Tuesday, January 26, 2010



TREND SEKS DI LUAR PERKAHWINAN DI TAHAP GENTING



Beberapa tahun yang lepas, penulis pernah bertemu dengan seorang ibu melayu yang masih berumur 17 tahun bersama bayi kecilnya yang berusia seminggu di Pudu Raya. Penulis sempat berbual panjang dengannya. Ibu muda itu dengan naifnya memberitahu bahawa bayi yang bersamanya itu adalah hasil dari perhubungan haram dengan kekasih hatinya.

Yang paling menyedihkan, ibu muda itu ditinggalkan lelaki yang berjanji akan bertanggungjawab atas hubungan haram tersebut. 9 bulan dia terpaksa menghadapi kesukaran sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut di sebuah pusat kebajikan Kristian.

Kisah benar di atas merupakan salah satu contoh kejadian malang yang berlaku ke atas gadis-gadis yang naif sepertinya. Penulis banyak kali berjumpa dengan kes-kes sebegini, di kawasan perumahan mahupun kawan di zaman persekolahan. Trend seks di luar nikah dan melahirkan 'anak tak sama taraf' amat meruncing dan perlukan perhatian khusus dari semua pihak.

Mengikut statistik sepertimana dipetik dalam Berita Harian Online, bertarikh 27 November 2009, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TS8NFMF11AE4UI75 6



Setelah dikenal pasti, punca utama kepada gejala yang tidak bermoral ini adalah kurangnya didikan agama dan moral yang bersungguh-sungguh dalam keluarga dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap aspek pembangunan jasadi tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani. Akibatnya, mereka mudah terjebak dengan gejala tidak sihat hatta melanggar syariat.

Didikan asas agama dan moral bermula daripada rumah lagi dan seterusnya bersambung di alam persekolahan. Disinilah anak-anak menghabiskan masa, bersama rakan-rakan sebaya. Kesibukan para ibu bapa dalam urusan pekerjaan kekadang menghadkan masa mereka untuk bersama dan memantau anak-anak. Tanggungjawab ini diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah. Namun malangnya, sistem persekolahan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, tidak dapat membantu kepada pemahaman agama yang tuntas. Maka, membesarlah generasi muda ini dengan kekosongan jiwa dan rohani.

Agama menjadi panduan hidup setiap orang. Tanpa agama dan penghayatan yang jelas terhadap ajaran agama, hidup akan menjadi tidak punya matlamat. Sebab itulah semua perkara yang tidak berlandaskan ajaran agama akan meneyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

Dalam konteks zina ini, tidak ada satu agama pun yang membenarkan hubungan seks di luar nikah ini. Untuk ini, Dr. Mohd Ridhuan Tee telah membicarakan isu ini dalam artikel beliau yang bertajuk, 'Isu Timbul Kerana Kejahilan Agama' diterbitkan dalam ruangan rencana, akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009.

Menurut beliau, semua agama iaitu Buddha, Kristian, Hindu, Sikh apatah lagi Islam telah melarang penganutnya terjebak dengan zina ini. Beliau juga menggalakkan pembaca untuk lihat pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html dimana larangan berzina amat keras sekali.

Kesimpulannya, trend seks di luar perkahwinan atau lazim diketahui sebagai zina merupakan satu dosa besar dalam ajaran Islam. Bukan sekadar, perbuatan zina tersebut, tetapi semua perkara-perkara yang menjurus kepada gejala ini termasuklah hubungan sosial yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan serta penayangan pornografi yang berleluasa di era 'langit terbuka' ini juga dilarang. Tambahan lagi, zina ini juga dilarang dalam agama-agama lainnya.

Trend ini jika tidak dibendung dengan bersungguh-sungguh, dikhuatiri akan menyebabkan huru-hara dan krisis moral dalam masyarakat. 83.3 kes kelahiran anak luar nikah setiap hari seperti yang dinukilkan di atas statistik cukup menggambarkan kepada kita keruntuhan dan krisis moral di tahap yang genting. Justeru, semua pihak sama ada institusi keluarga, institusi sekolah, institusi agama, badan-badan bukan kerajaan (NGO), media cetak mahupun kerajaan harus bekerjasama dalam memikirkan cara terbaik dalam menangani krisis ini. Wallahu'alam.


Mimosa @;--

Saturday, January 23, 2010


PILIHAN RAYA KAMPUS 2010 HAMBAR DAN MEMALUKAN


Alhamdulillah, Pilihan Raya Kampus (PRK) UIAM telah sempurna berlangsung pada hari Khamis, bersamaan 21 Januari yang lepas. Dari pemerhatian penulis, PRK tahun ini agak hambar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.

