Surah Rampasan Perang
Surah (8) – Madaniyah – 75 Ayat
Surah ini diturunkan semasa berlakunya Peperangan Badal al-Kubra di dalam bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah selepas 19 bulan berhijrah ke Madinah mengikut pendapat yang lebih rajih. Peperangan Badar dengan segala latar belakangnya dan kesan-kesannya di dalam sejarah pergerakan Islam merupakan mercu tanda yang amat besar di jalan pergerakan itu dan di jalan sejarah perkembangan da’wah ini.
Allah S.W.T telah menamakan hari Peperangan Badar itu sebagai hari furqan (hari yang memisahkan golongan Mu’minin dari golongan kafir) begitu juga Allah S.W.T jadikan Peperangan Badar itu bukan sahaja sebagai persimpangan jalan yang memisahkan di antara 2 golongan manusia di dunia ini, mlah sebagai persimpangan jalan yang memisahkan di antara 2 golongan manusia itu di akhirat juga. Walaupun Peperangan Badar begitu besar dan agung, namun dimensi-dimensi nilainya yang haqiqi tidak ketara kecuali apabila kita mengenal tabiatnya dan melihatnya sebagai salah satu dari rangkaian “jihad di dalam Islam” dan apabila kita memahami motif-motif jihad dan matlamat-matlamatnya. Begitu juga kita tidak dapat memahami tabiat “jihad di dalam Islam”, motif-motifnya dan matlamatnya sebelum kita mangenal tabiat agama Islam itu sendiri.
Dalam surah ini, kita dapat lihat perintah berjihad dan berda’wah yang diturunkan kepada Nabi S.A.W secara berperingkat. Wahyu pertama yang diturunkan Allah Ta’ala kepada baginda ialah ayat yang menyuruh baginda membaca dengan nama Tuhannya Yang Maha Pencipta. Itulah masa pertama baginda dilantik menjadi Nabi dimana baginda disuruh membaca untuk dirinya sahaja dan belum lagi diperintah menyampaikan kepada manusia. Kemudian Baginda diperintah menyampaikan peringatan kepada kaum keluarganya yang dekat kemudian kepada kaumnya, kemudian kepada orang-orang Arab yang berada di sekeliling kaumnya, kemudian kepada seluruh orang-orang Arab dan akhirnya kepada seluruh manusia.
Selepas diangkat menjadi Nabi, naginda terus berda’wah dan menyampaikan peringatan selama lebih dari 10 tahun tanpa berperang dan mengenakan cukai jizyah. Baginda diperintah supaya jangan melawan, bersabar dan bersikap pemaaf. Kemudian baginda diizinkan Allah berhijrah ke Madinah dan kemudian diizinkan berperang.
Selepas dikeluarkan perintah berjihad, maka kedudukan golongan orang-orang kafir terbahagi kepada 3 golongan: (1) Kafir yang berdamai dan mengadakan persetujuan gencatan senjata (2) Kafir Harbi (3) Kafir Zimmi. Baginda diperintah menghormati dan menyempurna perjanjian yang dimeteraikan dengan orang-orang kafir tersebut selama mereka bersikap jujur dan menghormati perjanjian itu. Jika baginda bimbang mereka akan khianat, baginda diperintah supaya memulangkan perjanjian itu kepada mereka tanpa memerangi mereka sehingga baginda mengetahui bahawa mereka telah mengkhianati perjanjian itu. Baginda diperintah untuk memerangi golongan kafir yang mencabul perjanjian.
Dalam surah ini juga, baginda diperintah memerangi orang-orang kafir dan bersikap keras terhadap mereka dengan menggunakan pedang dan lembing dan menentang Munafiqin dengan menggunakan kekuatan hujah dan lidah
Golongan kafir yang mengikat perjanjian dengan baginda dibahagi kepada 3 golongan:
-Golongan yang mencabul perjanjian dan tidak menghormatinya dengan jujur=wajib diperangi dan baginda
telah memerangi dan megalahkan mereka
- Golongan yang mengadakan perjanjian damai selama masa yang tertentu dan mereka tidak mencabuli atau
menyerang baginda = baginda diperintah menghormati perjanjian itu
- Golongan kafir yang tidak memeterai apa-apa perjanjian dan tidak perah memerangi baginda = baginda
diperintah supaya memberi tempoh selama 4 bulan kepada mereka dan apabila tempoh itu berakhir, baginda
diperintahkan untuk memerangi mereka
Sikap Rasulullah S.A.W terhadap golongan Munafiqin ialah baginda diperintah menerima tindak-tanduk mereka yang lahir dan menyerahkan hakikat hati mereka kepada ALLAH di samping mendebati mereka dengan ilmu dan hujah dan berusaha mempengaruhi hati mereka dengan kata-kata yang menarik.
Ringkasan Tafsir Fi Zilalil Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah
No comments:
Post a Comment