Friday, January 1, 2010



TAHUN 2009 BERLALU, 2010 MEMBUKA LEMBARAN BARU...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rafa’ dan syukur kepada Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, di pertemukan kita dengan tahun 2010.


Kita percaya ada yang sedang bergembira dengan pelbagai pesta dan hiburan bagi meraikan kedatangan tahun baru ini. Namun sebagai umat Islam, 2009 melabuhkan tirainya dengan penuh tragis.


Tahun 2009 berlalu dengan pelbagai onak dan duri. Berlatar belakangkan sosio-politik Negara yang semakin haru-biru, masalah kegawatan ekonomi dunia yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk pulih dalam masa terdekat, bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sering dipertikaikan, hukuman sebat Kartika yang tergantung pelaksanaannya dan yang terakhirnya keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang telah memutuskan bahawa perkataan "Allah" boleh digunakan dalam penerbitan Herald Catholic Weekly. Justeru, kita memulakan tahun 2010 dengan langkah yang penuh dengan cabaran.




Kemanakah arah kita pada tahun baru ini? Dimanakah pemuda-pemudi Islam yang akan mempertahan bangsa dan agamanya? Sahabat-sahabat, kita semua sedang leka dengan dunia kita sendiri sehingga terlupa dengan masalah masyarakat Islam yang semakin meruncing. Kita berhadapan dengan masalah ketidakfahaman kerangka pandangan Islami yang mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam cara berfikir dan krisis keruntuhan adab dikalangan umat Islam.


Sahabat-sahabat sekalian, kita memerlukan tenaga yang ramai dan konsisten daripada segenap lapisan masyarakat dalam melaksanakan misi menyebarkan kebaikan dan memadamkan api kejahilan dalam dunia yang sedang pesat membangun. Kita mahukan tenaga yang ramai untuk melaksanakan misi pengislahan diri dan masyarakat sekeliling iaitu menurut Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ia merupakan suatu gerak dari keadaan buruk kepada baik, dari keadaan baik kepada yang lebih baik dan mengekalkan keadaan baik tersebut.


Ayuh sahabat-sahabat dan semua kaum Muslimin, mulakan momentum dan perjalanan dalam episod kehidupan di tahun baru ini dengan suatu azam yang baru. Jangan berputus asa dengan kerja-kerja kebaikan atau membiarkan urusan gerakan Islam pada orang-orang tertentu sahaja. Kita mahukan kesedaran dan komitmen dari semua kaum Muslimin untuk memperbaiki keadaan kepada yang lebih baik. Allah telah berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 17 yang bermaksud,

“Adapun buih itu,akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi.”


Wassalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...