Showing posts with label Siaran Media PKPIM. Show all posts
Showing posts with label Siaran Media PKPIM. Show all posts

Friday, June 27, 2008

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK

SIARAN MEDIA 24 JUN 2008/ 19 JAMADIL AKHIR 1429:

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pengumuman kerajaan untuk memberi ganjaran durian runtuh sebanyak RM 1 Juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 nanti. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut, atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan RM 300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

PKPIM membantah keras cadangan kerajaan untuk mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet yang berjaya nanti. Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.

PKPIM mempersoalkan, apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan? Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nnati?

Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh kerajaan. Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak.

Kerajaan tidak boleh membuat anggapan dengan ganjaran mewah itu atlet Malaysia mampu cemerlang dan konsisten dengan kecemerlangannya. Ganjaran mewah bukan jaminan atlet akan cemerlang. Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara.

Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara. Memberi ‘umpan’ mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat di’belai’ dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?

PKPIM menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran ini. Tidak salah memberi ganjaran, tetapi biar berpatutan. Jika dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat. Malah atlet seharusnya dididik supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah perjuangan mati dan hidup sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata!

MOHD HILMI RAMLI

Friday, June 13, 2008

Jangan aniaya rakyat


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyifatkan kenaikan harga minyak sebagai satu penganiayaan kepada rakyat dan membebankan kehidupan mereka.

"Justeru, PKPIM menyeru kerajaan menimbang dan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak tersebut," kata Setiausaha Agung PKPIM, Abdul Muntaqim Zulkipli.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak petrol sebanyak 78 sen menjadi RM1.92 seliter manakala diesel dinaikkan RM1 menjadi RM2.58 seliter.

"PKPIM berharap harga minyak di negara ini dapat diturunkan ke paras yang munasabah dan sesuai dengan kemampuan rakyat seluruhnya, dan sesuai dengan status negara sebagai negara pengeluar minyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, PKPIM berpendapat adalah amat tidak wajar untuk rakyat membayar harga minyak yang tinggi sedangkan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak yang lain adalah jauh lebih rendah.

"PKPIM juga meminta pihak kerajaan dan badan-badan berkaitan yang lain agar membuat penilaian secara lebih terperinci terhadap langkah-langkah yang telah dicadangkan bagi mengurangkan bebenan kenaikan harga minyak kepada rakyat.

"Adalah mustahil kenaikan harga minyak tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain.

Kongsi hasil minyak

"Oleh sebab itu, di samping langkah-langkah yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan seperti pemberian rebet tunai kepada pengguna kenderaan, PKPIM juga berharap langkah-langkah lain yang releven, seperti menaikkan gaji dan elauan pekerja, memberi pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan menghapuskan tol," katanya.

Menurutnya, suasana panik jelas kelihatan di merata tempat di seluruh negara pada malam harga minyak akan dinaikkan.

"Hal ini jelas membayangkan betapa rakyat begitu terkesan dengan kenaikan tersebut, terutama bagi rakyat berpendapatan rendah dan mempunyai ramai tanggungan," katanya.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, tambahnya, seharusnya rakyat negara ini dapat bersama-sama berkongsi keuntungan dan hasil jualan minyak negara.

Sehubungan itu, Abdul Muntaqim berkata, PKPIM akan mengumpulkan cadangan dan pandangan mahasiswa untuk diajukan kepada kerajaan.

Untuk tujuan itu, katanya, PKPIM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mahasiswa menangani isu harga minyak.