Bermula dengan proses penamaan calon pada 14 Januari hinggalah ke hari pengumuman pemenang pada 21 Januari lepas, semuanya hambar dan lesu. Selain itu, calon-calon juga tidak dibenarkan memberikan 'hadiah' semasa berkempen. Ini pada pendapat penulis merupakan suatu momentum yang bagus. Kita mahukan pengundi-pengundi menilai calon daripada manifesto perjuangan dan kewibawaan mereka, bukannya 'hadiah' yang berlebih-lebihan.

Di UIAM Gombak, terdapat 2 kuliyyah diumum menang tanpa bertanding. Paling mengejutkan, kuliyah Undang-undang yang dikenali sebagai 'kerusi paling panas'. Hanya terdapat 2 calon sahaja yang menghantar borang, dan langsung diumum menang tanpa bertanding. Kuliyyah Seni Bina dan Alam sekitar juga diumum sebagai menang tanpa bertanding. Turut menang tanpa bertanding ialah calon kerusi pelajar internasional. Manakala, di UIAM Kuantan, majoritinya menang tanpa bertanding.

POLITIK FITNAH YANG MENCACATKAN PRK UIAM

Ada satu persamaan antara PRK kali ini dengan PRK-PRK sebelum ini iaitu politik fitnah dan politik label-melabel. Jika sebelum ini 'Teropong' tersebar, pada PRK kali ini, sejumlah besar artikel fitnah tersebar di Kuliyyah Ekonomi yang melabel-label calon PKPIM UIAM sebagai wakil 'Aspirasi' tersebar semasa hari mengundi. Kejadian ini sungguh memalukan.


Inilah artikel fitnah yang tersebar di kuliyyah Ekonomi

Umum mengetahui, 'Aspirasi' dikaitkan dengan Pro-Kerajaan, manakala Pro-Mahasiswa dikaitkan dengan Pembangkang. Dikotomi politik sebegini telah membutakan mata warga kampus UIAM kepada suara ketiga yang non-partisan iaitu PKPIM.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau akronimnya dikenali sebagai PKPIM merupakan sebuah gerakan pelajar Islam yang bersifat kebangsaan (tapi bukan asabiyyah sempit) dan menjadikan non-partisan sebagai orientasi perjuangannya.

PKPIM komited dengan perjuangannya untuk melahirkan barisan generasi muda yang dinamik dan berketerampilan selain menjadikan ilmu sebagai tenaga penerus momentum untuk membina generasi pemimpin muda yang bakal menerajui negara di masa hadapan.

PRK yang berlangsung baru-baru ini membuktikan perjuangan PKPIM masih lagi panjang. Politik fitnah yang mencalar kewibawaan dan integriti generasi mahasiswa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini sungguh memalukan. Virus ini jika tidak dihentikan, akan menjahanamkan negara pada masa hadapan. Yang akan sengsara, generasi terkemudian.

Disini, PKPIM UIAM ingin membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa AZHARUL AMIN BIN AHMAD NAZARUDIN, calon kerusi Kuliyyah Ekonomi BUKAN CALON ASPIRASI seperti yang didakwa didalam artikel fitnah yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjwab.




Kami juga menggesa, kepada mereka yang menyebarkan artikel tersebut supaya bertanggungjawab dengan bersemuka dengan kami. Sesungguhnya, fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. PKPIM UIAM tidak akan tunduk dengan permainan politik kotor ini. Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang senantiasa bertaubat.

Akhirnya, TAHNIAH kepada semua pemenang, dan kami mengharapkan kepimpinan SRC kali ini menjalankan tanggungjawab dengan seadilnya kepada semua warga pelajar UIAM. Wallahu'alam.

Azharul (berbaju melayu) bersama-sama dengan jentera kempennya


Azharul sedang berkempen di hari terakhir sebelum hari mengundi pada 21 Januari




Laporan oleh,

Faridah Mohd Tap
23 Januari 2010

Friday, January 22, 2010

MAULANA SAYYID ABUL A’LA AL-MAUDUDI


Pengasas Gerakan Jamaah al-Islami ini dilahirkan di Aurangabad, Hyderabad Dhaka pada tanggal 25 September 1903. Beliau adalah keturunan Maudud iaitu seorang perawi hadith Rasululullah s.a.w. Biasa dikenali dengan Al-Maududi, beliau mendapat pendidikan langsung daripada bapanya dan ulama yang semasa dengannya. Al-Maududi seorang manusia luar biasa dalam mempelajari ilmu pengetahuan. Beliau dikatakan sebagai self-educated man (Mustafa Daud, 1989). Beliau dikatakan begitu kerana mampu mencambah ilmu-ilmu yang dipelajari dalam fikirannya sehingga beliau menjadi seorang ulama yang amat mengagumkan.

