Friday, June 13, 2008

MEMPERINGATI AL-NAKBA KE-60 (1948-2008)


Palestin merupakan tempat yang penuh dengan keistimewaan dan begitu hampir dengan nadi umat Islam. Menurut Al-Qur’an, ia merupakan tanah yang penuh dengan keberkatan. Pelbagai justifikasi yang menunjukkan kemuliaan bumi Palestin ini. Ia mengandungi masjid al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama bagi umat Islam dan merupakan masjid yang ketiga termulia disisi Islam. Selain itu, peristiwa bersejarah dalam kehidupan Rasulullah-isra’ mikraj juga berlaku di Palestin. Ramai juga para Nabi Allah diturunkan di sini. Dari prospek Islam, bumi Palestin adalah tempat berkumpul dan kebangkitan bagi seluruh umat manusia setelah berlakunya hari kiamat. Tambahan itu, dipercayai sesiapa yang tinggal di sini di kira pejuang Islam atau mujahid. Mugkin ada betulnya.


Walaupun begitu, bumi Palestin ini juga amat penting bagi dua agama samawi lain iaitu Kristian dan Yahudi. Bagi penganut Kristian, mereka percaya bahawasanya Nabi Isa A.S. akan dilahirkan disana untuk menjalankan misi kenabian baginda. Wilayah utama mereka adalah Jerusalem, Bethelem dan Nazareth. Bagi kaum Yahudi pula, Palestin adalah ‘tanah yang dijanjikan’ Tuhan keatas mereka, malah ramai para Nabi adalah berketurunan Bani Israel. Tempat suci mereka adalah Jerusalem dan Hebron. Daripada fakta tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa agenda utama konspirasi Barat-Israel keatas Palestin adalah didorong oleh faktor keagamaan. Disebabkan itu, Barat-Israel telah melakukan jenayah yang cukup terancang yang akhirnya membawa bumi Palestin bermandi darah hingga ke hari dan saat ini.


Kemuncak kepada rentetan siri kekejaman Barat-Israel ialah peristiwa Al-Nakba. Peristiwa yang mencarik maruah agama Islam ini mana mungkin dapat dilupakan. Sedang pihak Israel berpesta kegembiraan meraikan kemenangan mereka mengalahkan tentera Arab pada 14 Mei 1948 di Palestin dan seterusnya menubuhkan Negara haram Israel, umat Islam di Palestin pula kekeringan air mata untuk meratapi nasib malang mereka. Almarhum Yasir Arafat telah menjadikan 15 Mei 1948 sebagai hari malapetaka (al-Nakba) buat warga Palestin dan umat Islam secara amnya. Pada tarikh tersebut, 800,000 penduduk Palestin telah dihalau dengan sungguh hina oleh ‘makhluk asing’ bernama regim Zionis. Bukan setakat di halau dan menjadi pelarian di tanah air sendiri, malah regim Zionis itu telah melancarkan pembersihan etnik dengan melakukan pembunuhan kejam secara sitematik ke atas warganegara sebenar Palestin. Misi mereka cuma satu, menghilangkan rakyat Palestin berbangsa Arab apatah lagi beragama Islam buat selama-lamanya diatas muka bumi ini. Setelah 60 tahun peristiwa itu berlaku, konflik Palestin-Israel tidak sedikitpun menunjukkan tanda-tanda untuk selesai. Rakyat Palestin terus menderita dengan kekejaman luar biasa regim Zionis. Angka kematian rakyat Palestin tidak terkira banyaknya dan terus-terusan meningkat saban hari.


Bagi memperingati peristiwa malang tersebut, saban tahun umat Islam dari seluruh dunia mengadakan pelbagai aktiviti sebagai usaha untuk membebaskan bumi Palestin dari cengkaman ‘makhluk asing’ yang tidak berperikemanusiaan itu. Malaysia juga tidak terkecuali. Pada pagi Jumaat bersamaan16 Mei 2008 yang lalu, penganjur utama ‘Memperingati Nakba-60’, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Citizens International telah mengadakan penyerahan petisyen konflik Palestin-Israel di Gaza dan demonstrasi aman di hadapan bangunan Wisma UN Malaysia. Beberapa badan gabungan bukan kerajaan (NGOs) seperti PKPIM, ABIM, GAMIS dan JIM turut hadir sebagai tanda sokongan padu. Petisyen tentang kekejaman Israel di Gaza telah diserahkan oleh Presiden TERAS, En. Azmi bin Abdul Hamid kepada En. Muhyiden Kadir dari Citizens International. Petisyen yang ditandatangani oleh 100, 000 individu dan organisasi di Malaysia itu akan diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kandungan petisyen itu menggesa PBB agar menjalankan tanggungjawabnya yang paling utama iaitu menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, TERAS dan beberapa NGO lain termasuk PKPIM-ABIM menggesa agar pihak PBB dapat menerima resolusi dibawah piagam ke-7 PBB. Secara ringkas, resolusi itu menggesa pihak Israel agar menghentikan sekatan ekonomi dan bekalan kemanusiaan kepada Gaza. Selain itu, resolusi itu juga menggesa pihak Israel menghentikan kekejamannya keatas rakyat Palestin dan mematuhi segala perjanjian di Konvensyen Geneva (1949) yang telah dibuat.


