Wednesday, September 2, 2009

Muslim Merdeka di Era Moden

Muslim Merdeka di Era Moden Umum mengetahui kita sudah mencapai 52 tahun kemerdekaan. Acap kali itu juga kita melaung-laungkan kalimah keramat,
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Mungkin bagi mereka yang hidup pada zaman penjajahan, perkataan merdeka mempunyai ‘roh’nya yang tersendiri. Mereka begitu menghargai nikmat kebebasan yang diberikan. Mereka ibarat mati lalu hidup semula. Hidup bebas dari segala cengkaman kesengsaraan dibawah kuasa penjajahan asing kaum Portugis, Belanda, Jepun dan British.Namun, anak-anak muda pasca-merdeka melaungkan kalimat ‘Merdeka’ hanya sekadar suka-suka. Mati tanpa langsung dimengerti akan falsafahnya.

Malah dewasa ini, sambutan kemerdekaan Negara Malaysia dihidupkan dengan hiruk-pikuk konsert, pesta dan program-program yang ‘entah apa-apa’.Sesuai dengan umur kemerdekaan Malaysia yang sudah melebihi separuh abad, adalah menjadi harapan untuk Malaysia bertindak matang dalam mencorakkan tamadunnya yang tersendiri sepertimana yang tercatat dalam misi Wawasan 2020 untuk melahirkan negara maju mengikut acuannya sendiri. Dalam teks ucapan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun) ketika beliau menerajui pimpinan kerajaan sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 28 Februari 1991, beliau berucap,“ menjelang tahun 2020, Malaysia dapat menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur,dan mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.”

Walaupun begitu, semakin dewasa dan semakin maju Malaysia, pelbagai virus penyakit sosial telah merebak keseluruh jasad dan anggota semua genap lapisan masyarakat Malaysia. Daripada rakyat jelata hinggalah kepimpinan negara, daripada golongan yang tidak bersekolah hinggalah yang berpelajaran tinggi melangit, daripada yang muda remaja hinggalah yang sudah tua bangka, semuanya tidak terkecuali. Politik wang @rasuah, kecelaruan identiti, pergaulan bebas, penzinaan, pelacuran, pembuangan bayi,dadah, arak, pembunuhan, pencabulan hak asasi manusia dan segala macam jenayah begitu membimbangkan sekali. Adakah ini harga yang terpaksa di bayar demi sebuah kemajuan?Apa erti merdeka dan maju pada kalian semua? Biasa kita dengar dan mungkin juga kita terbaca, merdeka bermaksud bebas dari penjajahan British sepertimana yang Malaysia hadapi 51 tahun dahulu. Ada juga yang berpendapat, merdeka itu bebas dari segala-gala bentuk penjajahan mental dan fizikal hatta spiritual tinggalan pihak penjajah asing.

Manakala, ramai yang berpendapat, majunya sesebuah bangsa dan negara adalah dengan terbangunnya teknologi dan industri.Medekahkah Malaysia? Majukah Malaysia? Susah untuk menjawab soalan ini kerana ia sungguh subjektif dan relatif bagi setiap orang. Walau apapun, semuanya bertitik tolak dari dalam diri seseorang individu itu sendiri khususnya orang-orang Islam. Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’ad; ayat 11,“sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Penulis ingin menekankan bahawasanya merdeka dan majunya orang Islam adalah bergantung dan saling berkait rapat dengan ajaran Islam.Walau macam mana moden dunia yang kita lalui, prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam harus menjadi garis panduan buat semua kaum Muslimin dan Muslimat yang merdeka. Ini bermakna, orang Islam yang bebas jiwa dan raga dari menjadi hamba manusia dan duniawi. Dengan kata lain, Muslim yang merdeka ialah mereka yang menyerahkan segala-galanya dan mengabdikan diri hanya kepada-Nya. Muslim yang merdeka ialah mereka yang membebaskan diri dari semua unsur-unsur yang mengotori kesucian fitrah semulajadi manusia yang bertaqwa.Ayuh saudara-saudaraku!Marilah kita sama-sama menjadi hamba Allah yang merdeka dan mengamalkan segala syariatnya. Hanya itu penawar kepada segala penyakit sosial yang kian meruncing sekarang ini. Inilah yang dinamakan perjuangan. Perjuangan yang menjadi teman dalam meniti sebuah kehidupan. InsyaAllah dan Wallahu’alam.“nikmat hidup itu adalah perjuangan, nikmat perjuangan itu adalah kemenangan.” (HAMKA)
Faridah Mohd Tap ;)KPIJ-PKPIM-UIAM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...