Tuesday, February 12, 2013

Orang Muda



Mendengar saja ungkapan ini tentunya telah menunjukkan ‘keperkasaannya’ pada kita. Istilah ini pasti akan membawa kita untuk membayangkan suatu zaman yang penuh semangat dan kemampuan fizikal khususnya, juga tahap kesihatan terbaik yang pernah dimilki oleh seseorang. Jika hendak dinilai, mungkin beberapa contoh ini dapat dilihat.

Bagi peminat sukan misalnya, lihatlah bagaimana Muhammad Ali yang juga merupakan seorang Muslim telah menggegarkan dunia sukan dengan memenangi gelaran peninju terbaik dunia ketika usianya masih lagi muda di usia20-an. Ekoran kemenangan demi kemenangan yang diraihnya, dia juga telah dinobatkan sebagai salah seorang ahli sukan terbaik abad ini.

Perhatikanlah juga kepada tonggak-tonggak pasukan dan ikon-ikon sukan waktu ini seperti Lionel Messi yang dinobatkan sebagai pemain bola sepak terbaik dunia (FIFA), Rafael Nadal dan Roger Federer yang menduduki ranking pertama dan kedua pemain tenis terbaik dunia, Lewis Hamilton yang pernah menjuarai sukan Formula Satu dan sebagainya, semuanya masih muda bukan?

Jika diimbau pula pada tahun 1930-an, telah tertubuhnya juga sebuah gerakan Islam yang sangat kuat dan hebat pada 1938, sebuah gerakan yang secara tiba-tibanya telah  menggegarkan Mesir dan menggerunkan musuh kerana sama sekali tidak menyangka begitu besarnya pengaruh dan kekuatan gerakan ini. Itulah gerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang telah diasaskan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang baru saja berusia sekitar 30 tahun ketika itu.

Kita juga boleh melihat kepada peristiwa besar yang pernah dicatatkan sejarah pada tahun 1453M, seorang pemimpin muda yang telah berjaya menakluk kota Konstantinopel yang begitu terkenal dengan kekebalan pertahanan dan kekuatan ketenteraanya, siapakah beliau? Ya, dialah Sultan Muhammad Al-Fateh yang


pada waktu itu baru saja berusia awal 20-an!




LUKISAN:Sultan Muhammad Al-Fatehketikasedangmemberikanarahankepadatenteranya.

 
 


Meninjau pula ke zaman Rasulullah S.A.W., muncul Saidina Ali yang kuat dan handal bertempur lagi bijaksana, terkenal dengan ketinggian ilmunya sehingga digelarkan sebagai anak kunci kepada gedung ilmu oleh Rasulullah S.A.W.

Beliaulah antara pemuda yang tampil gagah berani mewakili tentera Islam untuk berlawan satu dengan satu dengan tentera kafir sebelum bermulanya peperangan, hingga beliau memenangi pertarungan tersebut dengan jayanya.

Sebagai contoh, beliaulah pahlawan dari tentera Islam yang menyahut cabaran Amru bin Abdu Wud, seorang pahlawan yang kuat dan handal dari tentera kafir untuk berlawan dengannya sebelum bermulanya peperangan. Lalu Saidina Ali telah berlawan dan memenangi pertarungan tersebut hingga menggetarkan hati musuh-musuh Islam yang lain. Berapakah usia beliau pada waktu itu? Belum mencapai umur 30 tahun.

Oleh itu jika dilihat, mungkin kerana kelebihan dan keistimewaan yang dipunyai oleh orang muda inilah di Akhirat nanti, Tuhan telah menyediakan satu soalan khusus berkaitan perkara ini yang wajib dijawab iaitu, ”Di manakah waktu mudamu telah dihabiskan?”. Satu soalan yang sangat jelas memberikan penekanan hanya kepada golongan muda.

Begitulah hebatnya kuasa pemuda dan jika dilihat dalam Islam sendiri juga, tentu kita akan dapati bagaimana agama ini begitu menitik beratkan golongan muda. Sebagai contoh seperti pesanan Rasulullah S.A.W. yang menyuruh kita merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, antaranya termasuklah merebut masa muda yang ada sebelum datangnya waktu tua.

Siapakah mereka  yang telah Rasulullah S.A.W. fokuskan dan sampaikan dakwahnya di kala Baginda menyampaikan risalah Islam? Ya, merekalah antaranya Saidina Abu Bakar, Saidina Ali, Saidina Umar dan sebagainya yang jika dilihat, tentu kita akan dapati ramai dalam kalangan mereka yang masih lagi muda. Masih memiliki tenaga dan kemampuan yang banyak untuk berjuang dan sebagainya. Merekalah kumpulan awal yang bertindak sebagai pembawa dan penyebar agama Islam.

Begitulah antaranya kelebihan dan keistimewaan yang dapat kita temui pada diri orang muda. Golongan yang mempunyai kekuatan yang begitu hebat dan sememangnya kita akan temui juga begitu banyak peristiwa-peristiwa besar yang belaku dalam sejarah digerakkan oleh kumpulan ini. Golongan cerdik pandai juga ada mengatakan, “Andai kamu mahu mengetahui kekuatan dan kehebatan seseorang itu, maka lihatlah dia di zaman mudanya”.

Melihat kepada kelebihan dan kekuatan yang ada pada golongan muda ini, mungkin persoalan ini dapat kita jawab dan fikirkan bersama sebelum berakhir, “Di manakah usia

 mudamu telah dihabiskan?”


hasil penulisan:
Mohamad Yusof Abdul Karim 
(Kulliyah of Usuluddin)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...