Wednesday, February 20, 2013

FORLOT (Perbandingan ringkas Turki -Malaysia)



Forum Lorong Tengah (Forlot)

PERBANDINGAN RINGKAS TURKI-MALAYSIA
21 Februari 2013
Kuliah Pendidikan, IIUM

*dijemput hadir, terbuka kepada orang ramai.

Membiarkan kemungkaran, mengundang siksaan

Terjemahan Firman Allah: Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya. (Al-Anfaal:25)

Dalam ayat ini Allah memberitahu kepada hambaNya yang beriman supaya berwaspada dan berhati-hati, kerana siksaan dan malapetaka yang Allah turunkan bukanlah ke atas mereka yang berbuat maksiat sahaja, bahkan kepada yang melakukan kemungkaran dan yang tidak melakukannya dimana jika dia melihat kemungkaran itu tetapi mendiamkan saja.



Huruf al-wâwu (و) di awal ayat ini merupakan huruf yang menghubungkan ayat ini dengan ayat sebelumnya. Seruan pada ayat sebelumnya,

Terjemahannya: “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul-Nya,” menunjukkan bahawa pihak yang diseru adalah seluruh kaum Mukmin.



Perkataan ittaqû oleh ar-Razi, Ibnu Katsir, ash-Shabuni, dan beberapa mufassir lainnya membawa makna ihdarû (berhati-hatilah) yang membawa pengertian bahawa kaum Mukmin diperintahkan untuk berhati-hati, waspada, dan menjauhi daripada terjadinya fitnah. Menurut al-Asfahani, pada awalnya kata fitnah bererti masuknya emas ke dalam api agar terlihat kebagusannya dari kulit luarnya. Pada ayat lain, perkataan ini juga digunakan untuk menyatakan masuknya manusia ke dalam api. (Lihat: QS adz-Dzariyat [51]: 13). Oleh itu, perkataan fitnah boleh membawa maksud azab.



Selain itu, fitnah juga boleh bermakna ikhtibâr atau balâ’ (ujian atau cobaan), seperti dalam QS Thaha (20) ayat 40. Sekalipun dalam penggunaannya lebih banyak digunakan untuk ujian yang bersifat sulit dan sempit, fitnah mencakupi semua ujian atau cobaan, baik keadaan lapang mahupun sempit. (Lihat: Allah Swt. berfirman: QS al-Anbiya’ [21]: 35).



Dalam konteks ayat ini, menurut az-Zamakhsyari, al-Alusi, dan al-Baidhawi fitnah bererti dosa. Termasuk dalam tindakan dosa itu adalah membiarkan kemungkaran, meremehkan amar makruf nahi mungkar, terjadinya perpecahan, munculnya banyak bid‘ah, malas berjihad dan semacamnya.





Dalam pandangan an-Nasafi dan al-Baghawi, fitnah bermakna azab. Al-Khazin, al-Baghawi dan az-Zuhaili menafsirkannya sebagai ibtilâ’ dan ikhtibâr (cobaan dan ujian).



Berikutnya Allah Swt. berfirman: lâ tushîbanna al-ladzîna zhalamû minkum khâshshah (azab yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim saja di antara kamu). Dalam pengertian syariah, setiap perbuatan atau keyakinan yang menyimpang dari ketentuan syariah dapat dikategorikan sebagai azh-zhulm. Dengan demikian, al-ladzîna zhalamû adalah orang-orang yang melakukan pelanggaran dan penyimpangan terhadap syariah. Perkataan ‘kum’ merujuk kepada kaum Mukmin.



Dengan demikian, frasa ini memberikan peringatan kepada kaum Mukmin berkenaan dengan fitnah yang diakibatkan oleh perbuatan zalim yang dilakukan oleh sebahagian orang Mukmin. Begitulah pemahaman para mufassir tentang ayat ini.



Agar fitnah itu tidak terjadi, orang-orang yang tidak ikut mengerjakan kemaksiatan harus mencegahnya. Amar makruf nahi mungkar harus dilakukan. Jika tidak, musibah yang terjadi akibat kemaksiatan itu akan menimpa seluruh masyarakat secara umum. Kenyataan ini juga digambarkan dalam beberapa hadis. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:



Operasi cegah maksiat antara kaedah yang digunakan bagi membasmi kemungkaran.

Sesungguhnya Allah tidak mengazab manusia secara umum kerana perbuatan khusus (yang dilakukan seseorang atau sekelompok orang) hingga mereka melihat kemungkaran di tengah-tengah mereka, mereka mampu mengingkarinya, namun mereka tidak mengingkarinya. Jika itu yang mereka lakukan, Allah mengazab yang umum maupun yang khusus.(HR.Ahmad).



