Keputusan kerajaan melaksanakan pakej baru harga minyak pada 1 September 2009 lalu boleh diringkaskan kepada ungkapan berikut yang merujuk kepada golongan yang berbeza iaitu; (1)“Kita membayar lebih untuk RON yang sama” (2) “Kita membayar sama untuk RON yang rendah” dan (3) “Kita membayar lebih untuk RON yang baru”.
“Kita membayar lebih untuk RON yang sama” merujuk kepada pengguna RON97 dan akan terus menggunakan RON tersebut. Mereka bakal merasa beban kenaikkan sebanyak 25 sen seliter yang tersenarai antara yang tertinggi dalam sejarah kenaikan harga minyak negara walaupun ketika ini harga pasaran minyak mentah antarabangsa hanya di antara $60 ke $70 dolar setong.
“Kita membayar sama untuk RON yang rendah” pula merujuk kepada bakal pengguna RON95 yang sebelum ini menggunakan RON97. Pengenalan RON95 pada harga yang sama dengan RON97 sebelum 1 September lalu menjadikan kelompok pengguna ini tidak rugi dan tidak untung, walaupun pada hakikatnya mereka tetap terkesan dengan peningkatan harga minyak ini.
Mereka tidak rugi kerana masih tetap membayar pada harga yang sama bagi jenis minyak yang secara asasnya menepati spesifikasi kenderaan mereka. Mereka juga tidak untung kerana sebelum ini, pada harga yang sama mereka boleh mendapatkan minyak dengan RON yang lebih tinggi. Hakikat mereka turut terkesan dengan keputusan terbaru ini adalah kerana mereka boleh mendapatkan harga yang jauh lebih murah untuk RON95 sekiranya pelan penstrukturan semula harga minyak ini diketepikan.
“Kita membayar lebih untuk RON yang baru” sudah pastinya merujuk kepada golongan pengguna ketiga iaitu mereka yang terpaksa beralih kepada RON95 ekoran keputusan kerajaan memberhentikan pengeluaran RON92. Mereka perlu membayar pada harga lama RON97 iaitu RM 1.80 seliter walaupun hanya memerlukan RON yang lebih rendah dengan harganya yang jauh lebih murah.
Secara teorinya, kenderaan yang berprestasi tinggi memerlukan RON yang lebih tinggi dan begitu juga sebaliknya. Masalah keenjinan tidak akan timbul sekiranya kenderaan yang berprestasi rendah menggunakan RON yang lebih tinggi. Tetapi, bagi kenderaan yang berprestasi tinggi yang menggunakan RON yang lebih rendah, ia boleh menjejaskan kelancaran enjin dan prestasi kenderaan secara keseluruhannya.
Oleh itu, dalam menganalisa kelompok pengguna ketiga ini, kita mendapati mereka adalah dari kalangan pengguna motosikal dan kereta sekitar ±1000cc. Daripada taburan stesen minyak yang menawarkan RON92 ini, kita mendapati jumlahnya adalah sangat terhad dan banyak tertupu di kawasan luar bandar, serta amat jarang sekali untuk kita menemukannya di kawasan kota dan pinggir bandar.
Statistik yang dekemukakan oleh KPDNKHEP seraya dalam pengemuman keramatnya lalu, menjelaskan bahawa hanya sekitar 5 peratus sahaja minyak jenis ini dijual berbanding RON97 yang memonopolinya. Persoalannya, apakah peratusan ini tepat untuk menggambarkan trend sebenar keperluan RON92 dalam pasaran?
Dengan jumlah stesen yang terhad dan taburan yang tidak sekata, penumpuan kawasan yang tidak kompetetif, dan sikap ‘tidak apa’ di kalangan pengguna, ia mengesahkan peratusan yang dikemukakan tetapi meragukan penggunaannya sebagai pertimbangan asasi dalam memberhentikan pengeluaran RON92 ini yang begitu besar maknanya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan kelompok mahasiswa.
