Thursday, April 15, 2010

ANTARA INTELEK LUGU & AKTIVIS DUNGU?

Bismillahirrahmanirrahim.

Melihat kembali lukisan-lukisan yang telah dilakar oleh golongan mahasiswa di Malaysia pada kanvas-kanvas kehidupan, kita akan dapat lihat nilai keunikan dan citra mahasiswa kian menghilang. Masakan tidak, pada hari ini, golongan terpelajar inilah yang menjulang kejayaan dan dalam masa yang sama golongan ini jugalah yang membawa masalah.

Ketidakseimbangan di antara aspek Ruhaniyyah (spiritual) dan 'Aqliyyah (intelektual) merupakan antara permasalahan yang sekian lamanya dibincangkan oleh pelbagai tingkat masyarakat. Kecenderungan untuk menjadi pendakap kepada satu aspek sahaja seolah-olah merupakan satu kebiasaan dan secara tidak langsung membuahkan kekeliruan dalam diri mahasiswa dan lebih malang lagi, pada diri Pemimpin dan kader-kader gerakan pelajar.

Kekeliruan atau kerancuan ini menular, dan secara tidak langsung pada hari ini, kita kelihatannya hilang identiti.

INTELEK LUGU

Intelektualisme sepertimana yang ditakrifkan oleh Oxford Dictionary sebagai "the doctrine that all knowledge is wholly and mainly derived from its action of the intellect from pure reason" memperlihatkan nilai-nilai dualisme yang menjadi pegangan utama Barat Moden yang mana pada pacuan seterusnya memisahkan intellect dari makna yang merujuk kepada aspek sapential manusia dan mampu untuk menanggap persoalan kerohanian, bahkan telah menjadikan aspek 'intellectus' ini lebih merujuk kepada aspek saintifik seterusnya mementingkan unsur-unsur scientia manusia serta menolak kebenaran rohaniah dan metafizik.

Manakala lugu mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bersahaja, cukup apa adanya, sewajarnya.

Intelek Lugu di sini (penggunaan kata kunci ini hanya terhad dan terbatas pada ruang lingkup perbincangan artikel ini sahaja) bermaksud ilmuwan yang merasakan cukup dengan ilmu semata-mata, namun tidak berupaya atau berusaha menjelmakan pengetahuan ke dalam bentuk perlaksanaan atau praktis.

Menjadi intelektual atau ilmuwan merupakan satu tugas yang berat, memandangkan orang yang berilmu seharusnya menjadi orang yang memandu jalan serta menerapkan hikmah kepada mereka di sekelilingnya. Bahkan taraf orang yang berilmu diangkat oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran bagi menunjukkan betapa serius dan penting ilmu dan orang-orang yang mengamalkannya.

Seorang intelektual juga merupakan seorang kekasih yang setia kepada satu; kebenaran. Sisi kebenaran dalam ilmulah yang sebenarnya membawa kita kepada kebenaran dan cahaya, bukanlah nilai relativiti atau kenisbian ilmu yang memegang prinsip bahawa 'semua orang adalah betul'. Adalah satu tragedi buat umat pada hari ini apabila ilmu yang benar dan betul (al-'ilm al-sohihah) sudah terhakis nilai autoritatifnya pada sudut pandang masyarakat terutama mahasiswa.

Ungkapan bahawa mereka yang berilmu, semakin berisi semakin tunduk, melengkapkan kitaran kehambaan seorang hamba kepada Allah S.W.T. Seharusnya semakin berilmu, semakin dekat dirinya dengan Allah S.W.T dalam setiap aspek kerana seorang ilmuwan adalah orang yang tahu! Tahu perihal benar-batil, halal-haram, jelas-syubhah dan sebagainya. Namun amat menyedihkan, pada hari ini kita kesesakan dan tenggelam dalam lautan ilmu semata-mata kerana bongkak dan tidak beradab dengan ilmu.

AKTIVIS DUNGU

Aktivis dalam makna longgar mengikut kefahaman pembaca merupakan ahli-ahli aktif yang bergerak dan berupaya melaksanakan idea dan gagasan utama gerakan atau persatuan yang dianggotainya dengan cermat dan berkesan. Namun pada sudut pandang penulis, nilai makna aktivis ini secara tidak langsung sudah terhakis bilamana para ilmuwan dan aktivis secara tidak langsung mewujudkan dualisme dalam pemikiran dan perlaksanaan. Bahkan kata ilmuwan dan aktivis itu sendiri pada hari ini jelas menunjukkan dualisme dalam cakupan kefahaman mahasiswa berkaitan pragmatis gerakan.

Adalah malang untuk melihat pada hari ini betapa nilai aktivisme yang wujud dalam diri mahasiswa memuncak dan penuh semangat, bahkan semakin berani namun tidak berwaspada dan berpegang pada ilmu. Salah satu contoh aktivisme adalah kemuncak kehebatan mahasiswa yang dikatakan apabila mereka berjaya melakukan demonstrasi jalanan sepadan dengan istilah jiwa muda dan
'kelompok yang sedar dari kalangan masyarakatnya'. Namun, betapa hebat pun sesuatu nilai aktivisme itu, tetap gagal juga jika diri aktivis gagal memahami tujuan serta esensi sesuatu perkara (dalam misalan ini demonstrasi) bahkan bertindak dengan sekadar semangat sahaja. Para perancang atau penggerak sesuatu aktiviti itu mungkin tahu, namun mereka yang mengetahui serta mengepalai seharusnya menangani kefahaman dan semangat ahli.

Istilah Ilmuwan Aktivis yang pernah disuarakan suatu masa dahulu merupakan cita dan citra yang diharapkan sebagai satu gagasan menggabungjalinkan di antara kedua aspek spiritual dan intelektual yang kian meruncing ini. Namun, masih, sehingga hari ini pencapaian untuk menuju ke arah mewujudkan generasi yang dinamik dan sedar serta mampu menangani 'kanan' dan 'kiri' seolah-olah tidak lagi kelihatan.

POTENSI GERAKAN

9 orientasi gerakan serta 7 budaya yang seringkali dicanang-canang merata tempat seharusnya dijadikan sebagai satu realisasi dan bukan sekadar tempelan. Mungkin PKPIM boleh berbangga dengan kompetensi serta kemampuan gerakan untuk bergerak maju, bahkan untuk duduk setanding dengan mana-mana pihak tinggi namun secara asasnya perlu diselesaikan dahulu. Sekiranya ahli gerakan sudah memahami asas-asas 9 dan 7 ini, sudah pasti zaman kegemilangan PKPIM atau apa yang sebenarnya kita mahu; Mengangkat martabat mahasiswa serta mengislamisasi minda golongan remaja dan pelajar mampu tercapai.

Kerancuan masih lagi berlaku, namun usaha untuk membendung apatah lagi menggabungjalinkan kedua-dua nilai seakan-akan jarang dan tidak kelihatan. Mungkin ada, namun cadangan kekal cadangan dan keadaan tetap kekal seperti dahulu.

Jadi berhenti mencanang gagasan yang besar namun akhirnya ia kekal cuma sebagai sesuatu yang sedap untuk diungkap di bibir semata.

___________________________________

RUJUKAN
[1] Ucapan Dr. Siddiq Fadzil-Muzakarah Qiyadah 2010
[2] Isu-isu dalam Pemikiran Islam-Dr. Mohd Farid Shahran
[3] PKPIM 5 Dasawarsa
[4] Bahan-bahan bacaan lain-Akhbar, laman sesawang dan majalah.



ISKANDAR
Aktivis PKPIM UIAM


Wallahua'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...