Thursday, April 15, 2010

ANTARA INTELEK LUGU & AKTIVIS DUNGU?

Bismillahirrahmanirrahim.

Melihat kembali lukisan-lukisan yang telah dilakar oleh golongan mahasiswa di Malaysia pada kanvas-kanvas kehidupan, kita akan dapat lihat nilai keunikan dan citra mahasiswa kian menghilang. Masakan tidak, pada hari ini, golongan terpelajar inilah yang menjulang kejayaan dan dalam masa yang sama golongan ini jugalah yang membawa masalah.

Ketidakseimbangan di antara aspek Ruhaniyyah (spiritual) dan 'Aqliyyah (intelektual) merupakan antara permasalahan yang sekian lamanya dibincangkan oleh pelbagai tingkat masyarakat. Kecenderungan untuk menjadi pendakap kepada satu aspek sahaja seolah-olah merupakan satu kebiasaan dan secara tidak langsung membuahkan kekeliruan dalam diri mahasiswa dan lebih malang lagi, pada diri Pemimpin dan kader-kader gerakan pelajar.

Kekeliruan atau kerancuan ini menular, dan secara tidak langsung pada hari ini, kita kelihatannya hilang identiti.

INTELEK LUGU

Intelektualisme sepertimana yang ditakrifkan oleh Oxford Dictionary sebagai "the doctrine that all knowledge is wholly and mainly derived from its action of the intellect from pure reason" memperlihatkan nilai-nilai dualisme yang menjadi pegangan utama Barat Moden yang mana pada pacuan seterusnya memisahkan intellect dari makna yang merujuk kepada aspek sapential manusia dan mampu untuk menanggap persoalan kerohanian, bahkan telah menjadikan aspek 'intellectus' ini lebih merujuk kepada aspek saintifik seterusnya mementingkan unsur-unsur scientia manusia serta menolak kebenaran rohaniah dan metafizik.

Manakala lugu mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bersahaja, cukup apa adanya, sewajarnya.

Intelek Lugu di sini (penggunaan kata kunci ini hanya terhad dan terbatas pada ruang lingkup perbincangan artikel ini sahaja) bermaksud ilmuwan yang merasakan cukup dengan ilmu semata-mata, namun tidak berupaya atau berusaha menjelmakan pengetahuan ke dalam bentuk perlaksanaan atau praktis.

Menjadi intelektual atau ilmuwan merupakan satu tugas yang berat, memandangkan orang yang berilmu seharusnya menjadi orang yang memandu jalan serta menerapkan hikmah kepada mereka di sekelilingnya. Bahkan taraf orang yang berilmu diangkat oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran bagi menunjukkan betapa serius dan penting ilmu dan orang-orang yang mengamalkannya.

Seorang intelektual juga merupakan seorang kekasih yang setia kepada satu; kebenaran. Sisi kebenaran dalam ilmulah yang sebenarnya membawa kita kepada kebenaran dan cahaya, bukanlah nilai relativiti atau kenisbian ilmu yang memegang prinsip bahawa 'semua orang adalah betul'. Adalah satu tragedi buat umat pada hari ini apabila ilmu yang benar dan betul (al-'ilm al-sohihah) sudah terhakis nilai autoritatifnya pada sudut pandang masyarakat terutama mahasiswa.

Ungkapan bahawa mereka yang berilmu, semakin berisi semakin tunduk, melengkapkan kitaran kehambaan seorang hamba kepada Allah S.W.T. Seharusnya semakin berilmu, semakin dekat dirinya dengan Allah S.W.T dalam setiap aspek kerana seorang ilmuwan adalah orang yang tahu! Tahu perihal benar-batil, halal-haram, jelas-syubhah dan sebagainya. Namun amat menyedihkan, pada hari ini kita kesesakan dan tenggelam dalam lautan ilmu semata-mata kerana bongkak dan tidak beradab dengan ilmu.

AKTIVIS DUNGU

Aktivis dalam makna longgar mengikut kefahaman pembaca merupakan ahli-ahli aktif yang bergerak dan berupaya melaksanakan idea dan gagasan utama gerakan atau persatuan yang dianggotainya dengan cermat dan berkesan. Namun pada sudut pandang penulis, nilai makna aktivis ini secara tidak langsung sudah terhakis bilamana para ilmuwan dan aktivis secara tidak langsung mewujudkan dualisme dalam pemikiran dan perlaksanaan. Bahkan kata ilmuwan dan aktivis itu sendiri pada hari ini jelas menunjukkan dualisme dalam cakupan kefahaman mahasiswa berkaitan pragmatis gerakan.