Al-Maududi sudah mula bekerja pada usia 16 tahun sebagai seorang wartawan akhbar Taj iaitu pada tahun 1920. Kesungguhan dan dedikasi yang ditunjukkan telah menyebabkan beliau dilantik sebagai pengarang akhbar tersebut. Kemudian Al-Maududi berpindah ke Delhi menjadi editor Al-Jamiat.

Pada tahun 1941, Al-Maududi menubuhkan Harakah Islam Jama’at Islami setelah sekian lama menyertai gerakan Khalifah iaitu pertubuhan politik Islam yang berjuang menegakkan pemerintahan Islam (khalifah) di India. Jama’at Islami pada pandangannya merupakan alternatif tunggal untuk dapat menyelamatkan masa hadapan umat Islam di India (Mustafa Daud, 1989). Meskipun pada waktu itu gerakan Khalifah dan Liga Muslim bergerak aktif, tetapi kedua-dua pertubuhan tersebut dipecah belahkan dan tenggelam oleh Congress dan Inggeris. Beliau juga melihat bahawa pada waktu itu, musuh-musuh Islam telah menghasut nasionalisme dan cita-cita nasionalis yang bekerjasama dengan orang-orang Arab dalam perang Dunia Pertama sehingga orang Arab dan Turki saling bermusuhan disebalik kerjasama (Maryam Jamilah 1989). Matlamat utama yang hendak dibawa Al-Mududi ialah menegakkan sebuah pemerintahan Islam dengan penubuhan negara Pakistan. Pergerakan Jama’at Islami teguh sekali kerana mendapat sokongan dan penyertaan tenaga muda dan tua, ulama, orang awam, golongan profesional dan pekerja biasa.

Al-Maududi juga mahu memperjuangkan pelaksanaan Syariah Islamiyah sepenuhnya jika Pakistan berjaya ditubuhkan. Beliau menolak nasionalisme sempit yang menimbulkan perpecahan dan peperangan sesama umat Islam di seluruh dunia. Pemikiran-pemikiran barat juga turut mendapat tentangan beliau.

Al-Maududi memberi penekanan bahawa penting untuk mempelajari, memahami dan meneliti konsep politik Islam secara tepat dan mendalam. Beliau juga mengaitkan hubungan Ilah dan Rabb dengan politik Islam. Menurut Al-Maududi, “Ilah” ditafsirkan sebagai objek penyembahan (ma’bud). Justeru hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah seperti hubungan hamba dengan tuannya atau penyembah dengan yang disembah (Mustafa Daud, 1989). Inilah fungsi dan kewajipan manusia di atas muka bumi iaitu untuk patuh, menyerah, menyembah dan beribadat semata-mata kepada Allah s.w.t.

Rabb pula membawa pengertian yang mencipta, mengatur, mentadbir dam memelihara kesempurnaan apa jua yang dicipta. Manusia yang dicipta oleh Allah seharusnya menyedari hakikat pencipta, pengatur dan pemelihara hidupnya di dunia ini (Mustafa Daud, 1989).

Prinsip politik dan pemerintahan Islam juga turut menjadi penekanan oleh Al-Maududi. Beliau turut menerangkan mengenai hakikat Negara Islam iaitu negara yang dibentuk berasaskan al-Quran dan Sunnah yang disampaikan oleh Allah s.w.t melalui Rasulullah s.a.w. Dengan mengambil ayat dari surah al-Hadid ayat 25, Al-Maududi mengibaratkan Al-Quran dan Sunnah berfungsi sebagai pembimbing negara yang dapat memberikan keadilan kepada rakyat.