Sekiranya pengubah suaian terhadap formula peratusan tersebut dibuat dengan perbandingan telus dengan jumlah sebenar stesen yang menawarkan jenis RON tersebut, maka kita menjangkakan peratusan yang lebih tinggi bakal dicatatkan. Waimma sekiranya dibahagikan mengikut kawasan bandar dan luar bandar, nescaya, kita yakin peratusan yang jauh berbeza akan diperolehi berbanding seperti mana yang dikemukakan oleh pihak kementerian.
Persoalan seterusnya, mengapa RON92 perlu dikekalkan? Seperti yang telah dinyatakan, RON92 cukup penting bagi kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana (sebahagian besarnya), serta golongan pelajar dan mahasiswa yang semakin mencatatkan peningkatan penggunaan kenderaan di kampus.
Kebiasaannya, mereka yang menggunakan kenderaan yang berCC rendah adalah pastinya dari golongan yang pendapatannya juga rendah dan bertujuan besar untuk berjimat bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Justeru, keputusan memberhentikan RON92 ini bakal merumitkan lagi keadaaan dan mengasak kehidupan mereka.
Bagi mahasiswa, tinjauan rambang yang dibuat oleh aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di kalangan pelajar tahun akhir institut pengajian tinggi awam (IPTA), mereka mendapati nisbah kepenggunaan kenderaan adalah seperti berikut; 1:4:5 iaitu seorang berkereta, 4 orang bermotor, dan selebihnya menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan. Ini bermaksud kurang lebih 50 peratus mahasiswa tahun akhir bakal terjejas dengan penyelarasan terbaru harga minyak ini dan tidak mustahil sekitar peratusan yang sama juga bagi keseluruhan pelajar IPTA dan IPTS di Malaysia.
Hal ini pasti menyukarkan mahasiswa yang juga terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi dan keperluan pembelajaran yang semakin meningkat. Walaupun, resmi kehidupan mahasiswa yang mencabar seperti yang diungkapkan oleh Prof Ungku Aziz, dalam karya Muhammad Abu Bakar, “Mahasiswa Menggugat” namun faktor kewangan ini juga secara tidak langsung memainkan peranan besar yang boleh merencatkan pencapaian mereka.
Benar, “tekanan menjadikan kita lebih kreativ dan inovatif” dan budaya ini selaras dengan seruan kepada mahasiswa, pensyarah, staf pengurusan, dan universiti keseluruhannya oleh Naib Canselor UTM, Prof Zaini Ujang dalam Siri Syarahan Perdana Naib Canselor yang mengupas buku terbarunya, “Universiti, Kretiviti, Inovasi”. Namun, tekanan yang terlalu menekan, tidak juga baik dalam soal ini.
Justeru, saya menyeru agar kajian semula terhadap pemberhentian pengeluaran RON92 dibuat dan mencadangkan penstrukturan semula penjualannya di tempat-tampat yang strategik khususnya di kawasan pinggir kota dan berdekatan premis institut pengajian tinggi (IPT) demi memastikan kebajikan rakyat terbela, dan pencapaian mahasiswa diperkasa.
Saya juga mencadangkan agar kuota penjualan yang lebih kompetetif dirumus agar menguntungkan ketiga-tiga pihak; kerajaan, pengusaha stesen minyak dan pengguna. Hal ini penting bagi memastikan tidak ada pihak yang ditindas seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kehidpan masyarakat yang sejahtera.
Selain itu, amalan berkongsi kenderaan di kalangan masyarakat adalah perlu disemarakkan lagi agar dapat meringankan beban jumlah peruntukan subsidi petrol yang menjangkau RM 500 juta setahun yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan. Di samping itu, amalan ini akan secara tidak langsung dapat mengurangkan sub permasalahan seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin gawat selain menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia selaras dengan ungkapan “Satu Malaysia, Satu Kereta”.
ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM
Sekretariat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.
T: 03-61842286
F: 0361842285
E: http://us.mc457.mail.yahoo.com/mc/compose?to=aqna_86@yahoo.com
T: +6019-3565805
No comments:
Post a Comment