Friday, November 4, 2011

Busana Muslimah yang disalah erti


Busana Muslimah semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya remaja dan kanak-kanak Secara ringkasnya pakaian mengikut ciri wanita muslimah adalah tidak jarang atau nipis dan tidak ketat, hendaklah longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuhnya. Bukan pakaian yang menggoda. Ia juga tidak menyerupai pakaian lelaki dan tidak menyerupai pakaian wanita kafir (seperti artis Barat). Selain itu ia bukan pakaian ‘Syuhrah’ (bertujuan untuk mencari populariti).

Namun, realiti hari ini, fesyen pemakaian Busana Muslimah yang digembar-gemburkan dan diperagakan di majalah dan televisyen tidak selari seperti yang dinyatakan diatas. Kebanyakkan busana yang terdapat di pasaran adalah mengikut tubuh badan dan material yang digunakan adalah jarang. Pemakaian ‘Busana Muslimah’ itu sudah menjadi suatu fenomena yang mana kebanyakkan orang memakainya untuk mengikut peredaran zaman (trendy) supaya tidak dikatakan kolot. Niat berpakaian bukanlah lagi berdasarkan keikhlasan untuk mengikut perintah Allah.

Penggunaan istilah ‘Busana Muslimah’ harus diteliti dengan sebaiknya bagi semua pakaian bukannya hanya menempelkan terma ‘muslimah’ namun hakikatnya tidak menepati syariah secara keseluruhan. Busana Muslimah yang terdapat di pasaran hanyalah pada nama tetapi tidak pada hakikatnya. Tidak dinafikan, banyak juga jubah-jubah dan jenis pakaian lain ada terjual dipasaran. Walaubagaimanapun, fesyen yang disebalik dari itu lebih laris berbanding jubah tersebut.

Selain itu, penulis juga tidak bersetuju dengan beberapa pihak yang kurang sensitif dalam menyediakan pakaian seragam untuk wanita. Sudah menjadi norma, dapat kita lihat pakaian seragam yang disediakan oleh pihak penganjur program biasanya mengikut pemakaian lelaki iaitu berlengan pendek. Sebagai seorang yang berada di negara Islam dan tambahan jika beragama Islam, pihak tersebut harus peka dengan hal ini. Walaupun mereka menyediakan pakaian seragam untuk sesuatu program, pakaian yang disediakan untuk peserta dan ahli jawatankuasa wanita hendaklah menurut syara’ iaitu longgar, labuh dan berlengan panjang.

Ini bukanlah fesyen yang sepatutnya ada pada setiap wanita yang beragama Islam malah fesyen wanita di Malaysia pada hari ini sudah banyak terikut-ikut dengan fesyen Barat yang kebanyakan juga diperagakan oleh artis-artis tempatan. Kita bimbang sekiranya amalan berfesyen seperti ini tidak dicegah dari sekarang, kemungkinan besar fesyen muslimah sejati yang mengikut syara’ akan pudar dan hilang daripada amalan masyarakat kita. Tambahan pula, cara pemakaian boleh mempengaruhi pemikiran serta tindakan seseorang. Adalah wajar untuk kita khuatir kemungkinan fesyen yang kian merebak ini akan mempengaruhi sikap wanita masa kini.

Justeru, adalah disarankan agar fesyen Busana Muslimah diperhalusi penghasilannya agar benar-benar mengikut panduan yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-sunnah. Para pereka fesyen, penjahit baju, penjual pakaian perlu lebih teliti dalam menyediakan pakaian untuk wanita muslimah. Para wanita juga perlulah sedar akan cara pemakaian yang dibenarkan. Maka, aspek didikan dalam keluarga perlu memberatkan soal pemakaian anak-anak. Ibubapa memainkan peranan yang penting dalam memahami isu ini sekali gus mengimplementasikannya pada diri sendiri dan orang disekitarnya. Media juga perlu menonjolkan imej-imej yang positif agar penonton atau pembaca tidak keliru dengan cara pembawakan yang sebenar.

Aimee 'Aqilah

Himpunan Gerakan Massa 1.0

PKPIM

22 October 2011

1 comment:

Razziah Khan said...

mohon di share untuk tujuan dakwah :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...