Struktur negara Islam yang digarikan oleh Maulana Sayyid Abul A’la Al-Maududi terdiri daripada Ketua Negara yang memiliki ciri-ciri mestilah seorang Islam, lelaki, waras, dewasa, paling alim, beriman dan bertaqwa. Dalam pemilihan khalifah iman dan amalan salih menjadi ukuran. Struktur yang kedua pula ialah Majlis Syura yang ditubuhkan bertujuan menjadi tempat rujukan dan tempat perundingan khalifah dengan orang-orang yang arif tentang undang-undang Allah. Seterusnya Al-Maududi meletakkan Badan Kehakiman sebagai struktur yang ketiga. Kehakiman mempunyai kuasa mutlak dan bebas daripada pengaruh badan eksekutif iaitu pentadbiran dan pemerintahan. Badan ini berfungsi sebagai wakil khalifah dan juga wakil Allah. Struktur Negara Islam yang terakhir yang digariskan oleh Al-Maududi ialah rakyat. Rakyat mempunyai kewajipan tertentu yang seperti memberi taat setia kepada pemerintahan Islam yang tulen dan adil, menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pemerintah dengan jujur dan ikhlas semata-mata kerana redha Allah s.w.t, dan bertanggungjawab memberi kerjasama serta berkorban apa sahaja saat negara mengahadapi ancaman luar dan dalam.

Antara buku-buku yang ditulis oleh beliau ialah:
1) Asas-asas islam
2) Ke arah Memahami Islam
3) Khilafah dan Kerajaan
4) Jihad dalam Islam
5) Ekonomi Islam

Banyak lagi buku-buku yang ditulis oleh beliau merangkumi bidang agama, sejarah dan biografi, politik dan sosiologi, ekonomi, undang-undang dan kemasyarakatan dan lain-lain.

Rujukan:
Pemikiran Politik dan Ekonomi Al-Maududi, Mustafa Haji Daud. 1989. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


Sayyid Abul A’la Al-Maududi: Dalam Kenangan, Maryam Jamilah. 1989. Dar Al-Alami Publications, Kuala Lumpur

Wednesday, January 13, 2010


PILIHAN RAYA KAMPUS
UIAM GOMBAK


-info terkini-



PENAMAAN CALON



Tarikh/Hari: 14hb Januari 2010/Khamis
Masa: 8:30 pagi-3:00 Petang
Tempat: Banquet Hall, aras 5, Banggunan Admin



PILIHAN RAYA (Mengundi)


Tarikh/Hari: 21hb Januari 2010/Khamis
Masa: 9:00 pagi-5:00 petang
Tempat: makmal komputer di semua kuliyyah dan tempat2 yang ditentukan oleh suruhanjaya pilihan raya kampus.



Ayuh sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai warga pelajar UIAM yang prihatin.

Mari Mengundi!!! :)


Monday, January 11, 2010

ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T.
FORUM ISU KALIMAH ALLAH

Tarikh/Hari: 11 Januari 2010/ Isnin
Masa: 745 petang- 10 malam
Tempat: Selangor Chinese Assembly Hall, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur
Panel:
1) YB Khalid Samad
2) Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
3) Sdr. Zainul Rijal
4) Dr. Azwira Aziz
5) Eddie Khoo
Semua di jemput hadir.
Syukran.

Sunday, January 3, 2010

PERHATIAN!!!


Assalamu'alaikum W.B.T.

"SEGALA PUJI BAGI ALLAH TUHAN SELURUH ALAM ( SURAH AL-FATIHAH: 1)"

KALIMAH ALLAH:
HAK ORANG MUSLIM @ HAK UNTUK SEMUA?

oleh: DR. MOHD FARID BIN MOHD SHAHRAN
Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama
Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM.

Tarikh/Hari: 5 Januari 2010/Selasa

Masa: 8:30malam

Tempat: ADM LT 4

Semua dijemput hadir.

Syukran.

Friday, January 1, 2010


ISU KALIMAH ALLAH: PKPIM SOKONG KEMUKA RAYUAN



Jumaat, 1 Januari 2010- Wakil PKPIM UIAM telah turut serta dalam satu perhimpunan bagi membantah penggunaan nama Allah dalam majalah mingguan Katolik-The Herald bertempat di hadapan Masjid Wilayah sejurus selepas solat Jumaat.


Kami menyokong untuk bersama-sama Ngo-ngo Islam yang lain untuk mengemukakan rayuan bagi keputusan yang memihak kepada 'Herald Catholic'.


Berikut adalah kenyataan media dan pendirian PKPIM mengenai isu ini:


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

31 Disember 2009/14 Muharram 1431

KES KALIMAH ALLAH: PKPIM SOKONG KEMUKA RAYUAN


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan kes tuntutan pihak Herald Catholic terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak ‘Herald Catholic Weekly’.


PKPIM melahirkan sokongan penuh kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan bersama-sama dalam memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk menyemak semula keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam cetakan bahasa Melayunya.