Ayat ini diakhiri dengan firman-Nya: wa‘alamû anna Allâh syadîd al-‘iqâb (Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya). Hukuman yang sangat keras itu ditujukan kepada orang-orang yang bermaksiat kepada-Nya. Ancaman itu kian mendorong kaum Mukmin untuk tidak ragu dan takut melakukan amar makruf nahi mungkar. Sebab, jika mereka mengabaikannya, mereka juga akan mendapatkan siksa-Nya yang amat dahsyat.


Ibn Abbas R.A. dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa, Allah menyuruh kaum mukminin supaya tidak membiarkan suatu perbuatan mungkar bermaharajalela di antara mereka sehingga siksaan Allah akan turun pada mereka yang berada disekeliling kemungkaran. Sememangnya peringatan ini tidaklah dikhususkan kepada sahabat sahaja tetapi kepada semua umat.



RUJUKAN: 1. Isma’il Ibn ‘Umar Ibn Kathir. 1993. Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsir. Jilid 3. Hal. 558-560. PT Bina Ilmu, Surabaya. 2. Tafsir Qs Al-Anfal: 25 (Pada: April 16, 2007, 06:41:23 pm) Membiarkan Kemungkaran: Mengundang Siksaan

(Tafsir QS al-Anfal [8]: 25) Oleh: Rokhmat S. Labib, M.E.I.

    Hasil penulisan:
Saudari Hanan 'Aqilah





Monday, February 18, 2013

Bedah Filem : 3 Idiots


PENGARAH:Rajkumar Hirani 
PENERBIT:Vidhu Vinod Chopra
TARIKH TAYANGAN: 25 December 2009 
DURASI: 164 Minutes 
NEGARA:  India


Sistem pendidikan sering dilihat sebagai asas pembentukan masyarakat yang bertamadun dan maju. Dalam sesebuah negara, pendidikan menjadi cerminan sejauh mana pentadbiran pemimpin dan pencapaian masyarakat ke arah kemajuan. India merupakan antara negara yang masih bereksperimentasi dengan sistem pendidikan mereka.

Terbelenggu antara adat, tradisi, kasta dan kekuasaan, India mencatat sebagai negara yang mempunyai ranking tertinggi kes kematian disebabkan tekanan dalam sistem pendidikan. Kes-kes bunuh diri ironinya dikaitkan dengan masyarakat India disebabkan tekanan mental dan perasaan selain pengaruh harga diri yang dirantai melalui adat, tradisi, kasta, kemiskinan dan kekuasaan. Justeru, tidak menjadi hairanlah masyarakat yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan terus menderita.

Makanya, filem antara platform yang dilihat mampu membangkitkan  kesedaran di dalam kalangan pemimpin dan masyarakat mereka khususnya, dan juga masyarakat seluruh dunia umumnya. Sementelahan pula India merupakan pengeluar filem terbesar setiap tahun. Bertitik tolak dari perkara itu, lahirlah beberapa buah filem yang berasaskan pendidikan dan tentunya Three Idiots arahan A Rajkumar Hirani yang berdurasi 164 minit menjadi buah tangan terbaik memenuhi selera penonton-penonton yang dahagakan jenis filem bercorak santai dan sarat dengan mesej.

Filem Three Idiots boleh sahaja menjadi pilihan terbaik khsusnya kepada masyarakat yang masih tersepit dalam pemikiran konservatif tentang ukuran kejayaan melalui sijil. Three Idiots turut membongkar tentang mahasiswa yang menjadi



 



Watak-watak utama filem Three Idiots.


mangsa percaturan insan lain dalam menentukan arah hidup, ketakutan menghadapi kemiskinan dan tekanan persaingan. Barangkali 3 idiots merupakan filem asing kedua yang menyentuh sistem pendidikan selepas Lasykar Pelangi, yang berjaya mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia.

