Friday, June 27, 2008

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK

SIARAN MEDIA 24 JUN 2008/ 19 JAMADIL AKHIR 1429:

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pengumuman kerajaan untuk memberi ganjaran durian runtuh sebanyak RM 1 Juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 nanti. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut, atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan RM 300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

PKPIM membantah keras cadangan kerajaan untuk mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet yang berjaya nanti. Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.

PKPIM mempersoalkan, apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan? Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nnati?

Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh kerajaan. Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak.

Kerajaan tidak boleh membuat anggapan dengan ganjaran mewah itu atlet Malaysia mampu cemerlang dan konsisten dengan kecemerlangannya. Ganjaran mewah bukan jaminan atlet akan cemerlang. Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara.

Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara. Memberi ‘umpan’ mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat di’belai’ dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?

PKPIM menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran ini. Tidak salah memberi ganjaran, tetapi biar berpatutan. Jika dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat. Malah atlet seharusnya dididik supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah perjuangan mati dan hidup sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata!

MOHD HILMI RAMLI

2 comments:

none said...

salam...saya bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh saudara Hilmi atas keprihatinan dalam mendepani isu-isu semasa yang dewasa ini kian meruncingkan contohnya isu ganjaran 1juta ini..
ganjaran ini sama sekali tidak relevan memandangkan fenomena kenaikan harga minyak dan harga barang yang naik mendadak sehingga membebani masyarakat.Pada pendapat saya,pelbagai kaedah lain boleh dilaksanakan seperti meningkatkan displin atlet itu sendiri sebelum brtanding di peringkat olimpik dan seterusnya dengan adanya kesedaran tersebut maka mutu pencapaian atlet tersebut akan meningkat berbanding dengan ganjaran sebegini kerana dikhuatiri kesungguhan atlet sukan olimpik hanya bergantung kepada ganjaran yang diberi.Justeru,saya berharap agar pihak berkuasa meneliti semula cadangan memberi ganjaran satu juta ini kepada atlet sukan olimpik dan semoga keputusan yang dibuat mengambilkira suara rakyat dan bersikap berlapang dada berhubung isu ini.Syukran.

Anonymous said...

Assalamualaikum, saya sama sekali bersetuju.. Jangan biarkan hidup dengan materialistik..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...