Monday, December 25, 2006

Khabar-Khabar Angin: Siapa yang betul dan Siapa yang salah? -Siri 3

Menurut satu sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya menyebut tentang kenyataan Rektor yang cukup berlawanan dengan versi karektor di dalam isu ini seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut sumber tersebut, Rektor dikatakan telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan mengesahkan cadangan cabinet MPP UIAM yang dicadangkan kepada beliau hasil daripada permesyuaratan pimpinan pilihan mahasiswa UIAm di dalam PRK 06 yang lepas. Beliau menambah, sekiranya disahkan sekalipun, beliau akan melambat-lambatkan proses pengesahan tersebut.

Saturday, December 23, 2006

Khabar-Khabar Angin: Siapa yang betul dan Siapa yang salah? –Siri 2

Timbul pula perkhabaran lain daripada satu sumber sahih menyatakan bahawa yang sebenarnya pemimpin-pemimpin pilihan mahasiswa UIAM sudah menghantar cadangan kabinet MPP UIAM untuk disahkan oleh pihak berwajib UIAM sebanyak lima kali! Dan kelima-lima kali itulah cadangan kabinet MPP UIAM itu ditolak dek kerana percaturan posisi kabinet yang tidak disenangi oleh pihak berwajib UIAM. Cadangan yang dikemukakan ditolak kerana Pengarah S-Dev (Student Development) tidak menyenangi posisi Setiausaha Agung diisi oleh calon wanita yang memenangi kerusi Kuliyyah (Fakulti) Kejuruteraan. Pengarah S-Dev lebih senang sekiranya posisi tersebut diisi oleh calon wanita yang memenangi kerusi Kuliyyah ICT.

Malah ada juga khabar-khabar yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya bahawa pihak berwajib bukan sahaja tidak menyenangi cadangan calon untuk posisi Setiausaha Agung MPP UIAM malah sebenarnya tidak senang dengan cadangan untuk meletakkan Sdr. Zukhairi, calon yang memenangi kerusi Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim untuk menduduki posisi tertinggi MPP UIAM.

Dek kerana cadangan kabinet MPP UIAM yang dihantar sebanyak lima kali itu tidak dapat memuaskan hati pihak berwajib UIAM, maka surat rasmi cadangan kabinet MPP UIAM itu terkandas di salah satu jabatan hirarki birokrasi pihak berwajib UIAM yang bertanggungjawab ke atas PRK dan bertindak sebagai penasihat MPP UIAM. Tidak hairanlah kenapa Rektor UIAM menurut satu sumber yang bertemu dengan beliau menyatakan bahawa Rektor menyatakan kepadanya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau masih belum lagi menerima surat rasmi cadangan kabinet MPP UIAM. Disebabkan surat tersebut kandas di tangan “pekerja bawahannya” yang bertindak seolah-olah kuasa Rektor.

Khabar-Khabar Angin: Siapa yang betul dan Siapa yang salah? –Siri 1

Sudah tiga bulan calon-calon PRK 06 yang diangkat melalui undian oleh mahasiswa UIAM sebagai pemimpin pilihan tergantung tak bertali. Dan sudah tiga bulan jualah warga mahasiswa kampus Taman Ilmu dan Budi hilang kemudi. UIAM seolah anak ayam kehilangan ibunya, sebuah kapal tanpa nakhoda, sebuah negara tanpa kepemimpinan. Semuanya gara-gara keenganan pihak berwajib untuk mengesahkan kabinet MPP hasil permesyuaratan di kalangan pemimpin-pemimpin pilihan mahasiswa UIAM yang menang di dalam PRK 06 yang lepas.

Isu ini ibarat bangkai yang tidak dapat disembunyikan lagi kebusukannya setelah sebegitu lama dibiarkan. Lantas timbullah khabar-khabar angin berlegar di serata ruang ceruk UIAM malah sudah pun terlepas keluar daripada Taman Ilmu dan Budi ini.

Ada perkhabaran yang menyatakan bahawa sebenarnya pemimpin-pemimpin yang memenangi PRK 06 UIAM yang lepas tidak sehaluan di dalam permesyuaratan percaturan posisi di dalam kabinet MPP UIAM. Ini menyebabkan mereka gagal bersepakat di dalam hal ini. Natijahnya, mereka gagal mengemukakan sebarang cadangan kabinet untuk disahkan oleh pihak berwajib UIAM. Maka atas sebab itulah pengesahan kabinet MPP UIAM belum lagi muncul tiba.

