Tuesday, April 13, 2010

BELIA DAN SUKARELAWANAN


Kita sering dimomokkan dengan generasi muda belia yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan peratusan kadar jenayah di Negara ini. Namun, kita terlupa akan generasi belia yang banyak menyumbang kepada kerja-kerja sukarelawanan di Negara ini. Menurut Azizan, (2009), kerja sukarela merupakan kegiatan yang dilakukan dengan rela hati, ikhlas tanpa paksaan daripada mana-mana pihak, tanpa mengharapkan ganjaran atau balasan material dan dapat memberi manfaat kepada golongan, pihak sasaran.


Keterlibatan golongan belia dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan adalah ditahap yang memberangsangkan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), (2006), sebanyak 52% daripada 2, 768 responden belia pernah terlibat dengan kerja-kerja sukarela yang meliputi pelbagai bidang. Bidang khidmat komuniti mencatatkan peratus tertinggi dengan 33%, diikuti dengan sukan sebanyak 19%, pendidikan sebanyak 8%, seni budaya dan pengurusan masing-masing sebanyak 6% dan bidang teknikal sebanyak 5%.


Terdapat banyak faktor kenapa golongan muda belia ini memilih untuk terlibat dengan kerja-kerja sukarela ini iaitu mengisi masa lapang (40%), bersimpati dengan masyarakat yang kurang bernasib baik (31%), minat (24%) dan selebihnya lain-lain (dipetik daripada IPPBM, 2006).


Melihatkan kepada penglibatan positif golongan belia ini, seharusnya kerja-kerja kesukarelawan ini diperkasakan agar ramai lagi golongan belia terlibat secara konsisten. Umum mengetahui bahawasanya generasi muda belia ini mempunyai idealisme yang tinggi, semangat juang yang tidak mudah menyerah, semangat aktivisme yang menggunung selain tahap intelektual yang segar. Kita harus memanfaatkan kelebihan-kelebihan ini sementalahan umur masa lagi muda dengan menggalakkan generasi muda untuk menabur bakti dan berjasa kepada masyarakat.


Selain itu, dengan memperkasakan kerja-kerja sukarela ini, kita dapat membendung budaya melepak yang semakin meruncing di kalangan remaja belia. Dengan mendedahkan dan melibatkan golongan remaja belia ini dengan kerja-kerja sebegini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu Negara mengurangkan kadar jenayah di kalangan belia seterusnya sifar jenayah.


Malah tujuan lain kerja-kerja sukarela ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang prihatin, memperkukuhkan semangat kerjasama dan kekitaan, nilai-nilai kemanusian yang tinggi, menyuburkan semangat perpaduan terutama di kalangan masyarakat majmuk Negara ini. Tidak keterlaluan juga untuk kita katakan bahwa kerja sukarela ini akan membantu melahirkan modal insan yang berkeyakinan dan berkualiti tinggi di mana produk jangka panjang akan terlahir sebuah Negara yang harmoni selain sebuah peradaban yang adil, makmur dan sejahtera.


Kesimpulannya, keterlibatan golongan belia dengan kerja –kerja sukarelawanan ini harus diperkasakan. Kerja-kerja kesukarelawanan ini pula seharusnya bervariasi agar dapat menepati kecenderungan dan minat yang pelbagai para belia kita. Motto ‘Hidup Biar Berjasa’ harus menjadi motivasi kepada generasi belia untuk terus setia menyumbang demi kebaikan diri, masyarakat, agama, bangsa dan Negara.


Rujukan:

www.ippbm.gov.my/v2/index.php?option=com...view...di muat turun pada 13 April 2010 melaui www.google.com

www.slideboom.com/.../1.-KESUKARELAWANAN----TAKRIF,-MAKNA-DAN-TUJUAN, di muat turun pada 13 April 2010 melalui www.goole.com


Oleh,

Faridah Mohd Tap
Aktivis KPIJ-PKPIM-ABIM-WADAH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...