PKPIM ingin menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan alam Melayu, kalimah Allah adalah bersifat yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja.


Jika kita menelusuri sejarah Melayu sebelum kedatangan Islam, kalimah Allah ini tidak digunakan sebagai rujukan kepada Tuhan, tetapi istilah Allah ini wujud dan sebati dalam masyarakat Melayu selepas berlakunya proses islamisasi akar budaya dan bahasa.


Dalam pada itu, jika diteliti dari perspektif bahasa asal, seperti yang kita sedia maklum, bahasa asal Al-Qur’an adalah bahasa Arab manakala bahasa asal untuk kitab Taurat adalah bahasa Hebrew, dan bahasa yang digunakan untuk menulis kitab Injil (Bible) adalah bahasa Greek. Justeru, kalimah yang merujuk kepada istilah tuhan dalam terbitan Herald sepatutnya menggunakan istilah yang diguna pakai dalam bahasa Greek memandangkan kalimah Allah itu adalah pinjaman dari bahasa Arab (Al-Qur’an).


Sementara itu, PKPIM mengalu-alukan keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. PKPIM berpandangan keputusan tersebut adalah tepat, tuntas, dan seharusnya dihormati dan dipertahankan.


Dalam situasi semasa, PKPIM melihat penggunaan kalimah Allah dalam Herald ini akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad sepertimana yang berlaku di Indonesia menerusi terjemahan Al-Kitab. Maka, masalah gejala murtad yang menular dalam kalangan generasi muda akan terus berleluasa.


Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyeru agar seluruh pertubuhan Islam dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk terus menggandakan usaha bagi menggerakkan aktiviti da’wah dan ta’dib bagi memastikan kefahaman umat Islam dapat dipertingkatkan.


Permasalahan ini tidak akan timbul jika kefahaman umat Islam Malaysia khususnya generasi muda terhadap konsep ‘aqidah benar-benar jelas dan mantap.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

013-5303221

ipohcitizen@yahoo.com















TAHUN 2009 BERLALU, 2010 MEMBUKA LEMBARAN BARU...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rafa’ dan syukur kepada Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, di pertemukan kita dengan tahun 2010.


Kita percaya ada yang sedang bergembira dengan pelbagai pesta dan hiburan bagi meraikan kedatangan tahun baru ini. Namun sebagai umat Islam, 2009 melabuhkan tirainya dengan penuh tragis.


Tahun 2009 berlalu dengan pelbagai onak dan duri. Berlatar belakangkan sosio-politik Negara yang semakin haru-biru, masalah kegawatan ekonomi dunia yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk pulih dalam masa terdekat, bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sering dipertikaikan, hukuman sebat Kartika yang tergantung pelaksanaannya dan yang terakhirnya keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang telah memutuskan bahawa perkataan "Allah" boleh digunakan dalam penerbitan Herald Catholic Weekly. Justeru, kita memulakan tahun 2010 dengan langkah yang penuh dengan cabaran.




Kemanakah arah kita pada tahun baru ini? Dimanakah pemuda-pemudi Islam yang akan mempertahan bangsa dan agamanya? Sahabat-sahabat, kita semua sedang leka dengan dunia kita sendiri sehingga terlupa dengan masalah masyarakat Islam yang semakin meruncing. Kita berhadapan dengan masalah ketidakfahaman kerangka pandangan Islami yang mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam cara berfikir dan krisis keruntuhan adab dikalangan umat Islam.


Sahabat-sahabat sekalian, kita memerlukan tenaga yang ramai dan konsisten daripada segenap lapisan masyarakat dalam melaksanakan misi menyebarkan kebaikan dan memadamkan api kejahilan dalam dunia yang sedang pesat membangun. Kita mahukan tenaga yang ramai untuk melaksanakan misi pengislahan diri dan masyarakat sekeliling iaitu menurut Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ia merupakan suatu gerak dari keadaan buruk kepada baik, dari keadaan baik kepada yang lebih baik dan mengekalkan keadaan baik tersebut.


Ayuh sahabat-sahabat dan semua kaum Muslimin, mulakan momentum dan perjalanan dalam episod kehidupan di tahun baru ini dengan suatu azam yang baru. Jangan berputus asa dengan kerja-kerja kebaikan atau membiarkan urusan gerakan Islam pada orang-orang tertentu sahaja. Kita mahukan kesedaran dan komitmen dari semua kaum Muslimin untuk memperbaiki keadaan kepada yang lebih baik. Allah telah berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 17 yang bermaksud,

“Adapun buih itu,akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi.”


Wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...