Wednesday, October 22, 2008

Hormat-menghormati Kunci keharmonian Manusia Sejagat


Kami pihak PKPIM UIAM amat kecewa dengan tindakan majalah bulanan Titanic yang ingin mengadakan pertandingan kontroversi mencari wajah serupa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pertandingan menunjukkan peserta membaca Al-Qur’an dan meniru cara Nabi Muhammad berjalan, bercakap dan bergerak.

Walaupun begitu, kami juga bersyukur kepada Allah Taala, kerana dengan kekuasaannya, pertandingan yang tidak menghormati sesitiviti umat Islam itu dibatalkan. Pembatalan dibuat oleh pihak berkuasa Jerman apabila mereka sedar pertandingan ini akan mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Seharusnya pihak Barat perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku pada tahun 2005 apabila akhbar Denmark, Jyllands-Posten atas nama kebebasan bersuara sewenang-wenangnya menyiarkan 12 karikatur yang mempersendakan Rasulluah.

Peristiwa yang mengundang kemarahan dan protes daripada umat Islam di setiap pelusuk dunia harus difahami oleh pihak Barat bahawa hormat-menghormati antara satu sama lain yang berbeza agama dan budaya adalah kunci keamanan manusia sejagat.

Apa makna kebebasan bersuara jikalau ia hanya menjadikan seluruh manusia berpecah-belah, hatta berbunuh-bunuhan.Kebebasan bersuara perlu mengambil kira kepelbagaian manusia serata dunia. Setiap masyarakat manusia tidak kira di utara, selatan. timur dan barat mempunyai mempunyai budaya yang berbeza. Budaya sesebuah masyrakat itu pula tidak sama kerana dicorakkan oleh beberapa elemen.

Terdapat empat elemen yang membentuk budaya masyarakat. Pertama, elemen sejarah. Setiap masyarakat manusia mempunyai sejarah yang tersendiri dan unik. Sejarah ini kemudiannya diperturunkan dari satu generasi kepada generasi yang terkemudian. Sejarah umat Islam tidak sama dengan sejarah yang berlaku di Barat. Oleh itu, sudah pasti budaya hidup kita berbeza. Sejarah mengajar manusia hari ini bagaimana ingin menjalani kehidupan. Kesilapan yang berlaku pada masa lampau, seharusnya tidak diulangi oleh generasi masa kini.

Elemen kedua yang tidak kurang pentingnya ialah agama. Sesebuah masyarakat mempunyai kepercayaan agama yang menjadi anutan setiap individu dalam masyarakat tersebut. Sebagai contoh, masyarakat Melayu amat sinonim dengan Islam dan Barat dengan Kristian. Masing-masing mempunyai kepercayaan agama yang berbeza. Banyak juga krisis yang berlaku di dunia dewasa ini adalah didorong oleh faktor tidak hormat dengan sensitiviti setiap agama masing-masing. Namun begitu, setiap ajaran agama mengajak penganutnya untuk berbuat kebaikan pada setiap manusia. Apatah lagi Islam sebagai agama Allah yang suci. Jika setiap orang menolak kehidupan sekular dan berpegang teguh dengan ajaran agama masing-masing sudah pasti konflik sesama manusia dapat dikurangkan.

Nilai-nilai murni juga menjadi elemen dalam pembentukkan sesebuah masyarakat. Nilai amat berkait-rapat dengan budaya. Nilai-nilai murni adalah kayu ukur yang menjadi petunjuk bagaimana sesebuah masyarakat harus menjalani kehidupannya. Nilai itu sudah pasti berbeza antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain. Begitupun, nilai yang dikongsi oleh setiap manusia untuk hidup harmoni adalah menghormati perbezaan yamg wujud antara satu-sama lain.

Elemen keempat ialah institusi sosial. Institusi sosial ini termasuklah keluarga, kerajaan, institusi pendidikan dan lain-lain yang membantu mencorakkan budaya seseorang individu dan seterusnya masyarakat. Institusi-institusi sosial memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan nilai-nilai murni yang akan membentuk seseorang individu yang tahu menghormati dan menerima keunikan setiap inividu dan masyarakat.

Elemen yang terakhir yang mempengaruhi kepelbagaian budaya sesebuah masyarakat serata dunia ialah bahasa. Kepentingan bahasa adalah penting sebagai medium untuk manusia berkongsi idea, pendapat dan perasaan. Bahasa termasuklah bahasa secara lisan dan bukan lisan seperti gerak badan dan tulisan. Bahasa juga boleh menjadi penyatu umat manusia ataupun sebaliknya. Lihat sahaja konflik yang berlaku antara Islam dan Barat. Pihak Barat yang memperkotak-katikkan Rasulullah dalam 12 karikatur dalam sebuah akhbar di Denmark membawa mesej mereka tidak menghormati umat Islam yang mewakili 1/3 penduduk di dunia ini.

Kami tidak pula meyalahkan pihak Barat secara total. Untuk berlaku adil dan objektif, umat Islam sendiri sering bertelagah antara satu sama lain hatta atas perkara-perkara kecil. Disebabkan kelalaian umat Islam sendiri, para musuh Islam serata dunia mencari peluang untuk menjatuhkan kita. Ya, amat susah untuk kita melahirkan rasa kebersamaan jika kita meletakkan kepentingan personal melebihi kepentingan umat Islam sendiri. Umat Islam tidak akan kuat dan maju jika tidak bersatu atas nama Islam. Biarlah kita berbeza wasilah dalam membawa nama Islam namun janganlah pula kita mengatakan kitalah yang terbaik dan betul semata-mata. Perbezaan manusia adalah rahmat Allah bagi mereka yang berfikir. Akhirnya, hormat-menghormati adalah kunci keharmonian manusia sejagat. Fikir-fikirkanlah.

Allahuakbar 3x
Allahumma solli ‘ala Muhammad.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...