Menurutnya, cadangan-cadangan yang sesuai akan diserahkan kepada kerajaan untuk diambil tindakan selanjutnya.

http://www.malaysiakini.com/news/84361

Wednesday, January 31, 2007

Konsert Rentaq Serantau Wajib Dibatalkan





Saya ingin merujuk kepada iklan penganjuran Konsert Rentaq Serantau yang akan diadakan pada hari sabtu 3 Februari 2007 di Stadium Melawati Shah Alam. Konsert tersebut yang dianjurkan oleh Syarikat Telekomunikasi Digi bakal menampilkan empat penyanyi terkemuka dari Malaysia dan Indonesia iaitu Search, Ella, Radja dan tidak ketinggalan Inul.Bak ungkapan Pepatah Melayu “Alah bisa tegal biasa”, penganjuran konsert seperti di atas sudah biasa diadakan apatah lagi melibatkan artis-artis tempatan mahupun dari Indonesia, namun apabila sesebuah konsert itu menampilkan Inul maka pasti majoriti Masyarakat Malaysia risau dan gusar akan keterlibatan artis tersebut untuk membuat persembahan.


Kehadiran Inul pasti sekali lagi menimbulkan kontroversi, terutamanya apabila beliau menari dengan tarian yang menggairahkan sambil menyajikan goyang gerudinya. Lantas timbul satu persoalan, apakah goyang gerudi inul itu sudah dihalalkan di negara ini untuk dipertontonkan kepada umum? Umum mengetauhi Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh harus dijauhkan daripada sebarang unsur-unsur yang cuba memberikan impak negatif kepada status ke Islaman Malaysia itu sendiri.


Apakah dengan niat untuk berhibur dan memikirkan keuntungan semata-mata, maka kita agak lunak di dalam membiarkan artis yang lebih goyang punggung daripada menyanyi hadir dan melekakan malah pasti menaikkan syahwat penonton-penonton konsert berkenaan yang kebanyakkanya terdiri daripada golongan muda dan pelajar.


Apakah semata-semata untuk menunjukkan kita bersikap toleransi terhadap fenomena budaya global, maka kita sanggup melihat idealisme, spiritualisme serta intellektualisme generasi muda kita dicabut tanpa kita sedari?


Di dalam melihat perkara di atas sudah tentu, beban kesalahan tidak harus diletakan kepada Inul itu sendiri, tetapi kepada pihak berwajib yang menjemput beliau untuk membuat persembahan terbuka kepada khalayak ramai.


Masyarakat Malaysia secara umumnya masih belum boleh menerima Inul untuk membuat persembahan di negara ini, memandangkan gaya persembahan beliau yang dikira lucah malah memalukan untuk ditonton.Apakah pihak penganjur konsert berani untuk memberikan jaminan agar beliau tidak menyajikan goyang gerudinya ketika membuat persembahan?


Dan jikalau ada jaminan pun, konsep persembahan beliau tidak sesuai malah bertentangan dengan syarak, adat dan budaya ketimuran yang masih menjadi pegangan dan jati diri Masyarakat Malaysia.Seharusnya pihak penganjur harus peka terhadap pelbagai usaha yang dijalankan oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan di dalam memastikan golongan muda di Malaysia membangun dengan keberdayaan akal fikiran yang sihat dan menjauhi gejala-gejala yang merosakan terutama yang menghakis akhlak dan sahsiah generasi muda.


Penganjuran konsert sedemikian pasti bertentangan dengan usaha terkini yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk mempertingkatkan kualiti pelajar. Di dalam halaman 67 pelan berkenaan, pemugaran kepada usaha-usaha cintakan ilmu pasti akan tidak kesampaian apabila penganjuran konsert-konsert seperti di atas dibudayakan malah diberikan publisiti meluas kepada masyarakat dan generasi muda yang pasti dahagakan cinta gejala hiburan melampau pula.


Penganjuran sesuatu konsert itu tidak salah asalkan ianya diurus dan diisi dengan program-program yang tidak merosakkan nilai, jatidiri serta akhlak penontonya.Justeru, memikirkan bentuk pengisian konsert Rentaq serantau tersebut serta kesan-kesan negatif yang bakal dirasai oleh generasi muda dan Masyarakat Malaysia, konsert sedemikian wajib dibatalkan.


MUHAMMAD BUKHORI BIN ALIAS

Setiausaha Agung PKPIM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...