Namun begitu kedua-dua filem tersebut berada dalam sudutnya tersendiri kerana meletakkan tradisi dan kebudayaan masyarakat setempat sebagai perencah terbaik dalam aspek pendidikan. 3 idiots yang diterajui Aamir Khan (Ranchodas), R. Madhavan(Farhan Kuresh)Sharman Joshi (Raju Rastogi), dan Kareena Kapoor(Pia) mengkritik secara telus dan berani tentang kegagalan sistem pendidikan di India dalam membentuk masyarakat. Sememangnya sistem tersebut tidak jauh bezanya dengan sistem pendidikan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Filem yang sarat dengan elemen humor ini kadangkala turut mengundang air mata dan kejutan-kejutan lain. Semua elemen-elemen tersebut tetap dibaluti secara kemas dalam konteks dan mesej besar yang dibawa oleh pengarahnya iaitu pendidikan. Filemini mengangkat kisah 3 orang sahabat iaitu Ranchodas chanchad, Raju Rastogi dan Farhan kuresh. 3 orang sahabat membawa mesej tentang latar masyarakat yang berbeza. Seorang mahasiswa yang tersepit antara minat dan cita-cita keluarga, seorang lagi hidup dalam tekanan kemiskinan, manakala watak yang dilakonkan oleh Aamir Khan pula membawa persoalan tentang kesungguhan dan minat.

Pengarahnya bijak memainkan babak dan menghidupkan setiap watak sehinggakan sekecil-kecil watak pembantu sepertiMilimeter lakonan Rahul Kumar, sehinggalah watak antagonis Viru Sahastrabudhhe. Pengulangan babak secara kerap juga tidak mengganggu fokus penonton untuk memahami jalan cerita. Latar tempat di Kolej Kejuruteraan Imperial membawa kisah pelajar yang terperangkap dengan sistem pendidikan yang menekan agar sentiasa bersaing dalam pembelajaran. Ianya dibuktikan dengan deskriptif watak Pengarah Kolej Kejuruteraan Imperial, lakonan Boman Irani sewaktu mengayuh basikal di awal babak.

Kejutan yang wujud di awal babak seperti kematian Joy Lobo akibat tekanan dari pengarahnya, menyeret penonton untuk memahami kewujudan Chanchad yang berusaha mengubah sistem pendidikan yang menekan. Babak-babak lain yang mengundang kejutan dan air mata apabila sahabat mereka Raju Rastogi cuba untuk membunuh diri, disusuli dengan momen melahirkan anak oleh kakak Pia sendiri sehinggalah mengetahui sejarah sebenar sosok utama filemini, Wangdu yang berlindung disebalik nama Chanchad.
Selain itu, sikap antagonis Viru Sastrahabuddhe yang mendapat jolokan Virus berjaya membangkitkan rasa benci penonton kerana perwatakannya yang ego, berkeyakinan, dan bersikap memaksa. Walaubagaimanapun, di akhir babak Virus sendiri menelan keegoannya setelah mengetahui kisah sebenar kematian anak lelakinya.

Tidak dinafikan filem ini berjaya mencetus fenomena pasaran filem Hindi apabila berjaya merangkul pelbagai anugerah di festival filem IFFA. Di sebalik judul filemnya 3 IDIOTS, tiada siapa menyangka signifikan pada tajuknya membawa maksud “ I’ll Do IT Own TermS” selepas didedahkan sendiri oleh individu belakang tabir. Sinematografi yang cantik dan unik diperkukuhkan lagi dengan kekuatan skrip dan jalan cerita yang kemas berjaya melonjakkan filem ini menjadi filem hindi terbaik pada tahun ini.
Tidak dinafikan filem terbitan Vinod Chopra ini membuka mata ramai pembikin filem di Malaysia, namun secara peribadinya ada beberapa adegan dan babak yang tidak perlu dipertontonkan, bahkan tidak sedikit pun menjejaskan kualiti filem ini sekiranya tidak ditayangkan. Seperti contoh babak minggu orientasi yang memaparkan mahasiswa baru dalam keadaan mencolok mata, juga babak cumbu oleh pasangan filem ini,  Aamir Khan dan Kareena Kapoor. Namun, memahami atas konteks budaya masyarakat India, babak ini bukan lah isu yang sensitif bagi mereka.
Keseluruhan daripada filem ini, penonton pasti berpuas hati dengan elemen humor, suspen, sedih dan pelbagai lagi yang diadun oleh A Rajkumar Hirani dalam mesej besarnya kehidupan dan pendidikan. Jangan lepaskan peluang bagi yang belum menonton kerana selepas menonton filem ini, kita pasti sedar dan setuju bahawa sistem pendidikan negara dan juga mentaliti pelajar atau mahasiswa perlu berubah. Tambahan lagi, tiada siapa boleh menafikan hak mendapatkan pendidikan kerana segalanya perlu bermula dari hati seperti trademark cerita ini, All izwell.


Bertemakan sistem pendidikan, Three Idiots telah meninggalkan impak  yang besar di dalam dunia perfileman

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...