Berita pemecatan Y.Bhg Tan Sri Dato’ Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM bukanlah suatu yang sangat mengejutkan lebih-lebih lagi dalam suasana ketidaktentuan politik dan ekonomi semasa negara.
Tsunami politik yang melanda pada PRU 12 yang lalu jelas mempunyai kelas impaknya yang tersendiri. Bukan sahaja parti politk malah kepimpinan institusi pengajian tinggi, IPT khususnya UIAM turut menerima kesannya.
Secara undang-undang, sememangnya DYMM Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan mempunyai hak untuk menamatkan kontrak tersebut walaupun ia masih berbaki kurang dua tahun. Namun, perlu untuk dinyatakan, peranan ‘host member’ penting dalam memberi pandangan dan syor kepada Ketua Perlembagaan. Persoalannya, siapakah penasihat tersebut dan apakah yang dinasihatkannya?
Pun begitu, keputusan telah dibuat. Sebagai mahasiswa yang dididik dengan semangat ilmu dan budi, harmonian akal dan emosi, tidaklah menolak secara mentah-mentah keputusan tersebut, tetapi merasakan terdapat sesuatu yang masih belum selesai malah sangat perlu untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya.
Justeru, demi ketulusan penghukuman tersebut, dua persoalan harus diberikan penelitian serius. Pertama, apakah kesalahan beliau yang membawa kepada penghukuman sedemikian rupa? Sebesar manakah dosa tersebut sehingga tidak ada pertimbangan lain yang boleh menghalang keputusan tersebut?
Kedua, adakah beliau diberikan ruang dan peluang secara rasmi dan berprotokol untuk memberi hujah pembelaan, memperjelas segala yang samar, merungkai segala yang tersimpul? Sekiranya tidak, perkara ini ibarat mengangkat media sebagai mahkamah dan wartawan sebagai peguamnya. Adakah wajar perkara ini berlaku setelah pengstrukturan sistem kehakiman negara dilaksanakan demi menjamin keadilan kepada semua?
Adalah menjadi kebimbangan pastinya kepada seluruh warga UIAM, khususnya mahasiswa dan mahasiswi sekiranya persoalan ini dikesampingkan sebelum keputusan dibuat. Selian itu, turut dibimbangkan sekiranya isu keluar parti menjadi sebab utama pemecatan beliau.
Jika benar, maka jelaslah kepincangan Kementerian Pengajian Tinggi, KPT dan kerajaan khususnya dalam meihat perbezaan di antara kepentingan politik berparti dengan harapan dan masa depan pendidikan tinggi negara. Tambahan lagi, perkara ini akan secara tidak langsung membenarkan persepsi umum yang berperanggapan bahawa universiti tidak dipimpin ahli akademik yang benar tetapi pemimin yang jelas tunduk kepada kehendak politik berparti yang tidak menguntungkan secara total pemerkasaan budaya ilmu di universiti.
Sebagai mahasiswa yang sedar dengan tanggungjawab ilmu dan peranannya sebagai asas keadilan, maka gesaan berikut diutarakan. Pertama, memohon pihak berwajib khususnya pihak kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi, KPT dan pihak UIAM untuk secara rasminya menyatakan dengan jelas sebab-sebab pemecatan Tan Sri Sanusi dari jawatanya menerusi sidang media terbuka. hal ini dapat menjernihkan segala kekeruhan yang berlaku sehingga kini.
Kedua, mewujudkan panel khas bagi menilai proses dan kewajaran pemecatan tersebut dan kesannya terhadap perlaksanaan dasar pemilihan kepmpinan utama universiti-universi ti di Malaysia. Perkara ini penting agar proses pemilihan tersebut dilaksanakan secara telus tanpa melibatkan partisipasi aktif pihak ketiga.
Ketiga, mempertimbang suara umum di kalangan warga akademik dan pentadbiran UIAM termasuk warga pelajarnya dalam membuat keputusan tersebut. Hal ini selaras dengan dasar demokrasi yang subur di negara ini.
Gesaan ini tidak sedikit pun bertujuan untuk menderhakai keputusan DYMM Sultan Pahang, dan kredibiliti Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara, selaku Presiden UIAM yang baru, tetapi lebih kepada menuntut penjelasan dan kepastian berhubung perkara ini. Sekiranya terdapat kesilapan, dapatlah kiranya keputusan ini dikaji semula agar kebenaran merahmati kita semua.
Akhirnya, konsep Taman Ilmu dan Budi yang menjadi asas budaya UIAM diharap dapat terus melahirkan graduan yang mampu menjadi penyuluh kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, kepimpinan yang unggul dan berobjektif sangat penting dalam merialisasikan impian tersebut.
ABU QASSIM NOR AZMI
Mahasiswa UIAM
No comments:
Post a Comment