Adalah malang untuk melihat pada hari ini betapa nilai aktivisme yang wujud dalam diri mahasiswa memuncak dan penuh semangat, bahkan semakin berani namun tidak berwaspada dan berpegang pada ilmu. Salah satu contoh aktivisme adalah kemuncak kehebatan mahasiswa yang dikatakan apabila mereka berjaya melakukan demonstrasi jalanan sepadan dengan istilah jiwa muda dan
'kelompok yang sedar dari kalangan masyarakatnya'. Namun, betapa hebat pun sesuatu nilai aktivisme itu, tetap gagal juga jika diri aktivis gagal memahami tujuan serta esensi sesuatu perkara (dalam misalan ini demonstrasi) bahkan bertindak dengan sekadar semangat sahaja. Para perancang atau penggerak sesuatu aktiviti itu mungkin tahu, namun mereka yang mengetahui serta mengepalai seharusnya menangani kefahaman dan semangat ahli.

Istilah Ilmuwan Aktivis yang pernah disuarakan suatu masa dahulu merupakan cita dan citra yang diharapkan sebagai satu gagasan menggabungjalinkan di antara kedua aspek spiritual dan intelektual yang kian meruncing ini. Namun, masih, sehingga hari ini pencapaian untuk menuju ke arah mewujudkan generasi yang dinamik dan sedar serta mampu menangani 'kanan' dan 'kiri' seolah-olah tidak lagi kelihatan.

POTENSI GERAKAN

9 orientasi gerakan serta 7 budaya yang seringkali dicanang-canang merata tempat seharusnya dijadikan sebagai satu realisasi dan bukan sekadar tempelan. Mungkin PKPIM boleh berbangga dengan kompetensi serta kemampuan gerakan untuk bergerak maju, bahkan untuk duduk setanding dengan mana-mana pihak tinggi namun secara asasnya perlu diselesaikan dahulu. Sekiranya ahli gerakan sudah memahami asas-asas 9 dan 7 ini, sudah pasti zaman kegemilangan PKPIM atau apa yang sebenarnya kita mahu; Mengangkat martabat mahasiswa serta mengislamisasi minda golongan remaja dan pelajar mampu tercapai.

Kerancuan masih lagi berlaku, namun usaha untuk membendung apatah lagi menggabungjalinkan kedua-dua nilai seakan-akan jarang dan tidak kelihatan. Mungkin ada, namun cadangan kekal cadangan dan keadaan tetap kekal seperti dahulu.

Jadi berhenti mencanang gagasan yang besar namun akhirnya ia kekal cuma sebagai sesuatu yang sedap untuk diungkap di bibir semata.

___________________________________

RUJUKAN
[1] Ucapan Dr. Siddiq Fadzil-Muzakarah Qiyadah 2010
[2] Isu-isu dalam Pemikiran Islam-Dr. Mohd Farid Shahran
[3] PKPIM 5 Dasawarsa
[4] Bahan-bahan bacaan lain-Akhbar, laman sesawang dan majalah.



ISKANDAR
Aktivis PKPIM UIAM


Wallahua'lam.

PERNYATAAN SIKAP TERHADAP ISU JENAYAH QADHAF



بسم الله الرحمن الرحيم

لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز


Sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.


Al-Hadid:25


Petikan ayat 20 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya
keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).

Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupan maqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. (Untuk penyataan penuh sila klik di sini).

Dalam kaitan inilah motif hukum
qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.

Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum
qadhaf.

Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara`seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan. Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya,
"… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at?

Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,
"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.

Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:

إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.


Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula). Al-Nur:11

إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم وأنتم لاتعلمون

Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Nur:19

Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut. Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya.

Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana-Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."

Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala."

Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`ie." Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar agama dan budayanya.


Sekretariat Bersama

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).



Kajang: 11 Rabiulakhir 1431 / 27 Mac 2010

Wednesday, April 14, 2010


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
14 April 2010/ 29 Rabiul Akhir 1431 H

JAWATANKUASA ANTARA AGAMA: PKPIM AKAN BERTEMU MENTERI

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang ditubuhkan pada Februari lalu yang turut mendapat kelulusan oleh jemaah menteri.

PKPIM berpandangan bahawa pihak kerajaan masih belum memberi penerangan dan penjelasan yang terperinci kepada umum berhubung dengan skop dan ruang lingkup kuasa yang akan diberikan kepada Jawatankuasa antara agama berkenaan.

Sehubungan itu, PKPIM bercadang untuk mengadakan pertemuan khas dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mendapatkan penjelasan yang jelas berkenaan dengan skop dan matlamat asal penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Dalam pada itu, PKPIM tidak mahu pihak kerajaan terus berteka-teki berhubung isu berkenaan dengan membiarkan semua pihak membuat tafsiran dan andaian yang tersimpang dari peruntukan undang-undang yang secara jelas memelihara kedaulatan Islam di Malaysia.

Seperti contoh andaian dari pihak tertentu yang mentafsirkan bahawa bahawa jawatankuasa ini merupakan jawatankuasa yang mutlak dalam membuat keputusan sekiranya terdapat sebarang isu pertikaian antara agama pada masa mendatang.