Menurut Sdr. Aminudin bin Ramli selaku pengerusi demonstrasi tersebut, demonstrasi yang dihadiri oleh lebih seratus orang itu adalah bertujuan untuk memperingati dan memberi kesedaran kepada umat Islam Malaysia khususnya tentang Al-Nakba yang telah berlaku selama 60 tahun. Demonstrasi aman yang dijalankan itu antara lain juga bertujuan untuk menyatakan kekecewaan terhadap Kerajaan Malaysia yang bersifat tutup sebelah mata dan bersikap tidak tegas terhadap konflik di Palestin. Laungan mengecam tindak-tanduk Amerika dan Israel terhadap Palestin oleh Presiden TERAS dan sejumlah wakil dari pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan menjadi indikator masih ada lagi manusia Islam khususnya yang mengambil berat nasib saudara seakidah mereka di sana.


Peristiwa Al-Nakba ini sepatutnya mampu membuka mata setiap orang Islam betapa pentingnya seluruh umat Islam dari pelbagai ceruk benua bersatu di bawah satu panji Islam yang tulen. Tulen lagi suci dari pelbagai ideologi politik kotor dan semangat nasionalism ciptaan barat yang hanya memecah-belahkan umat Islam. Seharusnya kita sebagai umat Islam mampu mengalahkan musuh-musuh Islam dan menjadikan dunia ini aman kerana Islam itu ertinya keamanan. Tetapi, ia mungkin satu utopia selagi mana umat Islam yang terdiri lebih dari 1/3 billion penduduk bumi ini tidak bersatu.


Justeru itu, adalah penting bagi ketua-ketua dari seluruh Negara Islam mengambil langkah dan pendekatan baru yang boleh menyatu-padukan seluruh umat Islam naungan mereka dengan memberi suntikan nilai spiritual Islam yang tinggi. Kerjasama dari badan-badan bukan kerajaan dan individu juga tidak dinafikan kepentingannya. Masing-masing memainkan peranan yang tersendiri dan saling bantu-membantu bagi melaksanakan misi mengembalikan maruah dan kegemilangan Islam di mata dunia. Organization of Islamic Conference (OIC) perlu memainkan peranannya dengan lebih efektif dan tegas dan bukannya sekadar ‘OOO…I SEE!’ Dalam konteks isu Palestin, OIC harus menyatakan pendiriannya dengan jelas, bukan senyap seribu bahasa tidak peduli. Jika ini tidak berlaku, OIC perlukan anjakan paradigma atau lebih ekstrim, dibubarkan sahaja. Sebagai alternatif, tubuhkan satu organisasi Islam dengan suntikan semangat baru yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Islam seluruh dunia yang berjiwa jihad Hasan al-Banna- ikon pejuang Islam di bumi Palestin. Boleh jadi, OIC bertukar kepada United Muslims (UMs). Kalau ada United Nations (UNs), maka UMs tidak akan kedengaran canggong. Barangkali itu cuma cetusan idea yang mungkin berguna pada masa hadapan.


Kesimpulannya, ketuanan dan kemuliaan Islam harus dipertahankan. Tidak kira kita dimana, Islam harus dijunjung. Bak kata pepatah yang telah diadun semula, ‘di mana bumi di pijak, di situ Islam dijunjung’. Adapun begitu, senjata yang paling ampuh untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam adalah ‘kuasa satu’.


WAHAI SEMUA KAUM MUSLIMIN, BERSATU!

‘Perjuangan Islam adalah Nyawa Setiap Muslimin, Selagi Bernyawa Selagi itulah Perjuangan Harus diteruskan’


Jangan aniaya rakyat


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyifatkan kenaikan harga minyak sebagai satu penganiayaan kepada rakyat dan membebankan kehidupan mereka.

"Justeru, PKPIM menyeru kerajaan menimbang dan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak tersebut," kata Setiausaha Agung PKPIM, Abdul Muntaqim Zulkipli.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak petrol sebanyak 78 sen menjadi RM1.92 seliter manakala diesel dinaikkan RM1 menjadi RM2.58 seliter.

"PKPIM berharap harga minyak di negara ini dapat diturunkan ke paras yang munasabah dan sesuai dengan kemampuan rakyat seluruhnya, dan sesuai dengan status negara sebagai negara pengeluar minyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, PKPIM berpendapat adalah amat tidak wajar untuk rakyat membayar harga minyak yang tinggi sedangkan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak yang lain adalah jauh lebih rendah.

"PKPIM juga meminta pihak kerajaan dan badan-badan berkaitan yang lain agar membuat penilaian secara lebih terperinci terhadap langkah-langkah yang telah dicadangkan bagi mengurangkan bebenan kenaikan harga minyak kepada rakyat.

"Adalah mustahil kenaikan harga minyak tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain.

Kongsi hasil minyak

"Oleh sebab itu, di samping langkah-langkah yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan seperti pemberian rebet tunai kepada pengguna kenderaan, PKPIM juga berharap langkah-langkah lain yang releven, seperti menaikkan gaji dan elauan pekerja, memberi pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan menghapuskan tol," katanya.

Menurutnya, suasana panik jelas kelihatan di merata tempat di seluruh negara pada malam harga minyak akan dinaikkan.

"Hal ini jelas membayangkan betapa rakyat begitu terkesan dengan kenaikan tersebut, terutama bagi rakyat berpendapatan rendah dan mempunyai ramai tanggungan," katanya.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, tambahnya, seharusnya rakyat negara ini dapat bersama-sama berkongsi keuntungan dan hasil jualan minyak negara.

Sehubungan itu, Abdul Muntaqim berkata, PKPIM akan mengumpulkan cadangan dan pandangan mahasiswa untuk diajukan kepada kerajaan.

Untuk tujuan itu, katanya, PKPIM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mahasiswa menangani isu harga minyak.

Menurutnya, cadangan-cadangan yang sesuai akan diserahkan kepada kerajaan untuk diambil tindakan selanjutnya.

http://www.malaysiakini.com/news/84361
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...