Monday, February 18, 2013

Bedah Filem : 3 Idiots


PENGARAH:Rajkumar Hirani 
PENERBIT:Vidhu Vinod Chopra
TARIKH TAYANGAN: 25 December 2009 
DURASI: 164 Minutes 
NEGARA:  India


Sistem pendidikan sering dilihat sebagai asas pembentukan masyarakat yang bertamadun dan maju. Dalam sesebuah negara, pendidikan menjadi cerminan sejauh mana pentadbiran pemimpin dan pencapaian masyarakat ke arah kemajuan. India merupakan antara negara yang masih bereksperimentasi dengan sistem pendidikan mereka.

Terbelenggu antara adat, tradisi, kasta dan kekuasaan, India mencatat sebagai negara yang mempunyai ranking tertinggi kes kematian disebabkan tekanan dalam sistem pendidikan. Kes-kes bunuh diri ironinya dikaitkan dengan masyarakat India disebabkan tekanan mental dan perasaan selain pengaruh harga diri yang dirantai melalui adat, tradisi, kasta, kemiskinan dan kekuasaan. Justeru, tidak menjadi hairanlah masyarakat yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan terus menderita.

Makanya, filem antara platform yang dilihat mampu membangkitkan  kesedaran di dalam kalangan pemimpin dan masyarakat mereka khususnya, dan juga masyarakat seluruh dunia umumnya. Sementelahan pula India merupakan pengeluar filem terbesar setiap tahun. Bertitik tolak dari perkara itu, lahirlah beberapa buah filem yang berasaskan pendidikan dan tentunya Three Idiots arahan A Rajkumar Hirani yang berdurasi 164 minit menjadi buah tangan terbaik memenuhi selera penonton-penonton yang dahagakan jenis filem bercorak santai dan sarat dengan mesej.

Filem Three Idiots boleh sahaja menjadi pilihan terbaik khsusnya kepada masyarakat yang masih tersepit dalam pemikiran konservatif tentang ukuran kejayaan melalui sijil. Three Idiots turut membongkar tentang mahasiswa yang menjadi



 



Watak-watak utama filem Three Idiots.


mangsa percaturan insan lain dalam menentukan arah hidup, ketakutan menghadapi kemiskinan dan tekanan persaingan. Barangkali 3 idiots merupakan filem asing kedua yang menyentuh sistem pendidikan selepas Lasykar Pelangi, yang berjaya mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia.

Namun begitu kedua-dua filem tersebut berada dalam sudutnya tersendiri kerana meletakkan tradisi dan kebudayaan masyarakat setempat sebagai perencah terbaik dalam aspek pendidikan. 3 idiots yang diterajui Aamir Khan (Ranchodas), R. Madhavan(Farhan Kuresh)Sharman Joshi (Raju Rastogi), dan Kareena Kapoor(Pia) mengkritik secara telus dan berani tentang kegagalan sistem pendidikan di India dalam membentuk masyarakat. Sememangnya sistem tersebut tidak jauh bezanya dengan sistem pendidikan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Filem yang sarat dengan elemen humor ini kadangkala turut mengundang air mata dan kejutan-kejutan lain. Semua elemen-elemen tersebut tetap dibaluti secara kemas dalam konteks dan mesej besar yang dibawa oleh pengarahnya iaitu pendidikan. Filemini mengangkat kisah 3 orang sahabat iaitu Ranchodas chanchad, Raju Rastogi dan Farhan kuresh. 3 orang sahabat membawa mesej tentang latar masyarakat yang berbeza. Seorang mahasiswa yang tersepit antara minat dan cita-cita keluarga, seorang lagi hidup dalam tekanan kemiskinan, manakala watak yang dilakonkan oleh Aamir Khan pula membawa persoalan tentang kesungguhan dan minat.

Pengarahnya bijak memainkan babak dan menghidupkan setiap watak sehinggakan sekecil-kecil watak pembantu sepertiMilimeter lakonan Rahul Kumar, sehinggalah watak antagonis Viru Sahastrabudhhe. Pengulangan babak secara kerap juga tidak mengganggu fokus penonton untuk memahami jalan cerita. Latar tempat di Kolej Kejuruteraan Imperial membawa kisah pelajar yang terperangkap dengan sistem pendidikan yang menekan agar sentiasa bersaing dalam pembelajaran. Ianya dibuktikan dengan deskriptif watak Pengarah Kolej Kejuruteraan Imperial, lakonan Boman Irani sewaktu mengayuh basikal di awal babak.

Kejutan yang wujud di awal babak seperti kematian Joy Lobo akibat tekanan dari pengarahnya, menyeret penonton untuk memahami kewujudan Chanchad yang berusaha mengubah sistem pendidikan yang menekan. Babak-babak lain yang mengundang kejutan dan air mata apabila sahabat mereka Raju Rastogi cuba untuk membunuh diri, disusuli dengan momen melahirkan anak oleh kakak Pia sendiri sehinggalah mengetahui sejarah sebenar sosok utama filemini, Wangdu yang berlindung disebalik nama Chanchad.
Selain itu, sikap antagonis Viru Sastrahabuddhe yang mendapat jolokan Virus berjaya membangkitkan rasa benci penonton kerana perwatakannya yang ego, berkeyakinan, dan bersikap memaksa. Walaubagaimanapun, di akhir babak Virus sendiri menelan keegoannya setelah mengetahui kisah sebenar kematian anak lelakinya.

Tidak dinafikan filem ini berjaya mencetus fenomena pasaran filem Hindi apabila berjaya merangkul pelbagai anugerah di festival filem IFFA. Di sebalik judul filemnya 3 IDIOTS, tiada siapa menyangka signifikan pada tajuknya membawa maksud “ I’ll Do IT Own TermS” selepas didedahkan sendiri oleh individu belakang tabir. Sinematografi yang cantik dan unik diperkukuhkan lagi dengan kekuatan skrip dan jalan cerita yang kemas berjaya melonjakkan filem ini menjadi filem hindi terbaik pada tahun ini.
Tidak dinafikan filem terbitan Vinod Chopra ini membuka mata ramai pembikin filem di Malaysia, namun secara peribadinya ada beberapa adegan dan babak yang tidak perlu dipertontonkan, bahkan tidak sedikit pun menjejaskan kualiti filem ini sekiranya tidak ditayangkan. Seperti contoh babak minggu orientasi yang memaparkan mahasiswa baru dalam keadaan mencolok mata, juga babak cumbu oleh pasangan filem ini,  Aamir Khan dan Kareena Kapoor. Namun, memahami atas konteks budaya masyarakat India, babak ini bukan lah isu yang sensitif bagi mereka.
Keseluruhan daripada filem ini, penonton pasti berpuas hati dengan elemen humor, suspen, sedih dan pelbagai lagi yang diadun oleh A Rajkumar Hirani dalam mesej besarnya kehidupan dan pendidikan. Jangan lepaskan peluang bagi yang belum menonton kerana selepas menonton filem ini, kita pasti sedar dan setuju bahawa sistem pendidikan negara dan juga mentaliti pelajar atau mahasiswa perlu berubah. Tambahan lagi, tiada siapa boleh menafikan hak mendapatkan pendidikan kerana segalanya perlu bermula dari hati seperti trademark cerita ini, All izwell.


Bertemakan sistem pendidikan, Three Idiots telah meninggalkan impak  yang besar di dalam dunia perfileman

 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...