Namun begitu, perkhabaran ini disangkal oleh pemimpin-pemimpin pilihan mahasiswa UIAM dengan menyatakan bahawa mereka telah mencapai kesepakatan di dalam percaturan posisi kabinet MPP. Ini dibuktikan dengan mengemukakan bukti bahwa kesepakatan mereka adalah hasil daripada permesyuaratan yang diadakan di kampus UIAM Kuantan, sembilan hari selepas keputusan PRK 06 diumumkan.
Melihatkan kepada tempoh masa pengesahan yang berlarutan untuk beberapa lama, malah mereka sendiri sudah pun mengutarakan isu pengesahan kabinet MPP di hadapan Rektor UIAM sendiri di dalam majlis jamuan hari raya bersama beliau.

Friday, December 22, 2006

Dilema MPP UIAM

Sudah tiga bulan berlalu pasca Pilihanraya Kampus (PRK) 2006 pada September yang lepas. Mahasiswa serata kampus di Malaysia daripada KUKUM di Perlis hinggalah ke UMS di Sabah sudah pun melalui proses PRK untuk memilih pemimpin-pemimpin mahasiswa untuk menduduki kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Keputusan PRK 06 yang didapati tidak sampai seminggu pasca PRK 06 telah menyaksikan barisan pemimpin pilihan mahasiswa di setiap kampus untuk mewakili suara kita di persada negara.

Namun, di saat MPP kampus-kampus lain sudah pun disahkan, malah sedang giat dengan aktiviti-aktiviti kampus semasa, malangnya lain pula yang berlaku di kampus UIAM. Barisan MPP, pemimpin pilihan mahasiswa UIAM di dalam PRK 06 yang lepas masih lagi kekal di dalam dilema yang tidak berkesudahan. Pemimpin-pemimpin MPP pilihan mahasiswa UIAM, sehingga ke hari ini masih gagal untuk mempunyai sebuah kabinet MPP yang disahkan. Hatta kampus UUM, sekalipun agak terlewat sedikit menjalani PRK 06 pun sudah mempunyai barisan kabinet MPP kampus yang sah.

Kita imbas sedikit keputusan PRK 06 yang lepas di mana golongan pemimpin mahasiswa yang dilabelkan sebagai Aspirasi disytiharkan menang lantas berjaya menawan kesemua kampus di Malaysia kecuali UIAM. UIAM menyaksikan golongan pemimpin mahaiswa yang dilabel sebagai pembangkang telah merampas kembali tampuk kepimpinan mahasiswa UIAM daripada tangan Aspirasi.

Perkembangan suasana kampus UIAM pasca PRK 06 yang lepas sememangnya cukup pelik tetapi merupakan kebenaran yang tidak dapat disembunyikan. Ini dapat diperhatikan apabila tiada satu pun notis, pekeliling apatah lagi poster yang dinaikkan oleh pihak berwajib untuk memaklumkan warga kampus berhubung dengan keputusan PRK 06 yang dilalui. Malah tidak ada sebarang usaha serius pun yang tampak daripada pihak berwajib untuk memaklumkan kepada warga kampus secara keseluruhannya tentang keputusan PRK 06 UIAM selain daripada pengumuman keputusan yang dibuat di sebelah malam pada hari PRK 06 yang lepas. Hanya notis-notis kecil yang menghiasi papan-papan notis serata kampus UIAM dibuat oleh pemimpin-pemimpin pilihan mahasiswa UIAM yang masih lagi tidak berkabinet.

Dilema ini bukanlah suatu isu kecil yang boleh dipandang remeh. PRK merupakan wadah untuk mahasiswa melaksanakan hak yang telah termaktub untuk bebas memilih pemimpin pilihan kita. Namun sekarang, dilema MPP UIAM ini membawa signifikasi penting untuk menunjukkan betapa hak kita sebagai mahasiswa sedang dipermain-mainkan. Pemimpin-pemimpin mahasiswa UIAM pilihan kita di dalam PRK 06 yang lepas telah diletakkan di dalam dilema sehingga gagal mempunyai kabinet MPP yang sah.

Hak kita untuk memilih pemimpin pilihan di dalam wadah PRK yang sah seolah-olah merupakan suatu permainan yang tiada nilai di mata kedewasaan yang rosak dengan nilai perpecahan. Lantas, di manakah letak nilai hak kita sebenarnya?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...