Tafsiran dan andaian sebegini adalah jelas bercanggah dengan prinsip undang-undang negara yang meletakkan kuasa Majlis Raja-Raja sebagai kuasa nombor satu dalam sebarang isu yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Menurut PKPIM lagi, pihak kerajaan juga seharusnya menjelaskan perkara-perkara yang menjadi titik perbezaan antara jawatankuasa berkenaan dengan IFC sepertimana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekiranya agenda jawatankuasa ini adalah untuk “meliberalkan” peruntukan Islam dalam perlembagaan, maka samalah jawatankuasa ini dengan IFC dari sudut peranan dan matlamat.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM tidak menolak kemungkinan niat asal penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah murni iaitu untuk memberi ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Namun, ia tetap menjadi kebimbangan sekiranya platform ini disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan seperti wujudnya tuntutan yang tidak munasabah di kalangan penganut agama lain terhadap kedudukan Islam menerusi jawatankuasa berkenaan.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Tuesday, April 13, 2010

BELIA DAN SUKARELAWANAN


Kita sering dimomokkan dengan generasi muda belia yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan peratusan kadar jenayah di Negara ini. Namun, kita terlupa akan generasi belia yang banyak menyumbang kepada kerja-kerja sukarelawanan di Negara ini. Menurut Azizan, (2009), kerja sukarela merupakan kegiatan yang dilakukan dengan rela hati, ikhlas tanpa paksaan daripada mana-mana pihak, tanpa mengharapkan ganjaran atau balasan material dan dapat memberi manfaat kepada golongan, pihak sasaran.


Keterlibatan golongan belia dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan adalah ditahap yang memberangsangkan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), (2006), sebanyak 52% daripada 2, 768 responden belia pernah terlibat dengan kerja-kerja sukarela yang meliputi pelbagai bidang. Bidang khidmat komuniti mencatatkan peratus tertinggi dengan 33%, diikuti dengan sukan sebanyak 19%, pendidikan sebanyak 8%, seni budaya dan pengurusan masing-masing sebanyak 6% dan bidang teknikal sebanyak 5%.


Terdapat banyak faktor kenapa golongan muda belia ini memilih untuk terlibat dengan kerja-kerja sukarela ini iaitu mengisi masa lapang (40%), bersimpati dengan masyarakat yang kurang bernasib baik (31%), minat (24%) dan selebihnya lain-lain (dipetik daripada IPPBM, 2006).


Melihatkan kepada penglibatan positif golongan belia ini, seharusnya kerja-kerja kesukarelawan ini diperkasakan agar ramai lagi golongan belia terlibat secara konsisten. Umum mengetahui bahawasanya generasi muda belia ini mempunyai idealisme yang tinggi, semangat juang yang tidak mudah menyerah, semangat aktivisme yang menggunung selain tahap intelektual yang segar. Kita harus memanfaatkan kelebihan-kelebihan ini sementalahan umur masa lagi muda dengan menggalakkan generasi muda untuk menabur bakti dan berjasa kepada masyarakat.


Selain itu, dengan memperkasakan kerja-kerja sukarela ini, kita dapat membendung budaya melepak yang semakin meruncing di kalangan remaja belia. Dengan mendedahkan dan melibatkan golongan remaja belia ini dengan kerja-kerja sebegini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu Negara mengurangkan kadar jenayah di kalangan belia seterusnya sifar jenayah.


Malah tujuan lain kerja-kerja sukarela ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang prihatin, memperkukuhkan semangat kerjasama dan kekitaan, nilai-nilai kemanusian yang tinggi, menyuburkan semangat perpaduan terutama di kalangan masyarakat majmuk Negara ini. Tidak keterlaluan juga untuk kita katakan bahwa kerja sukarela ini akan membantu melahirkan modal insan yang berkeyakinan dan berkualiti tinggi di mana produk jangka panjang akan terlahir sebuah Negara yang harmoni selain sebuah peradaban yang adil, makmur dan sejahtera.


Kesimpulannya, keterlibatan golongan belia dengan kerja –kerja sukarelawanan ini harus diperkasakan. Kerja-kerja kesukarelawanan ini pula seharusnya bervariasi agar dapat menepati kecenderungan dan minat yang pelbagai para belia kita. Motto ‘Hidup Biar Berjasa’ harus menjadi motivasi kepada generasi belia untuk terus setia menyumbang demi kebaikan diri, masyarakat, agama, bangsa dan Negara.


Rujukan:

www.ippbm.gov.my/v2/index.php?option=com...view...di muat turun pada 13 April 2010 melaui www.google.com

www.slideboom.com/.../1.-KESUKARELAWANAN----TAKRIF,-MAKNA-DAN-TUJUAN, di muat turun pada 13 April 2010 melalui www.goole.com


Oleh,

Faridah Mohd Tap
Aktivis KPIJ-PKPIM-ABIM-WADAH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...