Friday, January 23, 2009

Berakhirnya bahang PRK



Usai sudah Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.Tidak seperti universiti lain umumnya, calon-calon yang bertanding atas proksi kuliyyah (fakulti) menjadi sandaran untuk memenangi kerusi pilihanraya berbanding universiti lain yang mempertaruhkan kerusi di bawah nama persatuan. Sebagaimana Universiti Malaya (UM), kemenangan Persatuan Mahasiswa Islam atau pro-Mahasiswa yang memenangi pilihanraya kali ini setelah 5 tahun kerusi dipegang oleh Aspirasi memberi satu nafas baru dan gelombang perubahan bagi mereka.

Ironinya, media secara skeptikalnya akan menggunakan label aspirasi dan pro-mahasiswa sebagai kayu ukur keputusan tersebut. Dan keadaan ini agak berbeza di UIA kerana calon yang bertanding di bawah kapasiti kuliyyah sukar ditentukan dari sisi mana mereka. Acapkali penampilan dan wajah yang menjadi penentu bahawa calon itu berdiri di bawah nama aspirasi mahupun pro-Mahasiswa.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya persaingan perebutan kerusi bagi pilihanraya kali ini dirasakan sedikit hambar. Mungkin penumpuan diberi kepada permasalahan dan penderitaan yang dirasai oleh saudara seaqidah kita, Palestin. Hakikatnya, inilah percaturan Allah. Penderitaan yang dirasai oleh Palestin lebih wajar kita kongsikan berbanding terlalu menumpukan kepada kemenangan pilihanraya. Hal ini kerana, politik kampus tidak jauh bezanya dengan politik luar.

Permainan-permainan kotor yang dirasakan berstrategi menjadi pilihan. Perang-perang saraf, penyebaran propaganda, risalah-risalah fitnah menjadi sebahagian daripada perkara yang dihalalkan sementelah pula label aspirasi dan pro-mahasiswa seakan-akan gambaran parti politik luar. Justeru, tidak hairanlah sekiranya strategi kempen, menjatuhkan pihak lawan, melaga-lagakan adalah cara pilihan kerana universiti sendiri sudah tercemar dengan politik kepartian. Universiti yang seharusnya menjadi medan mahasiswa mengatur langkah melalui idealisme mereka terencat disebabkan kerana sikap-sikap manusia yang gagal berakhlak dengan akhlak nabi.


Sabda nabi: “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan
akhlak yang mulia
riwayat imam bukhari, ahmad, hakim

Permasalahan ideologi dan matlamat tidak boleh dijadikan cara untuk kita beremosi atau menggunakan taktik kotor. Adalah lebih baik strategi kempen seperti ‘menjual muka’ dilakukan sebelum pilihanraya. Keadaan ini penting dalam usaha dakwah dan menyebarkan risalah kenabian tanpa mengira golongan sasaran yang berbeza fiqrah mahupun latar belakang. Sentiasa memberi salam, bermanis muka, mengajak ke arah kebaikan, dan berakhlak dengan akhlak nabi, inilah faktor dan bukti jelas yang ditunjukkan baginda dalam berdakwah. Hak muslim kepada muslim lain adalah menerima salam.

Oleh itu, kenapa mahasiswa cenderung menghukum seseorang berdasarkan penampilan, idealogi, matlamat bahkan cara sekalipun? Sejarah sendiri membuktikan bagaimana orang bukan Islam tertarik dengan Islam kerana akhlak yang ditonjolkan nabi. Tetapi kita pula merasakan jalan yang kita pilih adalah paling baik sehingga saudara yang sama fiqrah juga dijatuhkan. Sekiranya nabi sendiri boleh berurusan dengan orang bukan Islam, kenapa kita sendiri meletakkan sempadan antara keduanya?
Sememangnya asbab yang paling jelas adalah kita dipengaruhi dengan persekitaran universiti. Pengaruh yang tidak sihat ini bakal mencorak satu generasi mahasiswa yang berbeza fahaman dan akhirnya membawa kepada kekeliruan kepada masyarakat. Sedangkan peranan mahasiswa generasi kini sama besarnya dengan pemimpin negara, menyumbang kepada pembangunan ummah dan masyarakat serta menjadi sebaik-baik manusia, iaitu yang bermanfaat kepada orang lain. Wallahu a’lam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...