Isu sebat Kartika Sari Dewi Sukanor semakin panas apabila Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters in Islam (SIS) mengatakan hukuman sebat itu melanggar hak asasi manusia dan menjatuhkan maruah si pesalah. Justeru, mereka menggesa agar hukuman sebat yang diperuntukkan dalam Mahkamah Syariah dinilai seterusnya dimansuhkan. Persoalannya, siapakah yang lebih berhak menjatuhkan hukuman?
Isu sebat Kartika ini bermula apabila model yang berusia 30-an itu telah ditangkap oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) atas kesalahan meminum arak (tiger beer) secara terbuka di Hotel Legend, Cherating, Kuantan pada 11 Julai 2008 yang lalu.
Kartika telah didakwa di Mahkamah Syariah dan dijatuhi hukuman denda RM 5000 (atas permintaan si pesalah sebagai ganti kepada hukuman penjara atas beberapa alasan yang diterima) dan sebatan sebanyak enam kali.
Hukuman sebat yang dijatuhkan adalah hukuman maksimum yang telah termaktub di dalam undang-undang Syariah Islam dibawah Seksyen 136 dan Enakmen Adat Melayu 1982 (dengan pindaan) 1987:
“ sesiapa yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat enam kali.”
Memang jelas, Mahkamah Syariah telah menjalankan tugasnya dengan baik. Namun, sebaliknya berlaku, apabila pihak yang tidak berotoriti telah masuk campur seperti JAG dan SIS. Kedua-dua pihak tanpa segan silu mempertikaikan hukuman yang telah dijatuhkan seterusnya telah mencabar kredibiliti Mahkamah Syariah itu sendiri yang seharusnya tidak berlaku.
Perlu diperjelaskan disini bahawa hukuman sebat ini tidak melanggar hak asasi manusia apatah lagi diskriminasi terhadap wanita yang diuar-uarkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain telah termaktub di dalam undang-undang Syarak, hukuman ni diperkukuhkan lagi dengan persetujuan dan penerimaan Kartika terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatasnya. Beliau dengan rela hati bersedia untuk disebat dan mahu hukuman itu dipercepatkan setelah ditangguhkan buat kali pertama bagi menghormati bulan Ramadhan yang lalu.
PKPIM UIAM menggesa agar JAG dan SIS, janganlah jadi seperti ‘lebih sudu daripada kuah’ dan jangan masuk campur urusan Mahkamah Syariah. Kami juga menggesa agar mereka tidak diberi ruang yang berlebihan dalam media arus perdana dan media haruslah bijak menapis segala bentuk kenyataan yang mengelirukan orang Islam dan bukan Islam di Malaysia ini.
3 Oktober 2009/Sabtu
No comments:
Post a Comment