


Penganjuran konsert sedemikian pasti bertentangan dengan usaha terkini yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk mempertingkatkan kualiti pelajar. Di dalam halaman 67 pelan berkenaan, pemugaran kepada usaha-usaha cintakan ilmu pasti akan tidak kesampaian apabila penganjuran konsert-konsert seperti di atas dibudayakan malah diberikan publisiti meluas kepada masyarakat dan generasi muda yang pasti dahagakan cinta gejala hiburan melampau pula.


Penganjuran sesuatu konsert itu tidak salah asalkan ianya diurus dan diisi dengan program-program yang tidak merosakkan nilai, jatidiri serta akhlak penontonya.Justeru, memikirkan bentuk pengisian konsert Rentaq serantau tersebut serta kesan-kesan negatif yang bakal dirasai oleh generasi muda dan Masyarakat Malaysia, konsert sedemikian wajib dibatalkan.


MUHAMMAD BUKHORI BIN ALIAS

Setiausaha Agung PKPIM

1 comment:

Anonymous said...

batalkan jer...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...