Friday, June 13, 2008

Ada Apa Dengan 27 Jun 1961?

27 Jun 1961.Lambang PKPIM Tarikh keramat apabila Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di daftarkan secara rasmi dengan Pendaftaran Pertubuhan (Pendaftaran 1569 Selangor). Berikutan itu , PKPIM yang mula ditubuhkan pada 31 Mac 1961 di Asrama Kedua Universiti Malaya telah diberi mandat dan kepercayaan untuk menjadi suara perjuangan pelajar-pelajar Islam di peringkat nasional dengan lebih terbuka.

Pernahkah terlintas di benak anda, apakah sebenarnya perjuangan yang di usahakan oleh PKPIM?

Ermm...dalam coretan yang ringkas ini kami (PKPIM) akan cuba menyuntik anda dengan ‘dos idealisme, aktivisme dan intelektualisme’ yang diperbuat daripada adunan prinsip Amar Makruf dan Nahi Munkar. Kesannya, anda akan lebih termotivasi untuk mencapai visi terulung PKPIM –redha Ilahi.

Idealisme merupakan pegangan dan prinsip asas yang harus digenggam erat dalam melayari kehidupan sebagai khalifah Allah di planet bumi ini. Ada dua prinsip paling fundamental dalam pembentukan idealisme PKPIM ini. Pertamanya, menyeru kearah kebaikan dan keduanya, melarang kearah kemungkaran. 2 prinsip asas ini berkesinambungan antara satu sama lain. Jika kita hanya mengajak kearah kebaikan, tetapi mengabaikan pencegahan kemungkaran , maka idelalisme kita belum cukup utuh dan terarah. Sebagai gerakan pelajar Islam yang menjunjung idealisme murni ini, maka perjuangan kita bukanlah suatu yang sia-sia. Kitalah yang bertanggungjawab dalam membina masyarakat berwawasan yang ‘bertiang serikan’ ila mardhotillah.

Tidak cukup bagi seseorang pendokong gerakan Islam ini jika hanya mempunyai idealisme semata-mata, tetapi tiada usaha untuk merealisasikannya. Melangit tinggi sekalipun idelisme kita, ianya akan menjadi angan-angan kosong di siang hari. Angan-angan yang hidup di alam maya. Justeru itu, idealisme kita harus disertakan dengan aktivisme.

Aktivisme merujuk kepada usaha-usaha yang praktikal demi menzahirkan idealisme kita sebagai gerakan Islam yang berjuang untuk keadilan, berbakti pada agama, membela maruah bangsa dan mengangkat martabat ummah. Ianya menuntut seluruh ahli gerakan memaksimumkan penggunaan seluruh pancaindera dan akal untuk merealisasikan idealisme supaya menjadi satu sistem atau aturan hidup yang mempunyai misi dan visi.

Sekarang, bayangkan anda telahpun menghadam idealisme perjuangan dan sedang merealisasikannya di dalam kehidupan sebagai Khalifah Allah. Namun, ianya masih belum lengkap. Kita semua perlu mempunyai pemikiran yang kritis dan menghayati budaya ilmu dalam ‘mengembang biakkan’ idealisme dan aktivisme kita supaya mengikut peredaran masa dan zaman. Dengan adanya nilai intelektualisme dalam gerakan Islam ini, sudah pasti kita tidak akan dikategorikan sebagai umat yang mundur sebagaimana yang dicanangkan oleh pihak barat. Malah dengan adanya nilai intelektualisme ini, maka kita akan lebih berusaha mencari jalan yang terbaik dalam melakukan pembaikan diri dan ummah keseluruhannya dari semua aspek, sama ada sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain.

Bermulanya sebuah perjuangan.

Alhamdulliah, sekarang kita sudah berpegang dengan nilai ‘segitiga perjuangan’-idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Kombinasi 3 nilai penting inilah yang menjadi nadi perjuangan PKPIM sebagai gerakan pelajar Islam. Selagi nadi ini berdenyut, selagi itulah PKPIM akan terus berjuang untuk mencapai cita-cita murni iaitu melahirkan golongan pelajar Islam yang menghayati dan membudayakan ajaran Islam secara syumul. Perjuangan ini tidak akan berhenti selagi mana kita belum berjaya melahirkan sebuah tamadun khayra ummah.

Anda yang menerima dan membaca nukilan ini, seharusnya tidak akan mensia-siakan peluang yang tercipta untuk berbakti pada agama Islam selari dengan motto pejuangan PKPIM-Hidup Biar Barjasa. Dengan penggabungan diri kita dalam gerakan Islam ini, perlaksanaan tugas utama kita sebagai khalifah Allah akan lebih tersusun.

Marilah, kita sama-sama berdoa agar hati-hati ini terikat dengan ukuwwah Islamiyyah dalam perjuangan panjang memartabatkan kembali Islam di mata dunia. Sesungguhnya, kita semua merupakan agen perubahan dan juru dakwah dinamik yang mengejar rahmat dan redha Alah S.W.T. InsyaAllah.

IDEALISME-AKTIVISME-INTELEKTUALISME

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...